Monday 2 October 2017

Teori Evolusi Darwin dangkal

Setiap Muslim mesti mempercayai bahawa manusia pertama dicipta ialah Nabi Adam. Manusia bukan terhasil melalui proses evolusi daripada makhluk lain yang bertukar menjadi manusia seperti sekarang.

Adam dicipta daripada tanah liat sepertimana firman Allah dalam surah al-Hijr, ayat 26 bermaksud: “Kami telah menjadikan manusia itu daripada tanah liat hitam kering, daripada tanah hitam yang berubah baunya.”

Manakala sabda Rasulullah pula bermaksud: “Kamu semua adalah daripada anak-anak Adam dan Adam daripada tanah. Manusia itu dari anak-anak Adam dan Allah mencipta Adam daripada tanah.” (Hadis riwayat Abu Daud).

Penciptaan Adam dalam keadaan sempurna, yang menjadi bapa kepada seluruh manusia dari mula hinggalah ke hari kiamat.  Adam dilantik sebagai khalifah di muka bumi dan nabi pertama yang mampu menguruskan kehidupan dan menimba ilmu pengetahuan. 

Allah membezakan penciptaan manusia berbanding makhluk lain. Manusia diciptakan dengan kelebihan akal dan nafsu. 

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk sebaik-baiknya.” (Surah at-Tin, ayat 4).

Oleh itu tidak tepat jika mempercayai bahawa teori evolusi mengenai asal kejadian manusia.  Pembuktian dalam hal-hal lain berkaitan evolusi tidak boleh dijadikan bukti tentang asal kejadian manusia.

Teori evolusi menggambarkan bahawa kejadian manusia berasal daripada beruk atau kera besar.  Ketika melalui evolusi sebagai manusia purba, peradababan hidup manusia didakwa belum sempurna. Hidup secara rakus ala alam haiwan, terikut-ikut cara hidup sebelum itu.  

Berdasarkan kepada teori evolusi, jika Adam dianggap manusia pertama yang sempurna, maknanya Adam dilahirkan oleh generasi beruk sebelum itu. Ini jauh sekali daripada apa yang telah dijelaskan oleh Allah bahawa Adam (manusia) dicipta daripada tanah. 

Kadar evolusi manusia juga didakwa berbeza-beza mengikut keturunan berdasarkan warna kulit.  Menurut fahaman Darwinisme (kepercayaan terhadap teori evolusi), bangsa kulit putih lebih tinggi dari segi evolusinya daripada orang berkulit hitam. 

Inilah sebab dijadikan alasan mengapa kaum kulit putih lebih ke hadapan cara pemikiran dan gaya hidup berbanding kaum kulit hitam. Contohnya, bangsa yang kulitnya hitam pekat, dianggap lebih dekat dengan keturunan orang hutan. 

Fahaman inilah sedikit sebanyak mempengaruhi orang kulit putih menjadikan orang kulit hitam sebagai hamba abdi. Mereka merasakan lebih mulia berbanding orang kulit hitam. Dalam keadaan lebih hina, orang kulit putih mendakwa orang kulit hitam masih layak dilayan seperti haiwan kerana belum berevolusi sepenuhnya menjadi manusia yang sempurna. 

Sedangkan sebenarnya, Allah mencipta manusia berlainan bangsa dan warna kulit adalah untuk manusia saling kenal mengenali dan berkasih sayang. Manakala penilaian Allah terhadap manusia adalah berdasarkan kepada takwa.

Teori evolusi asalnya turut menyandarkan kepada alasan bahawa perbezaan genetik amat kecil antara manusia dan cimpanzi. Cimpanzi dianggap keturunan beruk yang memasuki evolusi terakhir sebelum memasuki fasa manusia purba. Penyokong teori evolusi mendakwa 99 peratus genetik manusia menyamai genetik cimpanzi.

Teori evolusi berasaskan genetik ini pada mulanya sukar dipatahkan oleh orang Islam memandangkan sainstis Islam tidak mempunyai kemahiran tinggi tentang genetik biarpun ilmu genetik mulanya diasaskan oleh orang Islam.  Pun hakikatnya, orang Islam tidak pernah dipesong oleh teori evolusi, melainkan sedikit bilangannya disebabkan kelemahan iman. 

Perbohongan kaitan genetik terbongkar apabila sainstis Islam yang membuat kajian mengenai genetik untuk menyokong teori evolusi menemui sebaliknya.  Persamaan antara manusia dan cimpanzi dari segi genetik sebenarnya hanya sekitar 95 peratus

Kita menanti-nanti lahir sainstis Islam yang dapat menyangkal sepanuhnya teori evolusi.  Sekarang ini kita menggunakan ujikaji dijalankan sainstis bukan Islam.  Mungkin ada sesuatu yang mereka rahsiakan. 

Menurut apa difirmankan Allah dalam al-Quran, terdapat empat cara manusia dicipta.  Selain Adam dicipta daripada tanah, Hawa pula dicipta daripada tulang rusuk Adam.  Nabi Isa dilahirkan tanpa bapa.  Sedangkan manusia lain dicipta melalui proses biasa memerlukan cantuman mani dalam rahim. 

Individu Muslim tidak boleh sama sekali menerima pakai teori evolusi tentang kejadian manusia kerana dalam al-Quran telah menjelaskan keturunan manusia berasal daripada Adam.  Kandungan al-Quran tidak harus diragui.  Mempercayai kepada al-Quran (percaya kepada kitab-kitab) adalah termasuk Rukun Iman.

Allah tidak melarang kita mengkaji tentang kejadian alam.  Diharapkan kajian yang dilakukan akan memperkuatkan tanda keimanan dan mengakui kebesaran Allah.  Semakin banyak yang dikaji, semakin menemukan kehebatan ciptaan Allah.  

Malangnya, bagi pengkaji kafir, semakin banyak dikaji, semakin terasa keangkuhan.  Mereka bukan tidak menemui kebenaran dalam kajian, tetapi sengaja memesongkan ilmu yang diperoleh.  Pengkaji kafir sengaja menafikan kebenaran kandungan al-Quran yang telah banyak menyebut mengenai kejadian alam. 

Hampir semua tokoh komunis dan pengikutnya mempercayai mengenai teori evolusi kejadian manusia.  Ini bersesuaian dengan keyakinan mereka bahawa tidak ada pencipta manusia.  Alam ini terjadi sendiri melalui proses evolusi sejak beribu jutaan tahun lalu.  Fahaman komunis menolak kenyataan adanya Maha Pencipta alam ini. 

Proses evolusi mungkin sesuai untuk membincangkan tentang kejadian makhluk lain.  Itupun  hanya satu andaian.  Hanya Allah mengetahui tentang kejadian alam ini dan seluruh isinya, bermula ia dicipta dan apa yang akan berlaku seterusnya.  Allah Maha Pencipta.

No comments:

Post a Comment