Wednesday 11 October 2017

Bawa kekayaan ke akhirat

Banyak pendapat mengatakan harta tidak boleh dibawa kebaikan apabila kita sudah meninggal dunia. Itu betul jika harta itu tidak digunakan dengan baik. Jika pandai guna, harta boleh 'membeli' syurga. Bahkan, harta juga akan menyempurnakan Rukun Islam.

Sebab itu, orang Islam kena berusaha bersungguh-sungguh mencari kekayaan untuk dibawa ke akhirat. Harta memang tidak dibawa ke liang lahad. Selepas kita meninggal, harta akan menjadi habuan orang yang hidup, terutamanya waris dan kaum keluarga.

Harta akan dibawa ke akhirat dalam bentuk pahala. Untuk menjadikan harta sebagai pahala dan bukannya bala, maka hendaklah ia ditukarkan kepada amalan atau perbelanjaan yang boleh ditukarkan ia menjadi pahala.

Ingat, harta tidak boleh dibawa ke akhirat kerana keadaan dunia yang berbeza. Jadi ia perlu ditukarkan dalam bentuk yang sesuai untuk digunakan di akhirat, iaitu pahala.

Harta akan bertukar menjadi pahala jika kita melakukan apa yang diperintahkan Allah. Harta menjadi pahala apabila dikeluarkan zakat dan digunakan untuk menunaikan haji. Lihat betapa pentingnya harta untuk menyempurnakan Rukun Islam. Menunaikan zakat dan mengerjakan haji kedua-duanya memerlukan harta.

Maka itu, sesiapa yang ingin menyempurnakan Rukun Islam perlu berusaha mencari harta yang banyak. Kena sayang pada harta dan cintakan harta bagi membolehkan cukup kadar untuk dikeluarkan zakat. Begitu juga untuk menunaikan haji memerlukan jumlah yang besar.

Pahala lain yang boleh dibeli dengan harta ialah sedekah kepada yang memerlukan seperti anak yatim, orang fakir dan miskin, membina masjid, surau dan tempat membolehkan orang menunaikan sembahyang, belajar dan sebagainya.

Bagaimana kita ingin bersedekah jika keperluan diri sendiri tidak mencukupi sehingga perlu meminta-minta dari orang lain? Maka itu, bersungguh-sungguhlah untuk mencari harta untuk digunakan sebagai bekal di akhirat nanti.

No comments:

Post a Comment