Benteng batu yang dibina sekitar tahun 1990 itu menjadi kunjungan orang
ramai untuk menjejak di atas batu-batu besar yang disusun rapi itu. Di hujung
benteng terdapat rumah api untuk menjadi panduan kepada perahu masuk ke muara
sungai pada waktu malam.
Berjalan di atas batu besar yang di antara satu sama lain ada lubang besar
dan tidak rata memberi satu cabaran kepada mereka yang ada perasaa gayat dan
sukar berjalan di atas permukaan tidak rata. Keadaan itu dapat memberi
'latihan' dan cabaran minda kepada mereka, walaupun bagi orang lain mungkin
boleh berlari di atas batu-batu itu.
Bagi kaki pancing, batu-batu di
benteng sebagai tempat duduk mencampakkan joran. Pantai Senok merupakan di
antara tempat tumpuan kaki pancing, selain di Kuala Kemasin, Pantai Kemayang
dan Tok Bali.
Sebenarnya, kunjungan ke Pantai
Senok bukan semata-mata kerana batu-batu besarnya, tetapi sekarang ini daya
penarik utama ialah barisan pokok rhu yang menghiasi kawasan dataran Pantai
Senok.
Pantai Senok kini lebih dikenali
dengan nama Pulau Nami, mengambil nama kawasan peranginan terkenal di Korea
Selatan yang terkenal dengan keindahan pokok rhu. Kawasan pokok rhu sering
dijadikan lokasi untuk pengambaran pasangan pengantin baru dan mereka yang
inginkan panorama indah kawasan yang dianggap istimewa itu.
Pokok rhu yang ditanam Jabatan
Perhutanan Kelantan sejak kira-kira 20 tahun lalu kini menjadi aset penting
sebagai daya penarik pengunjung ke Pantai Senok sehingga kini lebih mengenai
Pantai Senok sebagai Pulau Nami. Banyak orang yang diperkenalkan tempat itu
dengan nama Pulau Nami tidak mengetahui bahawa nama kawasan peranginan itu
adalah Pantai Senok.
Namun, biarpun pokok rhu menjadi daya
penarik ke Pantai Senok, tidak kurang juga yang lebih memberi tumpuan untuk
berada di atas batu-batu besar. Berjalan di atas batu besar dianggap sebagai
terapi dan menyeronokkan.
No comments:
Post a Comment