Thursday, 11 October 2018

HUKUM HALAL HARAM BERKAITAN PERTANIAN

Islam walaupun menggalakkan sektor pertanian, namun jika kegiatan itu meragukan atau tidak sah menurut Islam, ia hendaklah dilarang. Dalam kitab fikah klasik, ulama membincangkan kedudukan sama ada boleh atau tidak seseorang menjual anggur yang ditanamnya kepada seseorang yang diketahui akan atau lumrahnya menggunakannya bagi membuat minuman keras.

Mereka berpendapat adalah haram orang berkenaan menjual anggurnya kepada pembeli berkenaan. Menanam anggur pada asasnya diharuskan, tetapi apabila hasilnya akan digunakan untuk tujuan tidak sah, maka petani perlu berhati-hati ketika menjualnya.

Begitulah, kedudukannya hasil pertanian dan ternakan lain, prinsip ini hendaklah dipegang demi memastikan bahan itu tidak disalahgunakan bagi tujuan tidak sah.

Begitu juga Islam melarang pengeluaran dan penjualan bahan memudaratkan manusia seperti penanaman ganja serta tumbuhan lain yang mengandungi racun.

Larangan ini, termasuk penternakan haiwan yang haram dimakan oleh orang Islam seperti anjing dan babi. Bagaimanapun, masyarakat bukan Islam dibenarkan menternak haiwan itu dengan kadar yang sesuai.

Perkara ini kerana ia tidak haram di sisi agama mereka, dengan syarat kegiatan itu tidak memudaratkan kepentingan awam dan menjejaskan keselesaan umum serta alam semula jadi.

Perbincangan di atas jelas menggambarkan bahawa Islam memberi perhatian kepada sektor pertanian. Islam juga sangat menggalakkan, malah ingin memastikan kegiatan pertanian dari mula projek hingga proses pemasaran dan jualan dilaksanakan mengikut garis panduan yang jelas dan adil. Hal itu dapat mengelakkan perbalahan.

Begitu pun, perhatian tidak seharusnya diberikannya hanya kepada sektor itu dengan mengabaikan kepentingan sektor lain. Perkara itu kerana matlamat utama kita adalah mencapai keseimbangan dalam segala bidang demi memenuhi tuntutan fardu kifayah dalam rangka membangunkan negara dan ummah.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Carilah rezeki dari khazanah bumi" (Hadis riwayat Tabrani). Rasulullah SAW amat menitik beratkan umat-umatnya supaya menceburi bidang pertanian dan penternakan dan Baginda sendiri sebagai contoh bagi umatnya dalam bidang ini.

Baginda terlibat dengan aktiviti penternakan sejak kecil lagi di mana baginda adalah seorang pengembala kambing. Beliau pernah menyebut saat-saat yang dialaminya sewaktu mengembala karnbing itu, iaitu: "Nabi-Nabi yang diutuskan Allah itu gembala kambing". Dan sabda Baginda lagi: "Musa diutus dia gembala kambing, Daud diutus dia gembala kambing, aku diutus juga gembala kambing keluargaku di Ajyad". 

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Kami menjadikan (di atas muka bumi ini tempat yang sesuai untuk dibuat) ladang-ladang kurma dan anggur. Kami pancarkan banyak mata air (di situ). Tujuannya supaya mereka boleh mendapat rezeki daripada hasil tanaman tersebut dan tanaman-tanaman lain yang mereka usahakan. Adakah mereka berasa tidak perlu bersyukur?" (Surah Yasin, ayat 34-35)

Di dalam Islam, pertanian merupakan salah satu daripada pekerjaan yang mulia dan amat digalakkan oleh Allah SAW dan Rasulullah SAW. Banyak ayat al-Quran yang menyebut tentang hasil tanaman dan buah buahan yang pelbagai.

Dari segi akidah pula, bidang pertanian dapat mendekatkan diri seseorang hamba kepada Allah SWT. Ini kerana tanda kebesaran Allah SWT dapat dilihat dengah jelas dalam proses kejadian tumbuh-tumbuhan atau tanaman.

Apabila seseorang itu melakukan aktiviti pertanian, ia akan lebih membuatkan seseorang itu memahami hakikat sebenar bertawakkal kepada Allah swt yang berkuasa menghidup dan mematikan.

