Friday, 12 October 2018

CARA TANGKAP IKAN LAGA DI BARUH

Ikan laga banyak jenis. Sebutan dan nama pula ada berbagai-bagai mengikut dialek masing-masing. Ada orang menyebut ikan laga dengan nama sepilai. Loghat lain pula menyebut ikan sepilar, ikan spilai, ikan spilar. Ada juga menyebut ikan laga dengan nama ikan karim atau ikan karin. 
 
Ikut Kamus Dewan, ejannya ialah sepilai iaitu merujuk sejenis ikan darat, belanga, pelaga, Betta splendens.

Masa kecil dahulu biasa tangkap ikan sepilai. Tangkap yang juga disebut igat ikan sepilai menjadi kegemaran bermusim iaitu pada musim hujan sebelum banjir besar melanda dan selepas banjir. Pada masa dahulu kegemaran atau aktiviti kanak-kanak mengikut musim yang menyediakan kemudahan semulajadi.

Ikan sepilai hidup di baruh atau paya, selain bendang atau sawah padi. Ikan sepilai sejenis ikan laga. Jadi, bila tangkap ikan sepilai adalah untuk dijadikan jaguh lagi. Sebab itu semasa igat ikan sepilai telah diperhatikan ciri-ciri keberanian ikan sepilai itu. Kalau yang diketahui baka tidak berlaga atau tidak bekeng, terus tidak akan diambil.

Cara tangkap ikan sepilai ialah dengan menyauk menggunakan tangan. Pencarian ikan sepilai ialah dengan melihat kawasan air tenang dan cetek. Ikan sepilai akan membuat 'rumah' daripada buih yang dikeluarkan dari mulutnya. Buih itu digunakan untuk meletakkan telur ikan sepilai.

Sebab itu buih yang dibuat mesti di tempat air tenang untuk mengelak buih hanyut. Buih juga dibuat ke tempat ada pokok rumput atau ranting kayu kecil untuk melekatkan buih. Bawah daun juga sering terdapat buih ikan sepilai.

Buih akan dijaga oleh ikan sepilai jantan. Ikan sepilai jantan sahaja digunakan untuk tujuan pelagaan. Ikan sepilai yang menjaga buih tidak akan melarikan diri biarpun kita mendekati buih itu. Biasanya ikan sepilai akan kekal berada di bawah buih itu atau di sekitarnya.

Jadi, dengan menggunakan dua belah tangan yang digerakkan secara perlahan-lahan di dalam air menghampiri bawah buih, kita akan datang menangkap ikan sepilai. 
 
Ikan sepilai yang ditangkap akan terus dimasukkan di dalam botol cerah yang telah dibawa. Botol itu dipanggil jebo atau jebur.

Ikan sepilai yang berada dalam botol akan 'dinilai' sama ada jenis yang 'melawan' atau tidak. Kalau dilihat tiada ciri-ciri melawan dan bekeng, ikan sepilai itu akan dilepaskan.
  


No comments:

Post a Comment