Thursday, 11 October 2018

JADI PETANI FARDU KIFAYAH

Islam amat menggalakkan aktiviti pertanian sebagai usaha untuk memenuhi keperluan makanan untuk manusia. Aktiviti pertanian adalah aktiviti terawal manusia untuk menghasilkan sumber makanan selain memburu dan menternak.

Dalam al-Quran diceritakan mengenai umat terdahulu yang menikmati kemakmuran hidup hasil usaha dalam bidang pertanian. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya tentang penduduk di negeri Saba ada satu perkampungan menjadi bukti (kemurahan Allah), di situ ada dua kebun yang subur di kanan dan di kirinya. Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan ini dan bersyukurlah kepada-Nya, diberi anugerah satu negeri yang subur dan makmur, Tuhan Yang Pengampun.” (Surah Saba, ayat 15).

Malaysia dianugerahkan dengan tanah yang subur dan bekalan air hujan yang mencukupi untuk mengusahakan bidang pertanian. Malah, pihak kerajaan telah menyediakan kemudahan perairan dan saliran untuk tujuan memajukan sesuatu kawasan pertanian. Begitu juga banyak agensi berkaitan pertanian ditubuhkan kerajaan untuk membantu petani.

Ironinya, aktiviti pertanian di negara kita masih tidak membanggakan. Keperluan sumber makanan masih banyak yang perlu diimport. 

Mengusahakan aktiviti pertanian termasuk dalam fardu kifayah.  Jadi, tidak sepatutnya perkara ini dipandang mudah. Rasulullah SAW memberi perhatian penting terhadap bidang pertanian dan penternakan untuk menyediakan bekalan makan yang cukup untuk penduduk Madinah. Banyak sahabat yang menjadi petani berjaya dengan memiliki kebun yang luas dan mengeluarkan hasil yang banyak.

Untuk mengelak tanah terbiar, pemilik yang tidak mampu mengusakannya perlu menyerahkan kepada orang lain untuk tujuan bercucuk tananm. 

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesiapa yang memiliki tanah, hendaklah dia mengusahakannya, namun jika dia tidak berupaya melakukannya, maka hendaklah diberikan kepada saudaranya (supaya diusahakan) dan jangan dia menyewakannya." (Hadis riwayat Abu Daud)

Usaha meningkatkan pengeluaran hasil pertanian negara perlu dilakukan sebagai industri moden, dinamik dan kompetitif. Ini bagi memastikan sektor pertanian mampu mendatangkan pulangan yang menarik kepada individu atau pihak yang terlibat dalam sektor berkenaan. 

Justeru, penyertaan golongan muda dalam bidang pertanian amat dialu-alukan.  Mereka diharapkan dapat membawa pembaharuan dalam sektor pertanian, khususnya pertanian moden yang dapat memberi pulangan yang tinggi. 

Sekarang ini, petani sering dikaitkan dengan kemiskinan yang mewarnai kemurangan dan kemunduran hidup di desa. Sebut saja petani, secara spontan dikaitkan dengan kemiskinan. 

Jadi petani bukan punca menjadi miskin. Sebaliknya sikap kurang berusaha dan tidak berubah mengikut perubahan semasa menjadi punca. Dalam apa juga kerjaya, kesungguhan itu paling penting untuk berjaya. Allah SWT menyayangi dan mengasihi mereka yang tekun melalukan pekerjaan.     

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya Allah amat mengasihi seseorang yang apabila melakukan setiap kerja, dilakukan dengan penuh tekun dan sebaik mungkin.”  (Hadis riwayat Baihaqi). 

Kini banyak tanah dan dusun yang diusahakan oleh golongan tua terbiar.  Produktivitinya kurang dan mungkin tiada langsung. Sebab itu amat perlu golongan muda mengambil alih kerja-kerja tersebut agar hasil pertanian terus dapat dikeluarkan.

Memadangkan tugas penghasilan makanan ini termasuk dalam fardu kifayah, maka sesiapa yang melakukan tugas ini mendapat ganjaran yang besar. Mereka membantu memenuhi keperluan masyarakat yang amat penting ini.  Bayangkan, jika negara kita menghadapi masalah bekalan makanan disebabkan tidak ada golongan petani?

