Thursday, 20 October 2016

Jaga batasan aurat

Jaga batasan aurat untuk elak zina. Zina perbuatan keji perlu dijauhi dan sebaik-baik usaha ialah tidak mendekati atau melakukan perbuatan boleh mendorong berlakunya perbuatan itu. Perbuatan zina berlaku apabila wujud suasana membuka peluang atau memungkinkan ia terjadi.

Oleh sebab itu Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan jangan kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina adalah perbuatan yang keji dan jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (Surah al-Isra, ayat 32)

Larangan zina yang digunakan dalam al-Quran seperti, “Jangan kamu mendekati zina” bukan “'Jangan melakukan zina”, menegaskan bukan hanya perzinaan dilarang, tetapi segala-gala yang menjadi pintu ke arah perlakuan itu perlu dijauhi.

Perbuatan memandang aurat wanita, mendengar perkara yang boleh menaikkan nafsu seperti kelunakan suara melalui rayuan atau pujukan, bergaul bebas antara lelaki dan wanita atau berdua-duaan dengan bukan mahram adalah antara perkara yang boleh mendekatkan seseorang kepada zina.

Langkah pencegahan itu bukan bertujuan mennyekat kebebasan individu, tetapi satu tindakan untuk menjaga kehormatan diri serta keselamatan wanita. Wanita perlu dilindungi dan bukannya menjadi alat memuskan nafsu lelaki. 

Masalah zina bukan berlaku di kalangan pasangan belum berkahwin sahaja bahkan turut melibatkan individu yang telah berkahwin yang mana sama ada suami atau isteri berlaku curang mencari pasangan seks lain.

Etika berpakaian harus dititikberatkan untuk mengelak berlakunya zina dan rogol. Pakaian muslimah wajib memenuhi fungsi dasarnya iaitu menghindarkan seseorang daripada dorongan berahi kerana aurat yang tidak ditutup dengan sempurna. 

Hari ini seakan menjadi aliran kebanyakan pakaian generasi muda terlalu pendek, ketat dan nipis. Fenomena seperti itu patut dicegah demi kesejahteraan seluruh masyarakat.

Segala yang dikira boleh membawa kepada perzinaan seperti rumah pelacuran, disko dan rumah urut perlu dicegah atau ditutup. Jika tidak, berlaku perkara yang tidak diingini.

Kita amat harian mengapa wanita yang sudah berkahwin masih lagi ingin berpakaian seksi dan mendedahkan aurat yang boleh menaikkan nafsu ghairah lelaki lain. Pakaian yang sepatutnya hanya layak dipakai ketika di rumah bersama suami, digayakan untuk tontonan umum.

Suami perlu memastikan isteri sentiasa menutup aurat dan mengelak berhubung dengan lelaki lain yang bersifat boleh mencetuskan fitnah dan kemesraan yang mencetuskan rasa ghairah.

Suami yang membenarkan isteri berpakaian mendedahkan aurat sebenar boleh dianggap merelakan isterinya dizina oleh lelaki lain.

Rasulullah SAW ketika peristiwa Israk dan Mikraj memberi gambaran seksa bagi lelaki penzina. 

Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Kemudian aku melihat beberapa lelaki memegang daging gemuk yang bermutu, di sebelahnya terdapat daging kurus yang sudah busuk. Mereka memakan daging busuk itu dan meninggalkan daging gemuk yang bermutu. Aku bertanya kepada Jibril: Siapakah mereka wahai Jibril? Jibril menjawab: Mereka adalah orang yang meninggalkan wanita yang sudah dihalalkan oleh Allah terhadap mereka (isteri) dan pergi kepada wanita yang diharamkan oleh terhadap mereka.” (Hadis riwayat Ibnu Ishak daripada Said al-Khudri)

Rasulullah SAW turut memberi gambaran seksaan wanita yang membawa masuk lelaki bukan kalangan anak dan suami mereka.

Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Kemudian aku melihat beberapa wanita yang digantung dengan payu dara mereka. Aku bertanya kepada Jibril: Siapakah mereka wahai Jibril? Jibril menjawab: Mereka adalah wanita yang membawa masuk lelaki yang bukan daripada kalangan anak, suami mereka (bukan mahram).” (Hadis riwayat Ibnu Ishak daripada Said al-Khudri)

Ibnu Ishak berkata: “Jaafar bin ‘Amru berkata kepadaku dari Qasim bin Muhammad bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah terlalu murka terhadap wanita yang membawa masuk ke atas ‘kaum’ (rumah tangga suami), lelaki yang bukan daripada kalangan mereka, kemudian dia memakan harta dan melihat aurat mereka.”

No comments:

Post a Comment