Untuk mengkiaskan manusia
adalah seperti Malaikat dan mengatakan
bahawa Malaikat boleh buat silap sebagaimana manusia boleh buat silap adalah
sesuatu kenyataan yang salah dari segi akidah.
Malaikat adalah
makhluk yang paling taat kepada Allah, tidak pernah membangkang perintah Allah
ataupun melakukan perbuatan dosa. Mereka adalah hamba yang dimuliakan, selalu
memuji Allah, bertasbih serta mengagungkan nama-nama Allah SWT.
Rasulullah SAW
bersabda: “Lalu diperlihatkan kepadaku Baitul Makmur, lalu aku bertanya kepada
Jibril, maka dia berkata, ‘Itu adalah Baitul Makmur, di dalamnya setiap hari
ada 70 ribu Malaikat melakukan solat; jika mereka keluar, tidak ada yang
kembali yang paling akhir daripada mereka.” (Sahih Bukhari, no. 3207 dan Sahih
Muslim, no. 164)
Manusia berbeza
dengan para Malaikat yang tidak ada nafsu dalam diri mereka, sehingga malaikat
mampu melakukan ibadah yang tidak mampu dilakukan oleh manusia.
Para ulama
berpendapat bahawa para Malaikat lebih mulia dan lebih baik daripada manusia,
kerana mereka lebih dekat kepada Allah SWT dan Allah SWT juga telah meninggikan
kedudukan serta derajat mereka. Di samping itu, Allah juga tidak menjadikan
syahwat ada pada diri mereka.
Para Malaikat
sentiasa bertasbih pada waktu siang dan malam dan mereka tidak pernah merasa
letih dan jemu. Mereka semua sentiasa bersujud kepada Allah SWT sehingga pada
hari kiamat datang. Ada juga Malaikat yang memiliki pelbagai keistimewaan yang
sangat menakjubkan.
Para Malaikat memang
lebih dekat kepada Allah SWT, tidak pernah berbuat salah dan juga tidak pernah
berbuat maksiat kepadaNya, kerana memang dalam diri mereka tidak ada nafsu
serta bebas dari godaan syaitan.
Justeru, amat biadab
serta berbahaya pada iman seseorang itu jika ia mempermain-mainkan kedudukan
Malaikat walaupun dalam bentuk kiasan. Wajar orang Muslim yang melakukan
sedemikian supaya segera bertaubat.
Kalau ingin membuat
perumpamaan ataupun analogi, carilah perbandingan yang lain. Jika membuat perumpamaan
kepada perkara baik itu adalah harus. Allah mengarahkan Malaikat dalam
melakukan perkara-perkara untuk kebaikan manusia.
Sesungguhnya, kepada
makhluk yang telah disahkan tentang sifatnya oleh Allah, tiada perkara buruk
yang dilakukan, melainkan ketaatan melakukan apa yang diperintahkan.
Firman Allah SWT
bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan
keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu
(berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras
kasar (layanannya); mereka (malaikat-malaikat) tidak menderhaka kepada Allah
dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap
melakukan segala yang diperintahkan." (Surah At-Tahrim, ayat 6).
No comments:
Post a Comment