Sunday, 15 January 2017

Contoh bentuk komunikasi perniagaan

Komunikasi dalam perniagaan amat penting, tidak hanya terhad bagaimana hendak menjual, tetapi juga hubungan sesama staf dan pembinaan personal.

Terdapat empat bentuk komunikasi dalam perniagaan.

Komunikasi Operasi Dalaman. 

Bentuk komunikasi ini melibatkan hubungan sesama pekerja untuk melakukan tugasan bersama, serta antara pekerja atasan dengan bawahan. 

Bagi organisasi besar, hubungan antara cawangan, jabatan atau sektor juga sebahagian komunikasi operasi dalaman.

Komunikasi bentuk ini penting untuk melicinkan perjalanan operasi. Komunikasi dalam bentuk suara melalui percakapan biasa meliputi perbincangan, arahan, maklumat atau sebagainya yang boleh berlaku secara bersemuka dan kemudahan komunikasi seperti telefon. 

Bentuk komunikasi lain ialah seperti memo, laporan bertulis dan surat. Komunikasi bentuk ini biasanya lebih rasmi yang mana penghantar maklumat menggunakan kaedah bertulis. 

Bermesyuarat atau berbincang juga menjadi sebahagian daripada bentuk komunikasi operasi dalaman. Mesyuarat bertujuan untuk berbincang dan seterusnya mengambil keputusan berkaitan sesuatu perkara. 

Komunikasi Operasi Luaran.

Komunikasi operasi luaran adalah satu bentu komunikasi dengan pihak yang berada di luar organisasi. Pelbagai bentuk komunikasi operasi luaran seperti melalui surat, iklan, surat edaran, email, panggilan telefon dan laman web, selain pertemuan bersemuka.

Komunikasi operasi luar amat penting kerana terpaksa berdepan dengan pelbagai peringkat pelanggan. Mereka mempunyai macam-macam ragam dan sukar untuk diuruskan.  

Keberkesanan komunikasi operasi luar menentukan kejayaan oerganisasi, terutama yang melibatkan hubungan dengan pelanggan. Kejayaan menjual atau memasarkan sesuatu produk bergantung bagaimana komunikasi dilakukan untuk menyakinkan pelanggan. 

Dalam industri yang mempunyai banyak persaingan, cara berkomunikasi amat penting untuk menjalin hubungan. Sebab itu, iklan dan pelbagai bentuk hubungan lain perlu diteruskan dari masa ke semasa.   

Komunikasi Tidak Formal Di Luar.

Komunikasi tidak formal di luar adalah bentuk hubungan pekerja dengan masyarakat luar. Walaupun komunikasi itu bukan dalam bentu rasmi sebagai pekerja, ia tetap membawa imej atau hubungan dengan syarikat. 

Komunikasi bentuk ini sebenarnya berlaku tidak mengira waktu, tempat dan suasana. Maka sebab itu, mereka yang terlibat perlu bersedia untuk menjayakan komunikasi ini. Walaupun tidak formal dan berlaku pada luar waktu tugas, hakikatnya ia dianggap sebagai lambang atau mewakili organisasi.

Komunikasi bentuk ini berlaku mungkin melibatkan jiran, kenalan atau sesiapa saja yang mempunyai minat untuk membincangkan atau mengetahui mengenai organisasi yang kita wakili.

Komunikasi Personal.

Ia perhubungan secara peribadi di antara individu dengan individu lain atau dengan organisai lain. Hubungan ini berlaku apabila perlu menyampaikan sesuatu maklumat atau mendapatkan maklumat. 

Hubungan juga terbentuk sebagai satu hubungan sosial. Manusia tidak dapat hidup dengan sempurna tanpa menjalin hubungan dengan individu atau kelopok manusia lain.

Mereka yang tidak mampu berkomunikasi dengan baik tidak akan mempunyai banyak kawan disebabkan wujud halangan seperti gagal memahami perasaan orang lain, mementingkan diri, sombong dan tidak dapat menerima teguran. 

Kegagalan membentuk komunikasi personal yang baik akan menyebabkan hidup rasa terasing dan tidak ada kawan. Ia memberi imej yang buruk terhadap diri sendiri dan mungkin turut melibatkan organisasi.

No comments:

Post a Comment