Sesekali
apabila anak bertanya tentang isu seks, apakah reaksi anda? Tergamam? Gugup?
Malu? Cemas? Bimbang?
Rata-rata
ibu bapa kurang pasti apakah yang harus diperkatakan dan bagaimana menjawab
soalan berhubung tentang seks. Ada ibu bapa terdiam tanpa memberi sebarang
jawapan, membiarkan anda terus tertanya-tanya mengenainya.
Sebahagian
ibu bapa lain menunjukkan sikap tidak senang dan marahkan anak bertanyakan
soalan itu. Mereka menganggap membincangkan soal seks bersama-sama anak satu
topik paling sulit, memalukan, tidak bermoral, dilarang adat dan ada yang
mengatakan larangan agama.
Ibu
bapa perlu membuat persediaan untuk menangani soalan berkaitan seks yang
ditanyakan anak supaya tidak menunjukkan reaksi kurang senang, memarahi anak,
menipu mereka dengan fakta yang salah atau berdiam diri.
Alangkah
baik jika kita dapat bersifat terbuka dan menggalakkan anak bertanya apa pun
soalan yang ada di benak mereka dan menunjukkan reaksi spontan seperti menjawab
soalan lain. Bahkan, adalah lebih baik jika ibu bapa yang mengajak anak
memulakan perbincangan mengainya, jika difikirkan perlu.
Jika
dikekang dan dipendam, mereka akan bertambah musykil dan akan bertanya daripada
orang lain atau teman yang mungkin memberi fakta yang kurang tepat atau tidak
sesuai bagi umur mereka.
Walaupun
usia anak masih kecil, berilah anak pengetahuan yang sesuai dengan peringkat
usia. Kita mengajar mereka mengenali
anggota badan seperti tangan, mata, hidung dan sebagainya.
Mengapa
apabila menyebut nama bahagian sulit diguna nama yang tidak tepat. Salahkah jika menyebut perkataan rahim, zakar
dan faraj atau nama lain yang diguna mengikut loghat tempatan. Tidak perlu kita
menukar nama bahagian sulit dengan alasan untuk bersopan.
Ibu
bapa tidak harus berasa malu kerana anak harus diajar menghargai dan mengenal
tubuh sendiri. Mereka perlu mengetahui jantina mereka. Apa tanda bahawa mereka
itu lelaki atau perempuan berdasarkan kepada alat sulit yang dimiliki.
Perkara
ini bukan sesuatu yang pantang dan dijauhi. Gunakan buku bergambar jika perlu.
Cara ini lebih mudah difahami atau membolehkan mereka ‘ulangkaji’ melihat
gambar itu.
Ibu
bapa perlu bijak menguasai tahap kefahaman anak masing-masing. Ajarkan atau jawablah soalan bersesuaian
dengan umur anak. Anak kecil tidak perlu diberitahu tentang proses hubungan seks,
tetapi memadai memberi tahu bahawa yang boleh melahirkan anak ialah perempuan
dan bukannya lelaki.
Kalau
ditanya mengapa, itu telah tabie yang ditetapkan oleh Allah. Ia secara tidak
langsung sebagai kesempatan mengajar mereka bahawa Allah yang mencipta
manusia.
Apabila
mereka lebih memahami, anak boleh diajar mengenai mengapa perempuan mengandung
dan melahirkan anak. Beritahu mereka tentang perlunya lelaki untuk menyebabkan
perempuan mengandung. Ini tidak bermakna menceritakan satu persatu kepada
mereka bagaimana melakukan hubungan seks.
Terdapat
banyak buku bergambar di pasaran dan perpustakaan yang akan menyenangkan ibu
bapa berbincang tentang pembentukan bayi dan isu seks. Di sini anak-anak akan
faham potensi tubuh mereka bahawa seorang perempuan boleh menjadi hamil dan
orang lelaki boleh menyebabkan kehamilan.
Ajarkan
tidak ada sesiapa pun yang berhak menyentuh bahagian tubuh terutama bahagian
sulit mereka tanpa kerelaan mereka. Ajarkan tentang
aurat lelaki dan perempuan, yang halal dan haram, bahawa lelaki dan wanita yang
bukan mahram dan belum bernikah tidak boleh bersentuhan.
Jika anak sudah di
bangku sekolah, ajarkan bahawa lelaki dan perempuan tidak wajar bermain secara
fizikal sesama sendiri seperti bertepuk tampar apalagi jika anak sudah baligh. Beritahu
mereka bahawa tentang batasan pergaulan. Wujudkan di dalam diri mereka perasaan
malu dan bersalah jika melakukan perbuatan itu.
Bincang
dengan anak perempuan dan lelaki tentang haid, mengapa wanita mengalaminya,
waktu ia tiba dan proses haid sebelum anak baligh. Anak perempuan tidak berasa
cemas dan terkejut bila ia tiba.
Mengapa
perempuan perlu merasa malu dan tersisih ketika datang haid. Tidakkah itu
tandanya dia perempuan yang normal?
Anak lelaki juga
harus diberi pengetahuan tentang haid wanita agar tiada salah faham bahawa ia
sesuatu yang memalukan, jijik atau menjadi bahan ejekan terhadap kaum
wanita.
Selitkan
juga bahawa orang yang sudah berkahwin sahaja boleh menunjukkan kasih sayang
jika anak tertengok rancangan khusus untuk orang dewasa di televisyen. Jangan berdiam diri atau marah.
Jadikan televisyen sebagai medium atau alat bantu mengajar. Beritahu
kepada mereka mana yang betul dan salah. Rancangan televisyen dari Barat yang
mempamerkan aksi bertentangan dengan budaya dan ajaran agama boleh dijadikan
contoh tentang perbuatan yang tidak patut mereka lakukan.
Dengan
pengetahuan yang tepat dan sesuai dengan umur mereka, ibu bapa dapat merubah
dan mengekang salah sangka, mengajar anak menghargai diri dan tubuh
masing-masing. Mudah-mudahan mereka akan mampu mengambil keputusan yang bijak.
No comments:
Post a Comment