Wednesday 11 October 2017

Syahid ketika membawa bendera

Musab Bin Umair antara individu terawal memeluk Islam di kalangan bangsawan Quraisy yang mewah dan berpewatakkan hebat akhirnya dibuang keluarga kerana memilih Islam. Dari hidup penuh kemewahan beliau mengharungi hidup seperti orang biasa yang miskin hartanya namun jiwanya kaya.

Sempat berhijrah ke Habsyah dan Yathrib (Madinah). Menjadi utusan Rasulullah SAW untuk mengajarkan al Quran ke (Madinah) sebelum Baginda berhijrah. Ramai yang berjaya diIslamkan oleh Musab hasil dari dakwah beliau yang penuh hikmah dan bijaksana.

Musab pernah dipertanggungjawabkan membawa panji-panji tentera Islam dalam dua peperangan iaitu Perang Badar yang dimenangi tentara Islam dan Perang Uhud yang menyaksikan kekalahan di pihak tentera Islam.

Musab terus memegang panji-panji biarpun kedua-dua tangannya telah terpotong dilibas tentera musuh sehinggalah panji-panji itu dirangkul oleh Ali Bin Abi Talib atas arahan Rasulullah SAW. Musab gugur syahid yang dikenang sebagai pembawa panji-panji tentera Islam sehingga ke akhir hayat.

Kesedihan menyelubungi tentera Islam terutamanya Rasulullah SAW melihat gugurnya Musab dalam usia awal 40an. Syahid seorang yang asalnya bangsawan Quraisy yang bukan sekadar kaya tetapi segak dan tampan telah memilih akhirat sebagai tempat istirehatnya.

Baginda dan bersama para sahabat melihat jasad Musab yang memakai pakaian yang kasar buatannya iaitu pakaian orang-orang biasa sedangkan dahulunya beliau mengenakan pakaian dari kain yang halus buatannya. Malah kain yang dimiliki untuk menutup jenazahnya tidak cukup panjang. Apabila ditutup mukanya maka terdedahlah kakinya, manakala apabila ditutup kakinya maka terdedahlah mukanya. Lalu Baginda berkata,” tutuplah pada bahagian kepalanya dan kakinya tutuplah dengan idzkhir (sejenis daun).”

Seterusnya Baginda yang melihat kain kasar yang menutup jasad Musab berkatalah Baginda: "Ketika di Mekah dahulu, tidak ada seorang pun yang aku lihat yang lebih halus pakaiannya dan lebih rapi rambutnya daripadanya. Tetapi sekarang  ini, dengan rambutmu yang tak terurus hanya dibalut sehelai burdah."

Seterusnya Baginda berkata ketika melihat kepada mereka yang syahid: "Sungguh, Rasulullah akan menjadi saksi nanti di hari kiamat, bahawa kalian semua adalah syuhada di sisi Allah!"

Begitulah gugurnya syuhada Musab pejuang yang kenal erti kehidupan dan matlamat akhirat.

No comments:

Post a Comment