Seharusnya, petani berbangga dapat memenuhi keperluan orang lain. Pada masa sama mereka sendiri mendapat rezeki yang halal untuk memenuhi keperluan hidup. Sedangkan di akhirat pula tersedia pahala sebagai balasan daripada hasil usaha bercucuk tanam itu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiada seorang muslim pun yang bertani, lalu hasil pertaniannya dimakan oleh burung atau manusia atau binatang, melainkan dia akan menerima pahala di atas hal itu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Kepentingan bidang pertanian pada pandangan Islam dapat dilihat daripada banyaknya ayat al-Quran yang menyebutkan mengenai hasil tanaman dan buah- buahan yang pelbagai. 

Kegiatan pertanian dari aspek akidah dapat mendekatkan diri seseorang kepada Allah. Hal ini kerana tanda kebesaran Allah dapat dilihat dengan jelas dalam proses kejadian tumbuh-tumbuhan atau tanaman. 

Melakukan usaha pertanian lebih membuatkan seseorang itu memahami hakikat sebenar tawakal kepada Allah dan beriman kepada kekuasaan-Nya. Petani walaupun perlu bekerja keras dan menggunakan segala kepakaran untuk menjayakan usaha pertaniannya, yang memberikan hasil adalah Allah. 

Manusia berusaha dan berdoa agar mendapat hasil baik. Tetapi, jika semua itu dilakukan, tidak juga mendapat hasil diharapkan, maka petani hendaklah pasrah kepada ketentuan Allah. Ia hendaklah diterima sebagai sebahagian daripada qada dan qadar Allah. Ini tidak bermakna manusia tidak dituntut melakukan sebaik mungkin usaha untuk mengelakkan kesan buruk kejadian itu.

Jika pertanian adalah satu-satunya bidang yang seseorang boleh lakukan dan berupaya menceburinya bagi mencari nafkah bagi diri dan keluarganya, maka bertani adalah fardu ain baginya. 

Begitu juga, jika pihak pemerintah mengeluarkan arahan kepada seseorang yang ada kepakaran dan kemahiran dalam satu-satu bidang pertanian yang diperlukan negara atau masyarakat dan tidak ada orang lain yang mampu melakukannya, maka dia juga wajib menjalankan usaha itu. 

Namun, apabila ada ramai petani yang mampu melakukan usaha sedemikian, maka menjadi fardu kifayah kepada sesiapa melakukannya demi kepentingan awam untuk mengeluarkan bekalan makanan yang cukup bagi semua. Dalam Islam, fardu kifayah lebih mulia dan penting bagi seseorang untuk melakukannya. 

Kebanyakan fuqaha Islam berpendapat bahawa pertanian adalah lebih afdal atau utama pada pandangan Islam berbanding perniagaan dan perusahaan atau perkilangan. Keadaan ini kerana manfaat pertanian lebih meluas dan kepentingannya tidak dapat dinafikan sebagai bidang yang membekalkan makanan kepada umat. 

Pandangan itu tepat, jika ditinjau dari keadaan yang berlaku hari ini. Ada negara yang dilanda krisis kewangan mengalami kekurangan bahan makanan. Mereka tidak mampu mengimportnya kerana kekurangan tukaran wang asing. 

Jika, sesebuah negara atau masyarakat itu bergantung kepada sumber luar untuk membekalkan bahan makanannya, keadaan ini berisiko tinggi.  Ia mendedahkan negara atau masyarakat itu kepada ancaman dan sabotaj luar pada bila-bila masa. 

Nabi Muhammad SAW menjelaskan kepentingan pertanian dalam sabda Baginda bermaksud: "Andainya kiamat tiba dan pada tangan seseorang daripada kamu ada sebatang anak kurma, maka hendaklah dia tanpa berlengah-lengah lagi menanamkannya." (Hadis riwayat Ahmad)

Begitu penting pertanian hingga pada akhir zaman pun, bidang ini tidak boleh diabaikan. Keadaan itu kerana seperti yang dijelaskan, ia adalah sumber terpenting bagi kehidupan manusia sebagai penyumbang bekalan makanan. 

Sesuai dengan kedudukannya sebagai sektor yang sangat digalakkan, kita dapati ada beberapa insentif diperuntukkan dalam Islam bagi sektor ini, sama ada kebendaan atau kerohanian. 

No comments:

Post a Comment