Thursday, 11 October 2018

PERATURAN AKTIVITI PERTANIAN


Hakikat betapa Islam sangat menggalakkan sektor pertanian jelas dilihat daripada peruntukan dalam syariah berdasarkan hadis Nabi iaitu sesiapa saja yang mengusahakan tanah kerajaan dengan jayanya akan mendapat hak milik kekal terhadap tanah berkenaan. Hal ini berdasarkan pendapat kebanyakan ulama. 

Berdasarkan pendapat mazhab Malik, hak milik yang diperoleh itu adalah hak milik sementara saja, jika selepas mendapat hak milik tanah itu, dibiarkan semula terbiar, orang lain yang mengusahakannya akan memperoleh hak milik dengan menjayakannya.

Hukum di atas adalah berdasarkan kepada hadis Nabi bermaksud: "Sesiapa yang menjayakan tanah yang tidak dimiliki oleh sesiapa (yakni tanah kerajaan), maka dia lebih berhak terhadapnya." (Hadis riwayat Imam Ahmad, Malik dan Bukhari) 

Peruntukan itu jelas memberi insentif kepada pengusaha bidang pertanian yang mengusahakan tanah terbiar. Seseorang yang ingin menjayakan tanah terbiar kerajaan dibenarkan menanda atau memagar tanah sedemikian bagi menjalankan projek pertaniannya. 

Bagaimanapun, tanah yang ditanda dan diteroka itu tidak harus dibiarkan lebih daripada tiga tahun tanpa diusahakan. Jika dibiarkan begitu, orang lain berhak mengusahakannya. Peruntukan itu berdasarkan dasar yang dijalankan oleh Saidina Umar ketika pemerintahannya. 

Tanah dianggap terbiar atau mati jika ia dalam keadaan gersang yakni tiada pengairan. Kawasan berpaya atau ditenggelami air juga dikira tanah gersang, selain tanah tidak sesuai untuk tumbuhan.

Tanah yang terletak jauh daripada penempatan penduduk juga termasuk tanah gersang. Selain itu, tanah gersang juga adalah tanah yang tidak termasuk dalam kawasan simpanan penempatan bagi kegunaan masyarakat setempat seperti bagi tujuan padang ragut, tempat mencari kayu api dan tempat melakukan riadah. 

Bagaimanapun, ada perselisihan pendapat dalam undang-undang Islam sama ada keizinan pemerintah diperlukan sebelum seseorang itu memulakan penerokaan itu. 

Pendapat Imam Abu Hanifah, pengasas mazhab Hanafi menyatakan keizinan diperlukan. Dua ulama utama mazhab Hanafi iaitu Abu Yusuf dan Hassan al- Syaibani serta mazhab Al-Syafie berpendapat sebaliknya. 

Pendapat ketiga yang juga pendapat mazhab Maliki menyatakan izin diperlukan, jika tanah itu terletak hampir dengan kawasan penempatan. Hal ini kerana tanah yang sedemikian ditakuti termasuk dalam kawasan simpanan awam. 

Jadi, bagi memastikan tidak berlaku pencerobohan di kawasan itu, izin daripada pihak kerajaan diperlukan. 

Di Malaysia, pihak yang hendak memulakan projek pertanian boleh memohon untuk mendapatkan lesen menduduki sementara (Tol) daripada pihak berkuasa negeri atau terus memohon hak milik. 

Peraturan itu memastikan agar pemilik tanah atau pihak yang mendapat Tol mengusahakan tanah itu bagi tujuan pertanian. Pengusaha itu tidak sepatutnya membiarkannya terbiar begitu saja selepas diberikan lesen atau hak milik oleh pihak berkenaan seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang Islam.

Dalam mengusahakan bidang pertanian, penggunaan kaedah atau teknologi terkini tidak dilarang dalam Islam, asalkan tidak membawa kepada keburukan jelas. Pada satu masa, Nabi Muhammad SAW mendapati petani di Madinah melakukan usaha mengahwinkan benih (bunga) kurma, lalu Baginda mengesyorkan agar mereka tidak melakukannya.

Mereka mengikut saranan itu kerana proses berkenaan sukar dan mengambil masa. Pada musim berikutnya, kurma mereka tidak begitu menghasilkan buah yang baik, lalu mereka menceritakan hal itu kepada Nabi.

Baginda bersabda bermaksud: "Aku hanya seorang manusia biasa. Jika aku perintahkan kamu terhadap sesuatu perkara keagamaan, maka hendaklah kamu semua ikutinya, dan jika aku perintahkan kamu mengenai sesuatu berdasarkan pendapatku, maka sesungguhnya aku hanya seorang manusia biasa."

Hak mendapat bekalan air dari sumbernya perlu dikongsi oleh pemilik tanah berdekatan. Dalam sebuah hadis ada dijelaskan bahawa Nabi memutuskan bahawa setiap pemilik tanah yang di hulu sungai atau mata air berhak mengairi tanah pertaniannya hingga ke paras buku lali

Selepas itu, dia hendaklah mengalirkan air itu kepada jirannya yang di sebelah hilir yang berhak mendapat bahagian yang sama hingga air itu dialirkan seterusnya hingga habis. Keputusan ini pernah dibuat Nabi dalamnya satu kes yang membabitkan seorang sahabat bernama al-Zubair, yang bertelingkah dengan jirannya mengenai hak pengairan.

Bagi menggalakkan sektor penternakan pula, Islam menetapkan agar setiap kampung atau kawasan penempatan memperuntukkan satu kawasan simpanan. Ia dikhaskan sebagai kawasan padang ragut awam bagi membolehkan penduduk yang mahu menternak melepaskan ternakan mereka di kawasan itu.  Kawasan ini tidak boleh diberikan hak milik kepada orang perseorangan demi kepentingan awam.

Hubungan baik dan kepentingan petani dan penternak sentiasa diberi perhatian dalam Islam. Rasulullah menetapkan bahawa tanggungjawab petani adalah menjaga keselamatan kebun mereka pada waktu siang dan daripada diceroboh oleh ternakan.

Pemilik binatang ternakan diwajibkan memastikan ternakan mereka dikurung pada waktu malam agar tidak memusnahkan tanaman pada waktu itu. Langkah itu dapat menjaga kepentingan kedua-dua pihak dan kemaslahatan umum dipelihara.

Kecuaian sesuatu pihak dalam menunaikan tanggungjawab mereka pasti akan meninggalkan kesan dari segi undang-undang seperti pampasan perlu diberikan kepada pihak yang menanggung kerugian.

No comments:

Post a Comment