Monday, 10 December 2018

USAHA MELAKUKAN KEBAIKAN PADA HUJUNG USIA

Dalam kehidupan ini, kita mesti menggunakan setiap kesempatan yang ada untuk mengajar orang menjadi baik tidak kira dalam apa bidang kepakaran kita sekalipun. Pendeknya, setiap detik adalah kehidupan sebagaimana yang diakui oleh Barat, iaitu masa itu emas, manakala Hassan al Banna mengatakan masa itu kehidupan. Ini menunjukkan kepada kita, tiada satupun yang akan dapat menilai masa. Setiap saat yang kita lakukan walaupun kecil berkemungkinan membawa kebaikan pada hujung usia kelak.

Bagaimana pula tentang diskaun-diskaun yang Allah beri selepas kita meningkat usia lanjut seperti 60 hingga 70 tahun ke atas?

Sekiranya seseorang itu beriltizam dengan perkara-perkara sunat dengan syarat perkara yang wajib tidak ditinggalkan, maka perkara sunat ini dianggap sebagai kelebihan atau bonus.

Apabila perkara sunat sentiasa menyokong perkara wajib. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Aku sentiasa sayang kepada hamba-hamba-Ku yang mana mereka ini sentiasa melakukan perkara-perkara nafilah (sunat). Apabila Aku mencintainya kerana dia melakukan perkara sunat, maka Aku akan jadi telinganya yang dengannya dia mendengar dan Aku menjadi matanya yang dengannya dia melihat dan Aku menjadi tangannya yang dengannya dia mengambil dan Aku menjadi kakinya yang dengannya dia melangkah."

Hadis ini yang dibincangkan oleh para ulama, contohnya, Imam Nawawi mengatakan bahawa semua anggota yang Allah berikan kepada kita berada di dalam kawalan Allah SWT atau ia adalah gambaran bagaimana Allah menyayangi mereka yang melakukan ibadah sunat.

Menurut al-Butrusi dalam tafsirnya, Ruh al Bayan bahawa perkara-perkara sunat ini apabila dibuat secara istiqamah (konsisten) pada waktu kita sihat, nanti pada waktu kita tidak sihat atau sampai pada usia yang kita tidak ingat atau nyanyuk, Allah SWT menganggapnya masih berjalan lagi walaupun kita sudah tidak larat melaksanakannya, sama ada akibat usia tua ataupun sakit terlantar.

Yang pastinya, perkara baik ini jangan ditangguh-tangguh melakukannya walaupun kecil mana sekalipun dan ia mestilah dilakukan secara konsisten, berterusan dan mengikut kemampuan.

Sabda Rasulullah SAW: "Sebaik-baik benda yang dibuat oleh manusia ialah yang konsisten, berterusan walaupun sedikit." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Firman Allah SWT dalam Surah al-Fussilat ayat 30 bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): Janganlah kamu bimbang (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu."

Selain itu, Imam al-Qurtubi menjelaskan, umur 10 hingga 25 tahun, Allah beri pelbagai nikmat, umur 25 hingga 40 tahun, Allah mula mengurniakan pelbagai tanggungjawab, umur 51 sampai usia 63 tahun, Allah mula meringankan beban dan Allah pun mula menarik nikmat sedikit demi sedikit, dan pada usia 64 hingga 70 tahun, Allah melihat mereka dengan penuh kasih sayang, dan pada usia 71 ke atas Allah memberi bonus serta kelebihan. Di sinilah cantiknya Islam.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Umur umatku antara 60 hingga 70 tahun dan hanya segelintir sahaja yang melepasi umur itu." (Hadis riwayat Ahmad)

No comments:

Post a Comment