Thursday, 20 April 2023

AK 29 - MASALAH AIR KRITIKAL DI KELANTAN

 
Masalah tidak cukup bekalan air bersih yang dibekalkan oleh Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) memang perkara biasa. Kalau tidak ada bekalan air langsung keluar melalui paip sehingga berbulan-bulan, itu sudah perkara biasa. Ia bukan berlaku di kawasan tertentu sahaja, bahkan hampir di semua jajahan.
 
Tambah kritikal pada musim kemarau seperti sekarang ini. Memang perit rasanya dengan keadaan panas dan ketiadaan bekalan air.
 
Sekarang pula musim raya. Banyak perantau pulang ke kampung masing-masing. Penggunaan air menjadi bertambah. Maka semakin parah kekurangan bekalan air.
 
Kata seorang penduduk menetap di Kelantan, elok juga musim perayaan ini tiada bekalan air. Biar perantau tahu perit dan derita dialami mereka yang menetap di Kelantan berdepan masalah bekalan air sepanjang masa.
 
Biarlah mereka merasa jarang-jarang sekali. Bukan selalupun, setahun sekali sahaja.
 
Ada ibu bapa kini pergi berhari raya di rumah anak mereka di Lembah Kelang. Tidak perlu anak cucu balik menempuh kesesakan jalan raya dan berdepan situasi masalah bekalan air. Yang tentunya laluan menuju ke Lembah Kelang tidak sesak.
 
Tindakan “bijak” ini diambil terutama ibu bapa yang ada lebih seorang anak di Lembah Kelang. Mereka boleh berhari raya di rumah anak dengan ceria dan tidak berdepan masalah.
 
Ketika perantau bersesak-sesak pulang semula ke Lembah Kelang, mereka pula dengan hati senang bergerak untuk berhari raya di Kelantan pula.

No comments:

Post a Comment