Monday, 17 September 2018

LEGENDA PUTERI SAADONG

Nama Puteri Saadong terkenal di Kelantan. Ada sekolah, taman perumahan, dewan, bangunan dan sebagainya dinamakan dengan nama Puteri Saadong. 
 
Puteri Saadong adalah anak kepada Raja Loyor yang memerintah Kelantan Utara berpusat di Kota Jembal. Pada masa sama terdapat sebuah lagi kerajaan iaitu berpusat di Kelantan Selatan dikenali Kerajaan Chinta Wangsa.yang diperintah oleh Cik Siti Wan Kembang, pemerintah wanita ulung dalam sejarah Kesultanan Kelantan.

Memandangkan Cik Siti Wan Kembang tidak mempunyai anak, maka baginda mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkat. Puteri Saadong terkenal cantik dan bijak.

Keistimewaan Puteri Saadong telah diketahui oleh Raja Siam, lalu ingin memperisterikan Puteri Saadong. Hasrat Raja Siam itu ditolak oleh dua kerajaan itu Kerajaan Chinta Wangsa dan Kerajaan Jembal.

Untuk mengelak hasrat Raja Siam itu, maka Puteri Saadong telah dikahwinkan dengan Raja Abdullah, yang juga sepupu kepada Cik Siti Wan Kembang, seawal usia 15 tahun. 

Raja Abdullah dan Puteri Saadong telah dianugerahkan sebuah jajahan bernama Jelasin yang dijadikan sebuah negeri dan mereka dimasyhurkan sebagai pemerintah. Ada juga hikayat yang menyebut nama negeri itu ialah Kota Mahligai.
  
Raja Siam yang berasa terhina dengan perancangan licik Cik Siti Wan Kembang dan Raja Loyor, tidak memperduli tentang status Puteri Saadong yang telah menjadi permaisuri kepada satu kerajaan baru dan disokong oleh dua kerajaan sedia ada iaitu Kerajaan Chinta Wangsa dan Kerajaan Jembal, mengarahkan bala tentera agar menyerang kerajaan di Jelasin untuk merampas Puteri Saadong.

Serangan tentera Raja Siam mampu dipatahkan oleh tentera Kota Jelasin. Namun, banyak tentera yang terkorban dan cedera. Puteri Saadong yang melihat sendiri keadaan itu berasa amat sedih.

Puteri Saadong sungguh tertekan perasaannya bila melihat ramai rakyat terkorban. Isteri-isteri kematian suami, dan ibu-ibu kehilangan anak-anak lelaki mereka.

Tidak lama selepas itu, sampai perkhabaran bahawa tentera Siam telah bersedia untuk menyerang bagi gelombang kedua dengan kekuatan tentera yang lebih besar dan kelengkapan perang yang tidak mungkin dapat ditandingi oleh kerajaan-kerajaan di Kelantan ketika itu.

Melihat kegelisahan rakyatnya dan juga kerisauan suaminya terhadap musibah baru yang akan melanda negeri mereka, Puteri Saadong akhirnya bertitah supaya dia diserahkan kepada Raja Siam dengan syarat suaminya dan rakyat negeri Jelasin tidak akan diusik bahkan akan dinaungi dari sebarang ancaman oleh Raja Siam.

Keberangkatan tiba Puteri Saadong ke Siam telah diraikan dengan penuh meriah. Bagaimanapun, sebaik Puteri Saadong menjejakkan kakinya di istana barunya itu, Raja Siam jatuh gering.

Setelah beberapa hari berlalu, Raja Siam yang tidak sembuh-sembuh telah menitahkan supaya dia diusung ke kamar Puteri Saadong. Keberangkatan Raja Siam disambut Puteri Saadong dengan hormat dan bermaruah.

Puteri Saadong berjanji akan merawat Raja Siam dengan syarat setelah sembuh nanti, baginda akan dihantar pulang ke Jelasin. Raja Siam yang tiada pilihan terpaksa menerima syarat tersebut.

Setelah sekian masa berlalu, penyakit Raja Siam telah sembuh. Lalu, atas menunaikan janjinya, Puteri Saadong telah dihantar pulang menaiki bahtera dengan diiringi dayang-dayang dan hadiah.

Takkala bersama pengiring-pengirinya tiba di Jelasin, sesuatu perkara tidak diduga telah berlaku. Raja Abdullah yang pernah berjanji untuk setia menanti kepulangan Puteri Saadong telah mungkir janji berkahwin dengan wanita lain.

Tindakan Raja Abdullah itu dipercayai kerana tidak yakin bahawa Puteri Saadong akan kembali setelah berada di bawah penguasaan Raja Siam yang cukup kuat.

Pertelingkahan yang berlaku antara Puteri Saadong dengan Raja Abdullah akhirnya menyebabkan kemangkatan Raja Abdullah.

Selepas kemangkatan Raja Abdullah, Puteri Saadong membawa diri ke Bukit Marak bersama dayang-dayangnya termasuk seorang pengawal yang dikenali Awang Selamat.

Beberapa bulan kemudian, Raja Abdul Rahim (adik Raja Abdullah) dilantik dan ditabalkan sebagai Sultan Kelantan pada 1671 (dengan gelaran Sultan Abdul Rahim) atas kehendak Puteri Saadong sendiri yang membuat keputusan untuk turun takhta.

No comments:

Post a Comment