Jika Allah swt takdirkan sesuatu tanaman itu hidup, tanaman itu akan hidup dan tidak mengecewakan petani. Namun jika Allah menginginkan sebaliknya maka itulah ketetapan takdir Allah swt terhadap si petani itu.

ltulah kekuasaan Allah SWT seperti firman yang bermaksud: "Dan Dialah yang menurunkan hujan dari langit, lalu kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh- tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah-buahan) yang bergugus- gugus dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dan mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik; dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaitun serta delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu pada buahnya apabila ia berubah, dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman" (Surah AI-Anaam, ayat 99).

Jika dengan pertanian sahaja seseorang itu mampu lakukan untuk mencari nafkah bagi dirinya dan keluarganya maka hukumnya adalah fardhu ain baginya menceburi pertanian. Jika seseorang itu ada kepakaran dalam salah satu bidang pertanian dan tiada seorang pun yang pandai maka hukum dia menceburi bidang pertanian adalah wajib kerana untuk kepentingan orang awam.

Tetapi apabila ada ramai petani yang mampu melakukan usaha demikian maka menjadi fardhu kifayah kepada sesiapa sahaja yang melakukannya untuk kepentingan orang awam, petani tersebut perlu mengeluarkan bekalan yang mencukupi untuk semua. Bidang pertanian menjadi fardhu kifayah kepada seseorang kerana manafaatnya lebih besar daripada manafaat oeribadi.

Kebanyakan fuqaha Islam berpendapat bahawa bidang pertanian adalah lebih afdal atau utama di sisi agama Islam berbanding perniagaan dan perusahaan atau perkilangan. Keadaan ini kerana manfaat pertanian lebih meluas da kepentingannya tidak dapat dinafikan sebagai bidang yang terpenting kerana tanpanya atau tidak mencukupi akan huru hara dunia.

Rasulullah SAW menjelaskan kepentingan pertanian di dalam sabdanya yang bermaksud: "Andainya kiamat tiba dan pada seseorang daripadanya kamu ada sebatang anak kurma, maka hendaklah dia tanpa berlengah-lengah lagi menanamnya". (Hadis riwayat Ahmad)  

Hadis ini menggambarkan kepada kita terlalu pentingnya bidang pertanian sehinggakan hampir kiamat pun digalakkan lagi bercucuk tanam oleh Rasulullah SAW. Ini menunjukkan bidang ini tidak boleh diabaikan sama sekali kerana ia adalah penyumbang utama kepada kehidupan manusia.

Bidang pertanian adalah salah satu jalan untuk mendekatkan diri seseorang hamba itu dengan Allah swt. Bagi mereka yang menceburi bidang ini, disamping mendapat pendapatan yang halal lagi mulia, Allah swt juga menjanjikan ganjaran pahala kepada golongan yang mengusahakannya di atas setiap satu tanaman yang ditanam.

Setiap satu tanaman yang ditanam seseorang itu akan semakin dekat dengan Allah swt seperti sabda Rasulullah saw yang bermaksud: "Tiada seorang muslim pun yang bertani lalu hasil pertaniannya dimakan oleh burung atau manusia atau binatang, melainkan dia akan menerima pahala di atas hal itu" (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).  

Dalam hadis lain pula Rasulullah saw bersabda: "Tiada seorang lelaki menanam sesuatu tanaman, melainkan Allah swt menetapkan baginya ganjaran sebanyak jumlah buah yang dihasilkan oleh tanaman berkenaan" (Hadis riwayat Ahmad)

Setelah berhijrah ke Madinah, Rasulullah SAW menggalakkan sahabat mengusahakan bidang pertanian. Bumi Madinah yang sememangnya subur perlu diusahakan dengan lebih bersungguh-sungguh. Kaum muhajirin yang berhijrah bersama-sama dengan Baginda diaturkan agar bersatu dengan kaum Ansar iaitu penduduk asal Madinah supaya dapat berganding bahu dalam pelbagai urusan lebih-lebih lagi dalam mengusahakan kegiatan pertanian terhadap tanah terbiar.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang memiliki tanah hendaklah dia mengusahakannya, namun jika dia tidak berupaya melakukannya, maka hendaklah diberikan kepada saudaranya (supaya diusahakan) dan janganlah dia menyewakannya" (Hadis riwayat Abu Daud)

Hadis ini menunjukkan bahawa betapa pentingnya kegiatan pertanian dalam Islam sehingga banyak dalil dari al-Quran dan Hadith membicarakannya. 

No comments:

Post a Comment