Berhati-hati dalam berkata-kata kerana takut perkataan
diucapkan akan melukakan hati seseorang sepanjang hayat. Tindakan itu diambil
di atas dasar, lebih baik diam daripada berkata-kata. Kata bijak pandai, diam
itu adalah bijaksana.
Dalam hal ini kita perlu memahami
maksud menjaga kata-kata dan diam itu adalah untuk mengelak keburukan. Tetapi,
adakah perlu kita diam untuk mencari kebenaran.
Tidakkah Rasulullah SAW bersabda
supaya menyampai suatu daripada baginda biarpun satu ayat? Bagaimana
hendak kita menyampaikan jika kita diam dan terlalu ingin menjaga hati orang
lain?
Salah satu menyampaikan dakwah ialah
melalui kata-kata.
Perlu diingatkan, kita mungkin
menyesal kerana tidak berkata-kata sesuatu perkara sedangkan kita berpeluang
menyatakan pada seseorang. Di akhirat nanti kita akan dipersoalkan oleh orang
lain mengapa kita tidak memberitahu kepada sesuatu kepadanya perkara yang
sepatutnya dia tahu.
Berkatalah perkara yang benar biarpun
pahit. Kerana tidak mahu menyakitkan hati orang, kita sebenarnya telah gagal
melaksanakan tanggungjawab menyeru orang melakukan kebaikan dan mengelak
perkara buruk.
Kalau dalam urusan lain kita boleh
berurusan dengan seseorang, mengapa tidak dalam perkara mendatangkan kebaikan.
Ambillah kesempatan atau peluang
ketika kita masih boleh berkata-kata untuk melakukan kebaikan dan membantu
orang lain melalui ucapan atau kata-kata kita.
Tetapi, jika masih memilih untuk
berdiam, itulah selemah-lemah iman dalam usaha melakukan dakwah atau ‘mencegah’
perkara buruk.
Penggunaan lisan atau lidah
(perantaraan mulut) dalam kehidupan seharian adalah cara komunikasi sesama
manusia paling berkesan. Malah, binatang ‘boleh’ memahami suara manusia.
Biarpun manusia boleh berbahasa
isyarat menggunakan anggota badan seperti tangan, mimik muka dan gerak badan,
berkomunikasi cara itu agak terbatas dan lebih sukar.
Justeru, tepat sekali dikatakan
lidah merupakan pancaindera terpenting. Sesiapa tidak boleh bercakap atau bisu
dikategorikan sebagai cacat atau kekurangan pancaindera. Justeru, individu yang
dikurniakan kebolehan bercakap dan sempurna pancaindera lidah, perlu
menggunakan anugerah Allah itu dengan sebaik-baiknya.
Hal ini perlu diberi perhatian,
disebabkan tidak menjaga lidah banyak bencana berlaku. Sebab itu senarai dosa
melibatkan pancaindera lidah lebih banyak berbanding pancaindera lain.
Abu Bakar as-Siddiq pernah
menunjukkan lidahnya kepada seseorang lantas berkata: “Inilah mendatangkan
hal-hal kebinasaan kepadaku.”
Sebab itu pepatah orang tua ada
mengingatkan ‘kerana mulut badan binasa’. Justeru bila bercakap perlu
berhati-hati agar tidak terkeluar perkataan mendatangkan keburukan. Sepatah
perkataan terkeluar, sukar untuk ditarik balik. Maka ingatlah kata-kata
‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa”.
Seorang pemikir Islam, Ibnu Thaus
mengumpamakan lidahnya seperti binatang buas yang jika dilepas bebas nescaya
akan memakan dirinya sendiri. Maka, harus lidah itu dijaga dengan
sebaik-baiknya agar tidak terlepas kata yang membinasakan diri sendiri.
Menjaga lidah daripada bercakap
memang satu tugas berat. Bidalan ada menyebut bahawa ‘lidah tidak bertulang’,
menjelaskan betapa sukar mengawal lidah yang mudah bercakap apa sahaja
perkataan.
Sebab itu soal menjaga mulut perlu
diberi perhatian oleh setiap umat Islam. Menjaga mulut disamakan seperti
menjaga agama. Percakapan menjadi lambang peribadi umat Islam yang mementingkan
pekerti mulia. Setiap tutur kata mempunyai nilai.
