Melancong bermaksud melawat dan
melihat tempat lain. Melancong tidak semestikan melawat tempat di luar negara
saja. Melawat atau ziarah sanak saudara di dalam negara juga termasuk dalam
erti melancong.
Islam sebenarnya telah lama
memperkatakan tentang aktiviti melancong dan menggembara. Galakkan itu
bertujuan untuk mendapat banyak kebaikan daripadanya. Dalam al-Quran terdapat kalimah
seperti sihu, yasiru, siru dan al-rihlah yang mempunyai maksud berkaitan dengan
mengembara dan melancong.
Orang beriman semakin bertambah
imannya setiap kali melihat kejadian alam yang memperlihatkan kelainan. Terpancul
dari mulut mereka kalimat seperti, Maha Suci Allah Yang Maha Pencipta.
Firman Allah bermaksud: “Kau tidak
melihat sekali-kali pada ciptaan Tuhan yang Maha Pemurah, sesuatu yang tidak
seimbang. Maka lihatlah berulang-ulang, adakah kamu lihat sesuatu yang tidak
seimbang? - (Surah al-Mulk, ayat 3)
Pelancong seharusnya menggunakan
kesempatan untuk mencari sesuatu yang baik sebagai tujuan agar dapat dilakukan
atau ditiru di tempat sendiri. Islam menggalakkan agar mendapat sesuatu
pengetahuan dan pengalaman di tempat lain yang kemudiannya dapat dimanfaatkan
di tempat sendiri.
Mengembara juga harus digunakan
untuk meluaskan peluang perniagaan. Nabi Muhammad pernah mengembara berniaga
dari satu tempat ke satu tempat. Apa
yang dilakukan Rasulullah membuktikan bahawa untuk berjaya dalam perniagaan
perlulah memperluaskan kawasan pasaran keseluruh dunia. Manusia memerlukan pelbagai
keperluan, termasuk yang tidak ada di negara sendiri. Justeru, keperluan itu
mesti diperoleh di tempat lain. Ini hanya dapat dilakukan dengan adanya
perniagaan merentasi sempadan.
Sejarah mencatatkan antara punca
kejayaan pedagang Arab berjaya dalam bidang perniagaan ialah sikap suka
mengembara memasarkan barang dagangan mereka. Pedagang Arab berniaga sehingga
ke seluruh Nusantara dan Benua China. Melalui perdagangan jugalah agama Islam
disebarkan.
Masyarakat Barat yang menjajah
seluruh dunia dulu pun disebabkan ingin menguasai pedagangan dunia. Mereka
menakluk dan menguasai perniagaan yang memberi keuntungan besar kepada negara
mereka. Hasil kekayaan negara yang dijajah dikaut sepenuhnya oleh negara
penjajah. Inilah nasib yang dialami oleh negara kita ketika dijajah oleh kuasa
asing dulu. Negara kita dijajah selama 446 tahun bermula dengan jatuhnya
Kesultanan Melayu Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511 sehinggalah negara
mencapai kemerdekaan daripada British pada tahun 1957.
Semasa melancong juga memberi
kesempatan untuk kita melihat kehidupan masyarakat yang berlaku di tempat orang yang masih dalam
kemunduran. Bahkan, di sesetengah tempat sering berlaku perbalahan sesama
sendiri. Masalah jenayah berlaku dengan berleluasa.
Apa yang dilihat itu dapat memberi
pengajaran untuk melihat dalam diri sendiri. Kita akan merasa bersyukur dapat
hidup di negara kita yang aman damai ini berbanding apa yang berlaku di negara
lain. Perkara ini dijelaskan oleh Allah mengenai nasib golongan yang
membelakangkan perintah-Nya.
Firman Allah bermaksud: “Pergilah
berjalan (mengembara) di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana akibat orang
yang mendustakan Allah.” - (Surah al-Anam, ayat 11) Manakala firman Allah dalam surah an-Naml
ayat 69 bermaksud: “Katakanlah: Jelajahilah muka bumi ini dan lihatlah
bagaimana akibat (yang menimpa) orang-orang yang berdosa.”
Kita perlu insaf mempelajari setiap
apa yang dapat dipelajari sepanjang pengembaraan. Allah memberi peringatan
tentang setiap apa yang menimpa manusia adalah hasil kelalaian manusia mematuhi
apa yang ditetapkan ajaran agama.
Dengan kata lain, melancong adalah
sebahagian daripada proses pembelajaran. Sebab itu kita sering mendengar pakej
pelancongan sambil belajar atau sekarang ini ada yang menyebut belajar sambil
melancong. Ini membuktikan tujuan mencari ilmu atau belajar lebih diutamakan
dalam pakej melancong itu.
Banyak orang berjaya dalam usaha
yang dilakukan apabila mendapat pengalaman hasil daripada aktiviti belajar
sambil melancong. Kita dapat membawa sesuatu yang baru untuk diamalkan di
negara kita seperti mana kejayaan yang telah dicapai oleh rakyat di negara
lain.
Walaupun melancong digalakkan,
tetapi ada banyak perkara yang perlu diberi perhatian sebelum pergi melancong.
Ditegah melancong jika akibatnya mendatangkan keburukan. Contohnya, individu
yang amat diperlukan bagi berkhidmat kepada orang ramai tidak harus pergi
melancong, melainkan ada pengganti yang mengambil alih tugasnya.
Bagi seorang suami yang ingin
melancong hendaklah memastikan isteri dan keluarga yang ditinggalkan dalam
keadaan selamat dan mendapat saraan mencukupi sepanjang dia pergi melancong. Jika
mampu lebih elok jika seisi keluarga turut menyertai sama. Cara itu dapat
mengeratkan hubungan ahli keluarga dan memberi kebaikan yang berganda apabila
masing-masing dapat berkongsi pengalaman.
No comments:
Post a Comment