Wednesday, 10 October 2018

SEJARAH KAMPUNG SEMUT API

Kampung Semut Api sinonim dengan nama Pantai Cahaya Bulan atau Pantai Cinta Berahi yang lebih dikenali Pantai PCB. Kampung Semut Api adalah kampung dan juga mukim terkenal kerana menjadi lokasi terletakkan Pantai PCB. Kampung Semut Api terletak kira-kira 10 kilometer dari ibu negeri Kelantan, Kota Bharu.

Terdapat dua versi mengenai asal nama Kampung Semut Api. Versi pertama dikaitkan dengan sejarah pada masa dahulu yang mana penduduk kampung yang terdiri keluarga nelayan akan menyalakan api di kawasan sebuah bangsa yang dibina di sebuah kuala.

Sabut dan daun kelapa kering disumbat bersama untuk menyalakan api dengan besarnya untuk dilihat oleh nelayan yang pulang ketika matahari menghilang. Dari perkataan sumbat dan kuala itu dinamakan kampung ini dengan perkataan Kuala Sumbat Api yang kemudiannya ditukar kepada Kuala Semut Api.

Satu lagi kisah yang dikaitkan dengan asal nama Kampung Semut Api ialah banyaknya terdapat semut api di kampung itu. Keadaan itu berlaku ketika setiap kali musim banjir.

Kumpulan semut merah atau lebih dikenali dengan nama semut api hanyut dari kawasan lain dan berkumpul di kampung itu dan selebih lagi hanyut ke laut. Memandangkan jumlah semut api yang banyak itu, maka ia dikenali dengan nama Kuala atau Kampung Semut Api.

Kampung Semut Api, khususnya di kawasan pantai melalui proses pembangunan selari dengan berkembangnya aktiviti pelancongan di kawasan itu. Pantai Semut Api menjadi lokasi peranginan paling menonjol di Kelantan kerana kedudukannya tidak jauh dari Kota Bharu.

Pantai Semut Api yang kemudiannya dikenali Pantai Cinta Berahi menjadi lokasi pegawai tentera Jepun dan kemudian tentera atau pemimpin Inggeris ketika kedua-dua negara itu pernah menjajah Kelantan. 

Nama Cinta Berahi dikaitkan dengan tempat itu yang menjadi tempat pasangan kekasih memadu cinta berahi mereka. Pantai Cinta Berahi menjadi pilihan untuk pasangan baru berkahwin berbulan madu di situ.

Namun, nama Pantai Cinta Berahi telah ditukar menjadi Pantai Cahaya Bulan apabila PAS memerintah Kelantan bermula pada 1990. Namun pertukaran itu masih mengekalkan nama Pantai PCB yang lebih kerap digunakan oleh penduduk Kelantan.   

No comments:

Post a Comment