Di jajahan Kuala Krai, Kelantan
terdapat banyak jeram dan lata yang sesuai dijadikan lokasi perkelahan yang
terkenal. Kawasan yang berbukit dan banyak aliran sungai membentuk jeram dan
lata yang menarik. Di jajahan Kuala Krai, nama Lata Rek sudah lama dikenali sebagai
kawasan perkelahan jeram yang terkenal.
Salah satu lata yang menarik di
jajahan Kuala Krai yang semakin dikenali ialah Lata Berangin yang terletak
kira-kira 15 kilometer dari bandar Kuala Krai. Ia boleh dikunjungi sama ada
melalui Guchil - Batu Balai - Kampung Mengkebang - Kampung Sungai Pas atau
melalui Kampung Pahi - Kampung Sungai Pas.
Sebelum ini, Lata Berangin lebih
dikenali sebagai tapak mini hidro elektrik. Namun, janakuasa itu kini tidak
berfungsi lagi. Ia sekaligus menjadikan tempat itu terbuka kepada semua
pengunjung.
Malah, aliran air yang dulu separuh
daripadanya dialirkan melalui pembentung kini sepenuhnya menjadi air terjun
yang mengalir cantik. Masalah kekurangan air terjun kini tidak berlaku lagi
apabila tidak perlu berkongsi dengan pembentung.
Tapak perkelahan Lata Berangin telah
dibangunkan dengan pembinaan jalan berturap, tandas, tempat letak kereta,
tangga konkrit turun ke sungai dan beberapa kemudahan lain. Kemudahan yang
disediakan itu menjadikan tempat itu lebih menarik dan memberi keselesaan
kepada pengunjung.
Keindahan Lata Berangin terletak
kepada diding batu pejal setinggi kira-kira 50 meter yang menjadi punca air
terjun. Pemandangan cantik itu sudah kelihatan sebaik pengunjung memasuki
kawasan itu. Ia secara langsung menggamit dan rasa tidak sabar untuk pengunjung
menghampiri kawasan itu dan menikmati suasana damai lagi mengasyikan itu.
Sumber air dari puncak tersembur
keluar dengan laju turun menghempas batuan pejal membentuk satu pemandangan
yang cantik. Ia melalui satu lurah batu sebagai laluan utama, selain ada laluan
kecil dari beberapa arah. Namun, apabila hampir sampai ke bawah, ia bersatu
membentuk satu laluan air terjun saja dan terus masuk ke satu kawasan.
Sunggupan kawasan itu berada di
luruh dalam yang di kelilingi dinding batu pejal dan bukit, suasananya sungguh
nyaman dengan tiupan angin. Mungkin disebab itulah ia dikenali Lata Berangin.
Di tempat di mana berakhir air
terjun, terdapat sebuah kolam sederhana besar. Ia sesuai dijadikan tempat untuk
berenang dan melakukan aksi terjun. Bagaimanapun, dinasihatkan kepada
pengunjung yang tidak tahu berenang tidak mandi di kolan itu disebabkan ia agak
dalam berbahaya.
Pun begitu, pengunjung boleh mandi
manda di kawasan air cetek yang selamat, termasuk kanak-kanak, asalkan tidak
masuk ke kawasan air dalam di tempat air terjun. Airnya yang dingin, jernih dan
mengalir menjadikan aktiviti mandi manda begitu menyeronokkan. Ia sesuai
dijadikan aktiviti berkeluarga kerana semua orang boleh terlibat sama.
Jika tidak mandi manda, anda boleh
beristirahat di kawasan berbatu di tepi sungai. Rehatkan diri anda bersama
keluarga sambil menikmati suasana damai dengan melepaskan pandangan ke air
terjun yang berkejaran menghempaskan diri ke batu-batu pejal.
Jika ini berada di tempat yang lebih
sunyi dan jauh dari orang ramai, pengunjung boleh memilih kawasan berhampiran
sepanjang jalan masuk. Bagaimanapun, kawasan tebing yang boleh dijadikan tempat
duduk agak terhad.
Diharapkan Lata Berangin akan terus
dimajukan dan dipromosikan sebagai destinasi pelancongan terkenal di Kuala
Krai.
No comments:
Post a Comment