Sunday, 2 April 2017

Sekolah Berasrama Penuh

Sekolah Berasrama Penuh (SBP) (Fully Residential School) merujuk kepada sekolah menengah yang disediakan khas kepada pelajar cemerlang berdasarkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) - sebelum itu penilian darjah 5. Jaga untuk pelajar cemerlang PT3 (sebelum itu LCE, SRP dan PMR).

Tujuan asal penubuhan sekolah jenis ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar bumiputera di luar bandar. Ini adalah kerana pada awalnya, sekolah berasrama hanyalah sekolah berasrama Inggeris/ala Inggeris (seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar) yang terbatas kepada anak-anak Raja dan orang kenamaan sahaja.

Namun kini, semua sekolah berasrama penuh adalah sama dan terbuka kepada semua warganegara Malaysia, kecuali asrama kategori 'khas' yang hanya dikhususkan kepada bumiputera. Secara kasarnya 90% adalah untuk pelajar bumiputera manakala 10% lagi adalah untuk pelajar bukan bumiputera.

Di sekolah berasrama penuh waktu belajar telah diatur oleh pihak sekolah dan setiap pelajar perlu mematuhi jadual tersebut. Inilah satu keunikan kehidupan sekolah berasrama penuh dibandingkan dengan kehidupan pelajar di sekolah harian biasa.

Sejarah penubuhan SBP bermula pada tahun 1890, ketika R.O. Winsted menjadi Timbalan dan kemudiannya menjadi Pengarah Pelajaran Tanah Melayu. Pada tahun tersebut “The Selangor Raja School” ditubuhkan sebagai memulakan langkah melahirkan elit Melayu daripada kalangan istana dan anak-anak pembesar negeri, menerusi pendidikan aliran Inggeris.

Pada tahun 1894, sekolah ini telah ditutup untuk tujuan pengubahsuaian dan dilahirkan semula dalam bentuknya yang baru pada tahun 1905 di Kuala Kangsar yang sehingga hari ini dikenali sebagai The Malay College Kuala Kangsar (MCKK)

Sultan Perak (Sultan Idris) dalam Persidangan Raja-raja (DURBAR) pada tahun 1903 yang mengkritik dasar pentadbiran Inggeris, khususnya dalam hal pendidikan orang Melayu dengan mengatakan ia “hanya menghasilkan petani dan nelayan Melayu yang lebih baik”.

Sultan Perak sendiri telah menawarkan lokasi penubuhan MCKK di tapak sekarang ini, dengan tujuan “for the education of the Malays of good family and for the training of Malay boys for admission to certain branches of the government service”.

Pada tahun 1947, “Malay Girl College” ditubuhkan di Kuala Lumpur, kemudiannya berpindah ke Seremban, Negeri Sembilan dan dikenali sebagai Kolej Tunku Kurshiah sehingga sekarang, mengambil sempena nama DYMM Raja Permaisuri Agong yang pertama.

Pada bulan September 1955, sebuah Jawatankuasa Pelajaran telah ditubuhkan yang akhirnya melahirkan Penyata Razak pada tahun 1956. Laporan Penyata Razak kemudiannya diluluskan dan menghasilkan Ordinan Pelajaran 1957. 

Penyata Razak telah memperakukan penubuhan 6 buah Sekolah Berasrama Penuh (SBP), iaitu:
1. Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR) - 1956
2. Sekolah Tun Fatimah (STF) - 1956
3. Sekolah Tunku Abdul Rahman (STAR) - 1957
4. Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (SMSAH) - 1963
5. Sekolah Alam Shah (kini dinamakan Sekolah Sultan alam Shah) (SAS) - 1963
6. Sekolah Seri Puteri (SSP) - 1968

Pendidikan di sekolah berasrama penuh adalah suatu usaha berterusan bagi menyediakan suasana persekolahan dan pembelajaran yang terancang, terkawal dan sempurna untuk memupuk dan memperkembangkan kebolehan pelajar-pelajar berpontensi ke arah kecemerlangan sebagai insan dan warganegara yang seimbang dan bertanggungjawab terhadap tuntutan agama, bangsa dan negara.

No comments:

Post a Comment