Sektor pertanian yang sebelum ini menyepi, kini semakin mendapat perhatian
kerajaan. Malangnya, penerimaan rakyat terhadap potensi menyertai bidang
pertanian masih di tahap tidak membanggakan. Banyak orang masih beranggapan
kerja dalam sektor pertanian tidak menjanjikan prospek yang baik.
Anak muda hari ini lebih berminat menjadi buruh di sektor perkilangan
berbanding melibatkan diri dalam bidang pertanian. Malah, banyak anak muda
lebih rela memilih menjadi penganggur daripada menjadi petani. Lebih malang
lagi hal ini berlaku di kalangan anak daripada keluarga petani sendiri.
Persoalannya, mengapakah kebanyakan orang masih memandang rendah kepada
kerjaya dalam bidang pertanian. Sedangkan, Allah telah menjanjikan peluang
kejayaan yang luas kepada sesiapa yang sanggup berusaha gigih mencari
kurnia-Nya, termasuk dalam bidang pertanian.
Sesiapa yang berusaha mengikut aturannya, maka dia akan beroleh kejayaan.
Sesungguhnya semua bidang pekerjaan menjanjikan pulangan lumayan jika dilakukan
dengan bersungguh-sungguh.
Firman Allah bermaksud: “Dan carilah kebahagiaan di akhirat yang telah
Allah janjikan kepadamkamu, tetapi, janganlah pula kamu lupa akan habuan kamu
di dunia ini.” (Surah al-Qashash, ayat
77).
Manakala firman Allah dalam surah al-Mulk, ayat 15 yang bermaksud: “Dialah
menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segenap penjurunya dan
makanlah sebahagian dari rezeki-Nya.”
Dalam al-Quran
dijelaskan mengenai kurniaan Allah berupa tanah yang subur, sumber air, bijih
benih yang baik dan haiwan ternakan. Kewujudan sumber-sumber tersebut memberi
peluang kepada manusia melakukan usaha mendapat sumber makanan keperluan diri
sendiri dan keluarga, dan dijadikan bahan jualan untuk mendapat wang.
Bidang pertanian
(termasuk penternakan) merupakan aktiviti paling awal dalam sejarah tamadun
kehidupan manusia. Semua tamadun mempunyai kaitan dengan aktiviti
pertanian.
Dalam al-Quran Allah
menceritakan mengenai penduduk di negeri Saba mendapat kemewahan hidup hasil
pertanian.
Firman Allah
bermaksud: “Sesungguhnya tentang penduduk di negeri Saba ada satu perkampungan
menjadi bukti (kemurahan Allah), di situ ada dua kebun yang subur di kanan dan
di kirinya. Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan ini dan bersyukurlah
kepada-Nya, diberi anugerah satu negeri yang subur dan makmur, Tuhan Yang
Pengampun.” (Surah Saba, ayat 15).
Pemerintah kerajaan
Saba membina Empangan Marib yang mampu mengairi seluruh padang pasir kering
kontang menjadi tanah pertanian yang subur. Hasil usaha tersebut memberi
kemakmuran dan kekayaan kepada seluruh penduduknya yang berusaha gigih
melakukan aktiviti pertanian.
Allah menjelaskan
juga tentang keperluan bijih benih untuk tujuan pertanian. Dalam surah al-Anam,
ayat 95, Allah berfirman bermaksud: “Allah Maha Pencipta. Dia ciptakan bijih
benih sebagai benda yang boleh tumbuh.”
Keperluan lain untuk
melengkapkan keperluan menjalankan aktiviti pertanian ialah air. Firman Allah
bermaksud: “Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit,
lalu mengalir di dalam bumi menjadi mata air. Keadaan itu, Allah menumbuhkan
tanaman yang bermacam-macam warnanya.” (Surah az-Zumar, ayat 21).
Bagaimanapun,
anugerah Allah itu tidak mendatangkan faedah kepada manusia jika tidak
dimanfaatkan. Sesungguhnya, rezeki tidak akan datang bergolek jika tidak
diusahakan mengikut caranya. Seperti juga usaha dalam bidang lain, aktiviti
pertanian perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh dan sistematik untuk
mendapat hasil terbaik.
Sepertimana penduduk
di negeri Saba, penduduk di negara kita mampu mendapat rezeki lumayan melalui
usaha pertanian jika dilakukan secara bersungguh-sungguh. Perkara ini tidak
sukar dicapai memandangkan kerajaan telah mengambil langkah membantu petani
melalui dasar-dasar pertanian yang komprehenisf.
Selama ini kerajaan telah banyak menyediakan kemudahan untuk memajukan
bidang pertanian. Antara usaha yang telah diperkenalkan ialah pembukaan tanah
pertanian baru, pembinaan empangan pengairan, khidmat nasihat, bantuan input,
penyelidikan dan badan penyeliaan yang banyak memberi manfaat kepada seluruh
petani.
Sesungguhnya, kerajaan telah melaksanakan tanggungjawab sebagai pemerintah
untuk kebaikan seluruh rakyat. Maka, terpulanglah pula kepada masyarakat petani
untuk merebut peluang tersebut.
