Tuesday, 18 September 2018

SIAPA PEMILIK MERIAM LAMA DI KOTA BHARU

Di sekitar bandar Kota Bharu, terdapat meriam lama yang menghiasi sesuatu sudut. Meriam itu ada yang besar, dan ada yang kecil. Bentuknya juga tidak sama. Ukuran lubang laras (lubang peluru) juga berlainan.

Misteri merian-meriam lama yang terdapat banyak di sekitar Kota Bharu belum terjawab sepenuhnya. Dianggarkan terdapat kira-kira 72 meriam lama pelbagai saiz terdapat di sekitar Kota Bharu. Menariknya, meriam-meriam itu secara konsepnya tidak ada siapa pemiliknya. 

Namun begitu, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI) sebagai ‘penyelia’ meriam-meriam itu bolehlah dianggap sebagai ‘pemiliknya’. Selain MPKB BRI, beberapa agensi kerajaan, di mana meriam itu kini berada di kawasan agensi berkenaan, dianggap pemilik meriam berkenaan.

Meriam itu satu artifek bersejarah. Sepatutnya, meriam-meriam berkenaan diberi perhatian, terutama dari segi hubungan sejarah bagaimana boleh berada di Kota Bharu. 

Sebelum ini terdapat pihak yang telah berusaha untuk mengkaji mengenai kewujudan meriam-meriam berkenaan. 

Kewujudan meriam itu secara langsung mempunyai kaitan dengan hubungan diplomatik antara Kelantan dengan negara asal meriam berkenaan.

Berdasarkan kajian yang dilakukan sebelum ini, mendapati ada antara meriam-meriam yang terdapat di Kota Bharu telah berusia lebih 187 tahun (2018). Manakala selebihnya dipercayai berusia lebih 100 tahun.

Contohnya, ada antara meriam itu pada badannya terdapat catatan mengenai tempat dan bila dibuat. Tulisan itu telah kabur dan sukar dibaca disebabkan berkarat. Bagaimanapun, dengan menggunakan teknik menabur serbuk putih di bahagian tulisan, catatan itu boleh dibaca.   

Antara meriam itu dikenalpasti diperbuat di China pada zaman Dinasti Ching, iaitu sekitar tahun 1831. 

Meriam itu dipercayai dihadiahkan oleh pemerintah kerajaan China kepada kerajaan Kelantan pada ketika itu. Ini membuktikan, pada ketika lalu telah wujud hubungan baik antara kerajaan China dengan kerajaan Kelantan, yang antara lain melalui aktiviti perniagaan. 

Ada juga yang menyebut meriam itu dihadiahkan oleh pedagang China setiap kali singgah di Kelantan. Hadiah biasanya dalam bentuk benda yang istimewa dibawa daripada sesuatu tempat. Dalam hal ini, meriam amat istimewa dan penting untuk digunakan mempertahankan negeri.

Selain meriam buatan China, ada antara meriam itu jenis ‘Dutch’ buatan England. Tiada catatan mengenai tarikh meriam itu dibuat. 

Meriam buatan England dipercayai dibawa lebih awal sebelum British menaungi Kelantan bermula tahun 1909. Kerajaan Siam (Thailand) menyerahkan Kelantan untuk diletakkan di bawah naungan British melalui Perjanjian 1909. Sebelum itu Kelantan berada di bawah naungan Siam sejak hubungan yang terbentuk dari ahun 1812. 

Mungkin juga meriam buatan England dibawah oleh saudagar Robert William Duff pada sekitar tahun 1900 yang mendapat konsesi meneroka hasil bumi Kelantan. 

Satu lagi kemungkinan, meriam-meriam itu dihantar oleh kerajaan British melalui Pesuruhjayanya di Singapura sebagai memenuhi permintaan Sultan Kelantan agar British masuk campur tangan dalam beberapa urusan berkaitan pentadbiran negeri. 

Tentang siapa membawa meriam-meriam ke Kelantan, apa yang pasti meriam-meriam itu amat berharga dari segi sejarah politik Kelantan. 

No comments:

Post a Comment