Thursday 6 April 2023

MAIK bantu keluarga pesakit koma

 
Bergantung harap pada suami, itulah yang menjadi idaman sesetengah isteri dalam menguruskan rumahtangga. Namun lain yang dilalui oleh Zuraida binti Abdul Latif, 43, ibu kepada 6 anak ini di Kampung Tujoh, Tumpat apabila dialah ibu dan bapa buat anak-anaknya. Anak berusia 22, 20, 17, 14, 10 dan bongsu 4 tahun.

Kali ini MAIK Cakno Sengoti telah bergerak ke Kampung Tujoh, Tumpat bagi menyantuni dan menyelami kisah hidup keluarga Zuraida.

Zuraida diuji dengan suaminya Mat Nasir bin Salleh terlantar koma sejak 4 tahun lalu setelah terlibat kemalangan jalan raya di Kota Bharu ketika pulang dari tempat kerja. Ketika itu Zuraida sedang berpantang hari ke-10.

Dia bukan tidak mahu bekerja tetapi suaminya perlu dijaga 24 jam. Dipakaikan lampin dan diberikan susu menerusi tiub. Ubat perlu diberi mengikut waktu untuk elak sawan. Mujurlah belanja susu dan lampin dibiayai PERKESO dan terima bantuan JKM sebanyak RM500 sebulan.

Dia juga bersyukur kerana keluarga mertua dan sanak saudara membantu serta memberi sokongan. Ini menjadi kekuatan buat Zuraida.

Zuraida juga seorang ibu yang bertuah apabila dua anaknya yang bekerja sebagai pekerja pembersihan menghulurkan sedikit wang belanja untuk ibu dan adik-adik. Tapi dia juga kena berjimat. Harga serba-serbi mahal sekarang ni.

Ya Allah, hati kami tersentuh. Setianya, dia menjaga suami terlantar. Dia tidak pernah mengeluh. Tidak sesekali menganggap suaminya sebagai beban. Namun ketika mengimbau kembali, saat suaminya hanya mampu merenung matanya tanpa berkata-kata, nadanya sebak...air mata mula mengalir. Dia anggap ini adalah ujian buatnya. Tiada siapa mahu suami kita berada dalam keadaan sebegini.

Perkataaan malu yang diucapkan untuk berbual dengan kami diawal pertemuan hilang serta-merta ketika itu. Air matanya gugur. Itulah perasaan kasihnya sang isteri kepada suami. Meskipun terlantar.

Semalam, pihak kami diwakili AF. Ustaz Mohd Sidek bin Mamat, Imam Tua Masjid Ismaili Jajahan Tumpat bersama kru Unit Komunikasi Korporat MAIK telah menziarahi dan menyampaikan sumbangan wang tunai sebanyak RM3,000 serta barangan dapur.

YA Allah, Ya Tuhanku. Betapa tersentuhnya hati kami. Ketika sang isteri memberitahu "abang ni ada orang MAIK mari datang melawat, ada bawa sumbangan untuk anak-anak". Secara tiba-tiba dia mengeluarkan bunyi.

Sedangkan sepanjang kami berada di rumahnya dia menyepi. Terbaring kaku. Selepas itu dia kembali senyap.

Biarpun bunyi seperti kahak terlekat tetapi kami faham itu tanda dia bersyukur dan berterima kasih kepada MAIK. Berterima kasih yang sangat bernilai maknanya buat para pembayar zakat. Betapa mulianya hati seorang sang ayah. Didikan terbaik buat anak-anaknya. Mengajar berterima kasih.

Tanda berterima kasih kerana selama empat tahun dia terlantar, dua anaknya yang masih belajar telah menerima Biasiswa Tengku Anis (BTA) di bawah tajaan MAIK. Semasa di awal kejadian kemalangan dahulu, pihak MAIK juga turut datang menziarah dan menghulurkan bantuan.

Kami doakan sumbangan ini dapat membantu mereka sekeluarga.

Terima kasih Para Pembayar Zakat, Anda Hero Asnaf

Teks dan gambar: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan

No comments:

Post a Comment