Friday, 20 January 2017

Definisi maqasid syariah

Maqasid berasal daripada perkataan ‘maqsud’ atau ‘maqsad’ yang membawa erti kehendak, matlamat atau tujuan. Manakala perkataan syariah menurut istilah pula membawa maksud ‘apa yang telah ditentukan oleh Allah SWT kepada manusia, merangkumi pelbagai hukum serta undang-undang’.  

Syariah juga bermaksud ‘yang dikehendaki oleh syarak melalui sumber dalilnya menerusi al-Quran dan as-Sunnah. Terdapat pelbagai pendefinisian telah dilontarkan oleh ulama usul fiqh tentang istilah maqasid.

Ibn Asyur mendefinisikan maqasid sebagai “Segala pengertian yang dapat dilihat pada hukum-hukum yang disyariatkan pada keseluruhannya atau sebahagian besarnya”

Al-Qadi Iyad mendifinisikan maqasid sebagai mengelakkan kemudaratan. Katanya, “berhukum untuk mengelakkan kemudaratan adalah wajib”.
Bagi Ibn al-Arabi menyifatkan maqasid sebagai mengelakkan kesusahan atau masyaqqah. Kata Ibn al-Arabi dengan kata-katanya: “Tidak harus membebankan seseorang dengan apa yang ia tidak mampu”.  

Ini bertepatan dengan konsep bahawa Islam itu mudah dan tidak memberi kepayahan kepada umatnya. Sesiapa mengikut Islam pasti selamat, aman dan bahagia.

Ada ulama yang menganggap maqasid ialah maslahah itu sendiri, sama ada menarik maslahah atau menolak mafsadah. Apa saja yang dilakukan memenuhi keperluan untuk manusia melalui kehidupan di dunia tanpa berdepan masalah atau mengurangkan masalah yang dihadapi. 

Al-Izz bin Abdul Salam mengatakan “Syariat itu semuanya maslahah, sama ada menolak kejahatan atau menarik kebaikan…” .

Hakikat itu bersesuaian dengan ketentuan syariat untuk memberi kebaikan kepada manusia. Syariat menentukan kehidupan manusia mendapat kebaikan dan menghindar keburukan.

Tentu sekali, mendapat kebaikan dan menghindar keburukan lebih-lebih lagi untuk kehidupan di akhirat. Mereka yang mengikut syariat sudah pasti mendapat balasan pahala yang membawa ke syurga dan terhindar daripada api neraka. 

Ini seperti mana dijelaskan oleh Ibn al-Qayyim bahawa syariah itu berasaskan kepada hikmah-hikmah dan maslahah-maslahah untuk manusia sama ada di dunia atau di akhirat.

Justeru, perubahan hukum yang berlaku berdasarkan perubahan zaman dan tempat adalah untuk menjamin syariah dapat mendatangkan kemaslahatan kepada manusia

Dalam hal ini, ternyata hukum-hukum Islam tidak kaku. Sesuai dengan perubahan semasa, keperluan ijtihad yang berkaitan dengan keperluan hidup manusia perlu dibuat.

Ini tidak bermakna Islam membenar dan mengikuti apa saja kehendak umatnya sepertimana dilakukan oleh penganut agama lain yang sewenang-wenang mengubah hukum berdasarkan kepada kehendak individu atau kelompok tertentu.

Hakikatnya, dalam penentuan hukum, semua perkara adalah harus, melainkan ada hukum yang jelas mengatakan ia haram. Kaedah ini dipakai oleh ulama dalam membuat sesuatu ijtihad, selain menggunakan kaedah-kaedah lain yang diterima sebagai satu ‘pemutus’ hukum kepada sesuatu perkara.

Maka itu, terdapat ulama dulu yang menganggap maqasid itu sebagai logik pensyariatan sesuatu hukum. Apa yang diijtihadkan adalah menepati lojik mengapa ia perlu diputuskan.

Ia sebagai satu pegangan hukum kepada sesuatu perkara yang diyakini bahawa itu satu perkara yang wajar untuk mendapat kebaikan dan menolak keburukan.  

Ini bermakna maqasid bukanlah pengertian yang dapat dilihat pada hukum-hukum tertentu secara khusus. Contohnya melahirkan kebaikan, menolak kejahatan dan konsep kesamarataan antara manusia yang ada pada setiap pensyariatan hukum-hukum syara.

Ibn Asyur telah membahagi maqasid dengan lebih terperinci lagi dengan mengkategorikan kepada dua iaitu maqasid umum dan maqasid khusus. Menurutnya maqasid umum ialah maqasid yang dapat dilihat dalam hukum-hukum yang wajib dan melibatkan semua individu secara umum.

Manakala maqasid khusus pula ialah cara yang digunakan oleh syariah bagi merealisasikan kepentingan umum melalui tindak-tanduk perseorangan. Contohnya hukum merekodkan perjanjian hutang dalam bidang muamalat.

I’lal al-Fasi mendefinisikan maqasid sebagai “matlamat syariah dan rahsia-rahsia pensyariatan setiap hukum (Islam)”.

Ahmad Al-Raisuni mendefinisikan maqasid sebagai “matlamat-matlamat yang ingin dicapai oleh syariat demi kepentingan umat manusia”.

Beliau telah membahagikan maqasid dengan lebih teliti lagi berbanding dengan Ibn al-Asyur iaitu dengan membahagikannya kepada tiga bahagian, iaitu maqasid umum, maqasid khusus dan maqasid serpihan (juziyy).

Menurut beliau maqasid umum ialah objektif yang diambilkira oleh syara’ dalam menentukan semua atau sebahagian besar hukum syara. Contohnya konsep keadilan dan kesamarataan (al-Musawah) yang terdapat dalam semua hukum syara.

Maqasid khusus ialah yang diambilkira oleh syariah dalam menentukan sesuatu atau beberapa kelompok hukum tertentu, contohnya hukum kekeluargaan. Manakala maqasid serpihan ialah yang diambilkira oleh syariah dalam menentukan sesuatu hukum tertentu, contohnya hukum sunat berkahwin.

Manakala, Ibn Rusyd menyifatkan maqasid sebagai hikmah pensyariatan hukum Al-hikmah membawa erti yang sama dengan maqasid. Hikmah adalah kebijaksanaan dan teliti dalam menyelesaikan masalah semasa yang perlu diputuskan untuk kepentingan umum. 

Pada pandangan al-Syatibi, Allah mencipta syariat dengan tujuan untuk merealisasikan maqasidnya untuk sekalian manusia iaitu untuk memberikan kebaikan (maslahah) kepada mereka dan mengelakkan keburukan (mafsadah) daripada menimpa mereka.

No comments:

Post a Comment