Rebana ubi diperbuat daripada kayu bulat dinamakan
'temalang' yang ditebuk dari atas ke bawah menjadi lubang berongga di dalamnya.
Ukuran garis pusat tidak sama bagi setiap rebana ubi. Kebiasaannya ukuran
garis pusat rebana ubi antara 50 hingga 70 cm.
Muka sebelas atas ditutup dengan kulit kerbau jantan yang
telah dikeringkan dipanggil belulang. Kulit kerbau jantan digunakan kerana
lebih tebal dan tahan lama berbanding kulit kerbau betina dan kulit lembu.
Untuk dilekatkan, belulang dijalin menggunakan rotan yang
disimpul dari atas sehingga ke kayu dibuat khas berbentuk bulatan. Baji-baji
berukuran lebih kurang 15 cm diselitkan antara kayu dengan temalang untuk
menegangkan belulang. Keadaannya perlu betul-betul tegang bagi memastikan nada
bunyi tinggi dan merdu apabila dipukul.
Pada badan rebana ubi yang telah siap biasanya dicat dan
dihias agar kelihatan lebih menarik dan menunjukkan kreativiti kumpulan. Di
permukaan belulang biasanya dilukis gambar atau tulisan nama kumpulan.
Di sekeliling badan rebana ubi juga dilukis gambar bunga
atau lakaran seni yang menarik. Selain itu rebana ubi juga dipasang renda dan
rangka berbentuk tertentu yang juga dihias cantik.
Rebana ubi diletakkan di atas kekuda khas untuk
dimainkan. Ketika persembahan kedudukan rebana ubi biasanya diletakkan keadaan
mukanya sudut tepat atau sedikit condong dengan tanah.
Bagaimanapun jika dipalu untuk tujuan lain, biasanya
diletakkan berdiri dengan muka di atas.
Dalam pertandingan rebana ubi, setiap pasukan mengandungi
enam buah rebana dan 15 pemain, termasuk seorang jora dan dua pemain simpanan.
Setiap pasukan dikehendaki memperdengarkan beberapa buah
lagu berlainan rentak dan ragam (cap). Antara lagu yang biasa dimainkan ialah
tagar barat, berinai, hulubalang, pak dogol, menyambut, berjalan, putra kala,
keceh tepi, tok pelupoh, kuda melompat, kuda perang, tukar dalang dan mengulik.
Semasa memainkan lagu, paluang dilakukan dengan
menggunakan tangan. Persembahan lagu dilakukan bergilir-gilir antara dua
pasukan bertanding. Selepas itu kedua-dua kumpulan akan memalu
secara serentak atau 'bersimbong' dengan menggunakan pemalu khas.
Antara markah dinilai ketika pertandingan rebana ubi
ialah keseragaman pakaian peserta, kecantikan rebana, tatatertib peserta, lagu
dan rentak, kemerduan suara, lendik (hujung jatuh) dan suara lantang
(bersimbong).
Untuk memastikan rebana ubi menghasilkan bunyi yang
tinggi dan merdu, persiapan teliti sebelum pertandingan perlu dibuat. Perkara
penting yang perlu diberi perhatian ialah baji-bajinya diketatkan betul supaya
kedudukan belulang tegang dan tidak mudah longgar apabila dipalu.
Bagi pasukan mementingkan persembahan terbaik akan
melantik 'tukang baji' mahir ditugaskan khusus untuk menentukan keadaan rebana
ubi dalam keadaan baik sebelum bertanding atau membuat persembahan.
Permainan rebana ubi masih popular di Kelantan biarpun tidak
sehebat dahulu. Kekurangan pakar membuat rebana ubi dan kurang minat golongan
muda meneruskan permainan tersebut menyebabkan kini semakin kurang mendapat
sambutan.
No comments:
Post a Comment