Saturday 7 October 2017

Kesan buruk terlalu banyak ketawa

Islam tidak pernah melarang umatnya melahirkan kegembiraan dan kepuasan hati dengan ketawa. Namun, sebagai agama syumul dengan adab dan disiplin, syariat tetap membataskan tahap ketawa yang dibenarkan.

Cuma yang dilarang ialah berterusan gembira dengan ketawa berlebih-lebihan. Sebaik-baik cara gembira ialah seperti yang dicontohkan oleh Nabi SAW. Baginda tidak terbahak-bahak tetapi hanya tersenyum menampakkan gigi tanpa bersuara kuat.

Kata sahabat: "Ketawa segala Nabi ialah tersenyum, tetapi ketawa syaitan itu tergelak-gelak". 

Lebih tidak bermaruah jika kita ketawa kerana mengejek orang lain. Sudahlah tidak menerima pendapat orang lain, diejeknya pula dengan ketawa. Atau, kita ketawa atas kesengsaraan orang lain. Di manakah sikap perikemanusiaan yang diajar oleh Islam.

Menurut hadis, banyak ketawa menghilangkan akal dan ilmu. Barangsiapa ketawa tergelak-gelak, akan hilang satu pintu daripada pintu ilmu.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Dan janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati." (Riwayat Ahmad dan Tirmizi).

Allah swt berfirman bermaksud: "Oleh itu bolehlah mereka ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (di akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka usahakan." (Surah at-Taubah, ayat 82).

Jelas daripada ayat ini, Allah mengungkapkan sifat lazim kaum munafik selalunya suka mengamal tabiat ketawa berlebihan.

Mengikut kajian, ketawa yang berlebihan akan memutuskan urat ingatan. Itu sebabnya.. orang gila suka ketawa menyebabkan urat ingatannya telah berkurangan.

Kenapa dilarang ketawa berdekah-dekah?

Dalam keadaan suka yang keterlaluan, hati kita lalai dan lupa suasana akhirat dan alam barzakh yang bakal kita tempuhi kelak. Sedangkan dahsyatnya alam tersebut tidak dapat dinukilkan dalam sebarang bentuk media. Kita sedang menuju ke suatu destinasi yang belum menjanjikan kebahgiaan yang abadi. Sepatutnya kita berfikir bagaimana kedudukan kita di sana nanti, samada berbahagia atau menderita.

Berbahagia di dunia bersifat sementara tetapi di akhirat berpanjangan tanpa had. Penderitaan di dunia hanya seketika tetapi di akhirat azab yang berterusan dan berkekalan. Merenung dan memikirkan keadaan ini cukup untuk kita menghisab diri serta menyedarkan kita tentang bahaya yang akan ditempuh.

Ketawa yang melampaui batas menjadikan kita kurang berilmu. Apabila kurang ilmu, akal turut menjadi kurang. Kepekaan terhadap akhirat juga menurun.

Mereka yang banyak ketawa di dunia, nescaya banyak menangis di akhirat. Saidina Ali berkata: "Jauhnya perjalanan, sedikitnya bekalan". Walaupun hebat zuhud dan ibadat beliau, namun merasakan masih kurang lagi amalannya. Betapa kita yang kerdil dan malas beribadat ini sanggup bergembira 24 jam. Dalam kita gembira, kita sering lalai, terlupa dengan Allah SWT.".

No comments:

Post a Comment