Kerajaan memberi penuh perhatian terhadap membangunkan bidang pertanian
kerana yakin potensinya yang menguntungkan rakyat dan negara. Tidak dinafikan,
kemakmuran negara banyak bergantung
kepada aktiviti pertanian sebagai sumber makanan, komoditi eksport dan aktiviti
ekonomi yang lebih meluas hingga hampir semua kawasan.
Anugerah Allah meliputi tanah subur, sumber air mencukup dan kesesuaian
iklim membolehkan usaha pertanian dilakukan dengan jayanya di negara kita. Malaysia menjadi pengeluar utama beberapa komoditi pertanian dan menjadi
penyumbang pendapatan eksport utama negara.
Usaha mengajak lebih ramai rakyat, khususnya golongan muda menyertai bidang
pertanian perlu dipertingkatkan agar mencapai matlamat menjadikan sektor
pertanian antara penyumbang utama kekuatan ekonomi negara. Seharusnya, potensi cerah dalam bidang
pertanian perlu direbut sepenuhnya.
Didapati di kalangan anak muda tidak berminat meneroka bidang pertanian
disebabkan kurang yakin bidang tersebut mendatangkan keuntungan lumayan.
Hal ini berpunca kerjaya sebagai petani dipandang rendah. Sebab itu kerjaya
sebagai petani tidak wujud dalam senarai cita-cita pelajar. Kerja sebagai
petani hanya diceburi anak petani yang tidak mempunyai pilihan lain untuk
mencari rezeki. Mereka meneruskan usaha keluarga dalam keadaan terpaksa.
Sikap memandang rendah kerjaya bidang pertanian itu perlu dikikis. Allah
tidak menilai pekerjaan seseorang berdasarkan jenis pekerjaan. Perkara penting
ialah dilakukan secara halal dan memberi kebaikan.
Rasulullah melakukan pelbagai jenis pekerjaan untuk mendapat rezeki bagi
dirinya dan ahli keluarga. Banyak rasul dan nabi menjadi petani dan penternak
untuk mencari rezeki. Jelas sekali, dari perspektif Islam tidak memandang
tinggi dan rendah sesuatu bidang pekerjaan, asalkan dilakukan dengan cara yang
halal.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidak makan seseorang itu sebarang makanan pun
lebih baik daripada dia memakan makanan hasil tangannya sendiri. Sesungguhnya
Nabi Daud mengambil makanan dari usaha tangannya sendiri.” (Hadis riwayat
Bukhari).
Sesungguhnya, pekerjaan sebagai petani amat mulia. Mereka membanting tulang
bukan sahaja untuk kepentingan diri sendiri, bahkan hasil usaha dilakukan itu
dapat memberi makanan kepada orang lain. Membantu sesama manusia adalah
hubungan yang amat dituntut. Setiap orang saling memerlukan bantuan orang lain
untuk mengecapi kebahagiaan hidup
Menjadi petani adalah usaha murni untuk mencari rezeki halal. Sesiapa berusaha
mencari rezeki halal, tidak kira apakah bentuk pekerjaan itu, maka balasanya
kemuliaan di sisi Allah. Apa yang penting dalam menentukan kemuliaan sesuatu
pekerjaan ialah keikhlasan dan manfaat yang diperoleh melaluinya.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa mencari rezeki halal untuk menjaga
dirinya supaya tidak meminta-minta dan berusaha memenuhi keperluan hidup
keluarganya, serta dapat pula membantu tetangganya, maka di akhirat kelak dia
akan menemui Allah dengan wajah berseri-seri bagikan bulan purnama.” (Hadis
riwayat Tabrani).
Sebenarnya menjadi petani bukan punca menjadi miskin. Sebaliknya sikap
kurang berusaha dan tidak berubah mengikut perubahan semasa menjadi punca
kemiskinan di kalangan petani. Petani perlu berani menceburi bidang pertanian
dalam skala yang besar, menggunakan teknologi tinggi dan meluaskan skop
pemasaran.
Petani perlu berubah daripada corak pertanian sara diri kepada pertanian
komersial yang lebih menguntungkan. Misi pertanian berasaskan keuntungan dan
saingan global perlu diterapkan dalam diri petani kita.
Usaha kerajaan membantu golongan petani telah banyak memberi kejayaan
terutama dari segi mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan petani. Ini
membuktikan bidang pertanian boleh mendatangkan pendapatan lumayan jika
dilakukan dengan bersungguh-sungguh.
Sesungguhnya, sektor pertanian memberikan pendapatan lumayan kalau
dilaksanakan secara sistematik. Keyakinan itu selaras dengan Dasar Pertanian
Negara Ketiga (DPN 3) yang dirancang dari tahun 1998 hingga 2010 untuk
memaksimunkan pendapatan melalui penggunaan sumber secara optimum.
Kerajaan menuju untuk menjadikan bidang pertanian sebagai sumber pendapatan
utama negara. Negara menetapkan sasaran menjadi pembekal makanan halal utama
dunia. Sekarang ini umat Islam terpaksa bergantung kepada negara
bukan Islam untuk mendapat makanan halal.
