Umumnya, apabila usia
meningkat, manusia berubah kepada nilai-nilai peribadi lebih baik. Perbuatan
maksiat yang sebati dalam diri ketika usia muda ditinggalkan selari dengan
keupayaan diri yang semakin terbatas dari segi kekuatan fizikal dan membataskan
diri untuk terus melakukan apa yang biasa dilakukan pada usia muda.
Bagaimanakah pula
sekiranya peningkatan usia ini tidak membawa perubahan yang baik, malah
kecenderungan seseorang itu kepada perkara maksiat atau berunsur negatif
semakin menjadi-jadi. Adakah ini petanda atau penentu sikap ini berkekalan atau
ada `cahaya’ yang tidak diketahui manusia?
Jika pada usia
tersebut tidak menjadi satu titik tolak ke arah perubahan yang baik, maka
dibimbangi selepas itu memang sukar hendak berubah.
Walau bagaimanapun,
kita sewajarnya melihat hal ini dari sudut optimistik.
Sebenarnya jika
perkara ini dilihat dari sudut Islam, ia lebih kepada hidayah Allah SWT.
Hidayah ini tidak terbatas dan diterima oleh orang tertentu sahaja, ia adalah
milik Allah.
Apabila menyentuh
perubahan manusia sama ada ia perlu berlaku atau tidak perlu berlaku, bila ia
berlaku, hakikatnya ia di luar pengetahuan akal manusia.
Pun begitu, berasaskan
pengalaman semasa, kajian menunjukkan kepentingan berlaku pada usia tersebut
tetapi ini juga tidak menafikan kebarangkalian seseorang untuk berubah menjadi
baik selepas usia 40 tahun atau hampir dengan kematian.
Ini dijelaskan oleh
Rasulullah SAW bermaksud: "Manusia dihimpunkan di dalam rahim ibunya
selama 40 hari sebagai setitis mani, 40 hari segumpal darah, 40 hari sebagai
seketul daging, 40 hari berikutnya ditentukan jantina, amalan, rezeki, syurga
atau neraka."
Dan di hujung hadis tersebut, Baginda bersabda: "Kamu
kena ingat, ada di antara kamu yang beramal di dalam hidupnya sebagai seorang
ahli syurga sehingga orang melabelnya ahli syurga. Tiba-tiba pada penghujung
hidupnya, dia telah melakukan satu perkara yang Allah murka kepada-Nya
menyebabkan ia mati dalam kemurkaan Allah. Dan ada juga di kalangan kamu yang
berlaku sebaliknya". (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Jadi pengajaran yang
dapat diambil daripada hadis ini, ialah bahawa kehidupan kita ditentukan oleh
husnul khatimah. Di antara doa yang tidak pernah ditinggalkan oleh Nabi dan
perlu kita amalkan iaitu, Wahai Tuhan yang membolak balikkan hati manusia,
tetapkanlah hatiku dalam ketaatan kepada-Mu.
Jelaslah di sini
bahawa perubahan pada usia 40 tahun itu penting dan kita kena sentiasa
mengawasi usia kita dan waktu yang diamanahkan kepada Allah kepada kita.
Sebenarnya, perubahan
boleh berlaku dengan syarat: Pertama, perubahan berlaku sebagai hidayah
daripada Allah. Kedua, perubahan boleh berlaku dengan sebab kita membudayakan
ilmu di dalam hidup kita dan ia boleh berlaku dengan pelbagai cara sejajar
dengan kecanggihan. Ketiga, perubahan ini penting dengan sebab pergaulan kita.
Keempat, kita kena sentiasa mengamalkan apa yang kita tahu, walaupun ia kecil.
Maka dalam soal
melakukan perubahan ini, janganlah kita suka bertangguh-tangguh kerana banyak
kerugiannya. Ini dibuktikan dan diperkukuhkan lagi dengan surah Ali Imran ayat
133 bermaksud: "Dan bersegeralah kamu kepada keampunan Tuhanmu dan kepada
syurga yang bidangnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang
yang bertakwa."
No comments:
Post a Comment