Manfaat harta atau sesuatu diwakafkan dapat memberi kebaikan kepada sekelompok orang atau orang ramai yang dapat digunakan secara berpanjangan untuk tempoh tertentu atau sehingga tidak dapat digunakan.
Di sebalik harta
yang memberi manfaat kepada orang ramai, hikmah di sebalik wakaf adalah membuka
ruang untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan cara mengalirkan harta di
jalan-Nya.
Tiada amalan
yang paling disukai seorang mukmin selain amalan yang boleh mendekatkan dirinya
dengan Allah SWT dan menjadikan dirinya dikasihi Allah SWT.
Melalui amalan
wakaf seorang Muslim berpeluang menzahirkan pengabdian dan cintanya kepada
Allah SWT. Sesungguhnya perasaan cintakan Allah SWT hanya dapat dizahirkan
melalui amalan dan pelaksanaan.
Allah SWT
berfirman maksudnya: “Kamu tidak sekali-kali akan mencapai kebaikan (yang
sempurna) sehingga kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi.”
(Surah Ali Imran, ayat 92)
Wakaf juga dapat
menunaikan impian seorang mukmin untuk melihat kebajikannya sentiasa berterusan
walaupun selepas kematiannya dan ganjaran pahala sentiasa
diperoleh selepas meninggal dunia.
Harta wakaf
memberi pahala berkekalan biarpun selepas meninggal dunia selagi harta itu
memberi manfaat kepada orang lain.
Rasulullah SAW
bersabda maksudnya: “Apabila seorang manusia mati segala amalannya akan
terputus kecuali daripada tiga sumber; sedekah jariah atau ilmu yang boleh
dimanfaatkan atau anak salih yang mendoakannya. (Hadis riwayat Muslim)
Melalui wakaf
akan tercapai kepentingan Islam. Sekiranya harta wakaf ini diuruskan dengan
baik ia boleh menjadi aset yang baik untuk mencapai kepentingan masyarakat
Islam seperti membina masjid, sekolah, menghidupkan ilmu, syiar Islam seperti
azan, kepimpinan Islam dan sebagainya.
Akhirnya, wakaf
dapat memenuhi keperluan fakir miskin, anak yatim dan ibnu sabil yang tidak
dapat mencari rezeki kerana keadaan tertentu. Harta wakaf ini boleh memenuhi
keperluan dan mengurangkan kesengsaraan mereka.
Amalan wakaf
menjadi budaya di kalangan sahabat Rasulullah SAW. Jabir pernah berkata: “Tidak
ada seorang pun di kalangan sahabat yang berkemampuan tetapi tidak mewakafkan
hartanya.” Perbuatan sahabat ini menunjukkan kepada kita bagaimana mereka
sangat mengerti dalam mengamalkan ajaran Islam yang berkaitan dengan harta di
mana ia adalah titipan Allah yang mesti dipelihara dengan
sebaik-baiknya.
Syeikh Mahmud
Syaltut dalam bukunya al-Islam: Aqidah wa Syari’ah menulis: “Menyedari bahawa
faedah yang lahir daripada harta itu akan merangkumi semua pihak dalam
masyarakat, dan harta itu pula dapat memenuhi keperluan masyarakat seperti yang
kami sebutkan, maka Allah SWT menyandarkan harta itu supaya diambil perhatian
mengenai betapa pentingnya harta itu dan kadangkala kepada diri-Nya
sendiri.
No comments:
Post a Comment