Adalah menjadi satu tuntutan fardu kifayah di kalangan negara atau individu
Islam menghasilkan makanan halal untuk umat Islam. Umat Islam tidak boleh
mengharapkan atau menyerahkan urusan yang penting ini kepada orang bukan Islam.
Kerjaya dalam bidang pertanian memang menjanjikan pendapatan yang lumayan
jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Buktinya, banyak petani yang berjaya
mendapat keuntungan lumayan, dan mendapat status ‘profesional’ apabila
memperoleh pendapatan puluhan ribu ringgit sebulan.
Melakukan sesuatu tugas dengan bersungguh-sungguh adalah tuntutan agama. Hal
ini dijelaskan oleh Rasulullah dalam sebuah hadis bermaksud: “Sesungguhnya
Allah amat mengasihi seseorang yang apabila melakukan setiap kerja, dilakukan
dengan penuh tekun dan sebaik mungkin.”
(Hadis riwayat Baihaqi).
Di negara maju, golongan petani amat dihormati dan dikagumi kemampuan
mereka menjalankan kerja-kerja pertanian sehingga menjadi golongan kaya raya
dan berpengaruh. Hal sama dapat dicapai di negara kita jika petani lebih gigih
dan menimba ilmu untuk menjadi petani moden.
Tradisi keilmuan tidak terhad kepada bidang teknologi dan sains
semata-mata. Untuk menjadi petani berjaya juga perlu kepada ilmu berkaitannya.
Sebab itu, Islam amat menekan kepada aspek ilmu. Petani perlu belajar teknologi
baru untuk menghasilkan yang terbaik. Petani yang tidak mahu berubah cara
kerjanya sebenarnya menolak peluang untuk berjaya.
Penglibatan golongan muda dalam bidang pertanian memudahkan lagi usaha
memajukan bidang pertanian di negara kita. Golongan muda yang mempunyai
pengetahuan lebih luas boleh dipergunakan untuk kemajuan bidang pertanian yang
semakin mencabar melalui teknik pertanian moden.
Bidang pertanian bukan kolot dan untuk orang bodoh. Sebaliknya bidang
pertanian juga memerlukan tenaga kerja yang mempunyai pengetahuan tinggi
berkaitannya, sepertimana bidang-bidang lain.
Kejayaan negara maju mengeluarkan hasil pertanian yang lebih baik
disebabkan mereka menggunakan teknologi moden. Di mana sekarang ini sains
pertanian berasaskan perkembangan bioteknologi semakin berkembang yang
digunakan secara meluas oleh petani di negara maju. Bidang yang hebat
diperkatakan tentang bidang pertanian sekarang ialah ubahsuai berasaskan
genetik.
Di negara kita secara umumnya tidak ketinggalan dalam usaha meningkatkan
hasil pengeluaran aktiviti pertanian, terutamanya komoditi yang banyak
dihasilkan di negara kita seperti kelapa sawit, getah dan buah-buahan
tempatan.
Kajian pertanian dijalankan oleh pihak universiti dan agensi penyelidik
banyak membantu meningkatkan pengeluaran hasil pertanian negara untuk manfaat
petani menghasilkan pengeluaran pada tahap optima, seterusnya dapat bersaing
dengan petani di luar negara.
Selain itu kerajaan juga menghantar semakin ramai petani muda yang
berpotensi mengikuti kursus di luar negara. Mereka didedahkan dengan
pengetahuan dan semangat petani moden di negara maju. Pendekatan itu didapati
lebih berkesan berbanding latihan diadakan di dalam negara. Mereka dapat
mempelajari dan melihat sendiri kejayaan petani di luar negara.
Menjalankan aktiviti pertanian secara moden dan bersistematik satu amalan
amat penting bagi memastikan peningkatan hasil dan kualiti hasil yang
baik. Setiap pekerjaan yang dilakukan
memerlukan kaedah yang sesuai untuk berjaya, tidak terkecuali dalam bidang
pertanian.
Teknik dalam bidang pertanian telah dijelaskan secara ringkas tetapi penuh
pengajaran dalam al-Quran. Firman Allah bermaksud: “Berkata Yusof: “Kamu
bercucuk tanam tujuh tahun sebagaimana biasa. Seberapa yang kamu tuai hendaklah
kamu simpan bersama tangkainya, kecuali sedikit untuk kamu makan.” (Surah
Yusof, ayat 47).
Arahan simpan bersama tangkainya mempunyai hikmah, yakni hasil tanaman
menjadi lebih tahan lama. Pengajaran boleh diambil ialah kajian dan pembangunan
berkaitan pertanian perlu dilakukan untuk mendapat hasil terbaik.
Petani moden sentiasa mengadakan ujian sendiri mengenai kaedah-kaedah
pertanian terbaik. Petani di negara maju sentiasa memperolah kaedah baru dalam
kerja-kerja pertanian kerana mereka sentiasa mencuba dan mengamalkan eksplotasi
ilmu.
No comments:
Post a Comment