Tuesday, 18 September 2018

REBANA UBI IDENTITI SENI WARISAN KELANTAN

Paluan rebana ubi sering digunakan menandakan perasmian sesuatu acara yang dilakukan oleh tetamu khas. Paluan rebana boleh didengari sehingga beberapa ratus meter dengan jelas. Bahkan jika dipalu secara berkumpulan bunyinya boleh didengari sehingga jarak melebihi satu kilometer.

Penggunaan rebana ubi sekarang semasa upacara perasmian acara sekarang hanya sebagai simbolik mengekalkan tradisi warisan bangsa. Paluan itu menandakan satu hebahan dibuat menggunakan bunyi-bunyi seperti yang dilakukan pada zaman dahulu.

Pada zaman dahulu rebana ubi digunakan sebagai alat komunikasi untuk menyampaikan sesuatu mesej kepada penduduk. Paluan itu dilakukan dalam berbagai-bagai rentak yang boleh  difahami oleh penduduk setempat untuk menghebahkan berita kematian, kenduri, perkahwinan, malapetaka dan sebagainya.

Penggunaan rebana ubi banyak ditemui di Kelantan. Rebana ubi menjadi pemainan yang popular dan mendapat tempat dalam segenap lapisan masyarakat.

Sejarah permainan rebana di Kelantan tidak dapat dipastikan bilakan mula diperkenalkan. Begitu juga tidak diketahui dari mana asalnya. Bagaimanapun, ada pendapat mengatakan rebana sudah dimainkan di Kelantan sejak lebih 600 tahun lalu.

Pembuatan rebana dipercayai diperkenalkan di Kelantan oleh pedagang Arab yang pernah mengadakan hubungan dagang dengan penduduk Kelantan. Bagaimanapun, rebana di Kelantan tidak sama dengan rebana yang dimainkan di Arab. 

Rebana di Kelantan dipercayai ditiru berdasarkan fungsi rebana Arab yang digunakan untuk komunikasi dan hiburan.

Rebana ubi di Kelantan dipercayai mula diperkenalkan pada tahun 1898. Sebelum itu rebana di Kelantan dikenali rebana besar. Secara am, gambaran mengenai rebana besar ialah bentuknya lebih besar daripada rebana ubi. 

Pada awal 1900 terdapat permainan yang disebut dikir rebana di mana rebana ubi dipalu mengiringi kumpulan pendikir. Dikir rebana amat terkanal di Kelantan sebelum wujudnya dikir barat di Kelantan sekitar tahun 1940-an.

Ketika itu boleh dikatakan di setiap kampung di Kelantan terdapat kumpulan rebana ubi sama ada dimainkan ketika persembahan dikir rebana, maupun persembahan solo rebana. 

Untuk menyemarakkan permainan rebana ubi, pertandingan antara kampung sering diadakan terutamanya ketika lepas musim menuai padi atau menyambut hari tertentu. 

No comments:

Post a Comment