Sunday, 23 January 2022

CARA BAYAR ZAKAT FITRAH

 
Zakat fitrah merupakan kewajipan fardu ain ke atas setiap orang Islam. Kewajipan yang dilaksanakan di bulan Ramadan ini bertujuan membersih dan menyucikan jiwa mereka yang berpuasa daripada perkara yang sia-sia dan seterusnya bayaran fitrah tersebut dapat digunakan untuk membantu fakir dan miskin membuat persiapan menyambut Hari Raya. 
 
Inilah di antara keindahan Islam di sebalik pensyariatan sesuatu ibadah kepada penganutnya. Sesungguhnya peranan zakat dalam membina sosio ekonomi dan sosial masyarakat Islam amatlah penting dan mesti dihayati sepenuhnya oleh setiap muslim. 
 
Zakat dari segi bahasa bermaksud bersih, suci, subur dan berkembang. Zakat fitrah bermaksud zakat diri yang diwajibkan ke atas setiap individu muslim lelaki dan perempuan dalam bulan Ramadan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan. 
 
Zakat fitrah difardukan pada tahun kedua Hijriah iaitu pada tahun yang sama difardukan kewajipan puasa Ramadan. 
 
Mengeluarkan zakat fitrah hukumnya adalah wajib ke atas setiap orang Islam yang merdeka dan mampu mengeluarkan pada waktunya. Orang Islam adalah meliputi golongan tua dan muda, lelaki atau perempuan dan berakal atau tidak. 
 
Zakat fitrah dibayar menggunakan makanan ruji atau bahan yang dijadikan makanan seharian seperti beras, gandum, kurma dan sebagainya. Di Malaysia, makanan ruji adalah beras. 
 
Jumlah untuk seorang mengeluarkan zakat fitrah adalah satu gantang baghdad. Bagaimana ukuran segantang baghdad? Di mana hendak cari gantang tersebut. 
 
Pada tahun 2003, Muzakarah Jawatankuasa Fatra Majlis Kebangsaan kali ke-57 sudah berbincang panjang lebar pasal cara nak tetapkan harga zakat fitrah di seluruh Malaysia. 
 
Muzakarah telah memutuskan: 
- Harga zakat fitrah untuk negeri-negeri Semenanjung Malaysia berdasarkan harga setempat yang ditetapkan oleh BERNAS bagi beras Super Tempatan Gred A mengikut timbangan  satu gantang Baghdad bersamaan 2.60 kilogram. 
- Harga zakat fitrah bagi Sabah dan Sarawak berdasarkan harga setempat yang ditetapkan oleh BERNAS, masing-masing bagi beras ‘Vietnam White Rice’ bagi negeri Sabah dan ‘Thai White Rice’ bagi negeri Sarawak mengikut timbangan satu gantang Baghdad iaitu bersamaan 2.70 kilogram. 
 
Penetapan harga dilakukan oleh pihak berkuasa agama masing-masing yang ditetapkan pada setiap tahun. Jadi, tidak perlu kita hendak beli beras dan kemudian diserahkan sebagai zakat fitrah. 
 
Cara membayar zakat fitrah boleh digantikan menggunakan wang yang sama nilai dengan bahan makanan ruji tersebut. 
 
Zakat fitrah itu perlu diserahkan kepada golongan asnaf yang layak menerimanya. 
 
Namun, amalan di Malaysia, zakat fitrah biasanya diserahkan kepada amil yang dilantik oleh pihak berkuasa agama di negeri masing-masing, untuk diserahkan kepada yang layak menerimanya.

No comments:

Post a Comment