Antara perkara yang perlu kita
berdiam diri ialah memperkatakan tentang keaiban kawan. Kita tidak wajar
memperkatakan keaiban kawan, biarpun ketika berada di hadapannya, maupun ketika
ketiadaannya bersama-sama. Cara itu bertujuan mengelak salah faham, mungkin mengakibatkan
perbalahan.
Perpecahan di kalangan umat Islam
dapat melemahkan kesatuan dan kekuatan. Keadaan ini dengan mudah digunakan oleh
musuh Islam untuk memburuk-burukkan Islam. Mereka dengan mudah menggunakan isu
perpecahan umat Islam sebagai menunjukkan kelemahan ajaran Islam.
Yakinlah, Islam agama kebaikan. Tidak
ada satupun ajaran Islam mengajar kepada keburukan. Keburukan dan kelemahan itu
dilakukan oleh umat Islam yang sifat imannya masih lemah dan kurang penghayatan
kepada ajaran Islam. Ini termasuklah suruhan menjaga mulut yang kurang diambil
perhatian oleh individu Islam.
Menjaga mulut bermakna mengucapkan
perkataan yang baik-baik dan mengelak daripada keluar perkataan mendatangkan
keburukan. Bagaimanapun, seringkali berlaku ketika bercakap terkeluar perkataan
tidak baik dengan tidak sengaja. Keadaan itu memang sukar dielakkan.
Justeru untuk mengelak terkeluar
perkataan tidak baik dengan sengaja ialah diam. Perkara ini ditegaskan oleh
Rasulullah melalui sabda bermaksud: “Sesiapa diam, nescaya dia terlepas
(daripada bahaya).” (Hadis riwayat
Tarmizi).
Bagaimanapun, hadis tersebut tidak
pula bermakna Rasulullah melarang daripada bercakap. Sebaliknya ia lebih berupa
satu peringatan. Orang yang mementingkan nilai baik dalam kehidupan pasti
sentiasa berhati-hati setiap kali bercakap.
Untuk mengelak memperkatakan sesuatu
perkara buruk ialah menjauhkan diri daripada situasi yang mendorong
perkataan-perkataan buruk diucapkan. Contohnya, jauhkan diri daripada mereka
yang dikenali sering bercakap perkara-perkara tidak baik. Jika kita
bersama-samanya, sudah pasti turut sama terpengaruh mengucapkan perkataan itu.
Tidak ada ruginya kita mengelak diri
daripada orang berperangai buruk. Bahkan, jika bersama-sama orang berperangai
buruk, perangai itu akan berjangkit kepada kita.
Individu suka membuka aib individu
lain tidak memilih siapa yang menjadi mangsanya. Apa gunanya berkawan dengan
orang suka membuka aib orang lain, yang kemungkinan kita juga bakal jadi
mangsanya. Kawan yang baik berusaha menutup aib kita, bukan sebaliknya.
Sudah kebiasaan apabila berada dalam
kumpulan lebih daripada seorang, maka terkeluar percakapan yang diselang seli
dengan kata-kata tidak baik. Malah banyak perkataan yang bermaksud buruk
diucapkan secara berbisik-bisik. Tujuan berbisik-bisik itu dirasakan ‘terbaik’
untuk mengelak perkara merebak didengari oleh ramai orang.
Sebenarnya biarpun dalam keadaan
berbisik-bisik, ia tetap ditegah dan mendatangkan mudarat. Firman Allah
bermaksud: “Wahai orang-orang beriman, apabila kamu berbisik-bisik sesama
sendiri, maka janganlah kamu berbisik-bisik untuk melakukan dosa dan
pencerobohan serta perbuatan derhaka kepada Rasulullah. Hendaklah kamu bertakwa
kepada Allah, yang kepada-Nya kamu kelak bakal dihimpunkan.” (Surah
al-Mujaadalah, ayat 9).
Oleh itu cara terbaik mengelak diri
daripada melakukan dosa melibatkan lidah ialah dengan lebih mengamalkan sikap
berdiam diri. Tindakan itu mungkin dianggap biadab, tetapi itu lebih baik
daripada mendapat kemurkaan Allah.
No comments:
Post a Comment