Sunday, 22 September 2019

PISANG NIPAH SESUAI DIGORENG

Pisang nipah merupakan sejenis pisang yang agak terkenal di Malaysia dengan pelbagai nama seperti pisang abu, pisang kebatu, pisang batu, pisang sepatu, pisang cepatu, pisang kepok, pisang kapok dan beberapa nama lain.

Buah pisang nipah biasa dijadikan pisang goreng, kerepek pisang dan pengat pisang. Walaupun ada pisang lain yang boleh digoreng seperti pisang tanduk, pisang nangka, pisang raja dan pisang lilin tetapi, permintaan terhadap pisang nipah untuk dijadikan pisang goreng tetap tinggi.

Ini kerana rasanya yang manis, struktur buahnya lembut dan tidak menyerap minyak apabila digoreng. Pisang nipah goreng biasanya akan dimakan panas-panas bersama sambal kicap.

Pokok pisang nipah adalah antara pokok pisang yang besar dan tinggi tetapi sebenarnya ada dua jenis pokok pisang nipah. 
 
Pokok yang besar dan tinggi menghasilkan tandan yang panjang dan buah yang banyak serta rapat susunannya. Isinya berwarna putih dan kurang manis.

Sejenis lagi pokoknya sederhana tinggi, tandannya pendek dan buahnya lebih bulat dan jarang. Isi buah matangnya berwarna kuning, rasanya lebih manis dan lebih sedap digoreng atau dibuat kerepek pisang.

Selain hasil buah pisang nipah dan jantungnya, daun pisang nipah juga boleh dipasarkan. Daun pisang nipah agak lebar dan tebal sesuai digunakan dalam penyediaan makanan.  

No comments:

Post a Comment