Saturday, 1 July 2017

Kajian kualiti jalan kawasan kemalangan

Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya (MIROS) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) perlu melakukan kajian kualiti jalan raya di kawasan kemalangan.

Selain melakukan penelitian terhadap kecuaian manusia dan faktor fizikal jalan raya turut diambil kira. Kajian harus dilakukan berikutan kadar kemalangan masih tinggi walaupun kempen keselamatan diperhebat.


Kerajaan juga akan menaik taraf jalan raya berbahaya dari semasa ke semasa. Bagaimanapun lebih 80 peratus kemalangan berpunca daripada kecuaian manusia yang tidak mematuhi undang-undang.

Kadar kemalangan masih menakutkan. Saban tahun terutama ketika musim perayaan, banyak nyawa terkorban.

Pada logiknya, kadar kemalangan jalan raya akan meningkat berikutan pertambahan jumlah kenderaan berdaftar di seluruh negara. Justeru, dengan pertambahan jumlah kenderaan itu semestinya perlu ada perancangan lebih strategik dan sistematik pada masa depan untuk memastikan kadar serta peratusan kemalangan jalan raya termasuk kemalangan maut dapat diturunkan pada kadar paling minimum.

Pada dasarnya, menjadikan jumlah sifar kemalangan jalan raya adalah mustahil dicapai di negara ini kerana banyak faktor penyumbang kepada kejadian berkenaan terutama sikap pemandu masih berada pada tahap teruk iaitu 94 peratus berbanding aspek jalan raya, teknikal, cuaca dan keadaan kenderaan itu sendiri.

Banyak lagi perlu diperbaiki untuk membentuk pemandu berhemah, berdisiplin, beretika dan akhirnya membentuk pemandu bertaraf kelas pertama sejajar dengan wawasan mencapai negara maju menjelang 2020. Penunggang dan pembonceng motosikal terus mencatat jumlah tertinggi kemalangan maut di negara ini.

Berdasarkan kajian Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), penunggang dan pembonceng motosikal adalah golongan paling tinggi maut dalam kemalangan iaitu 17 kali ganda risiko kematian berbanding kereta kerana ia tidak mempunyai ciri keselamatan dan sikap buruk pembonceng sendiri.

Cadangan kerajaan menyediakan laluan khas khusus kepada golongan itu di kawasan tertentu serta kempen memakai dan mengikat topi keledar dengan betul adalah antara langkah keselamatan dilakukan bagi mengurangkan risiko kemalangan.

Namun, sekiranya pembonceng dan penunggang motosikal yang kebanyakan berusia antara 18 hingga 25 tahun masih ego dengan darah muda mereka dan mahu menjadi raja di jalan raya serta mengabaikan peraturan lalu lintas sedangkan tahap keselamatan motosikal terlalu rendah, natijahnya, mereka tetap berada pada takuk lama.

Kajian semula dan rombakan ke atas kurikulum pendidikan keselamatan jalan raya perlu untuk membentuk pemandu kompeten kelas pertama.

Sudah sampai masanya, ujian undang-undang keselamatan jalan raya itu yang dipraktikkan sejak bertahun-tahun lamanya diubah dengan merangkumi semua aspek khususnya dari segi kemahiran dan pengetahuan mengenai pemanduan.

Berdasarkan jumlah kemalangan jalan raya, kita sudah dapat menjangka bagaimana tahap pemandu di negara ini. Ternyata masih teruk dalam pelbagai aspek.

Sudah pasti, semua agensi penguatkuasa tidak mempunyai kekuatan serta anggota yang mencukupi bagi menjalankan operasi bersepadu sepanjang masa untuk memantau pergerakan kenderaan di seluruh negara.

Oleh itu, sebagai pengguna jalan raya mereka seharusnya bekerjasama mengurangkan beban penguatkuasa itu dengan mengubah minda menjadi pemandu berhemah yang mematuhi peraturan lalu lintas.

Kesalahan biasa yang kerap dilakukan pemandu seperti menggunakan telefon bimbit tanpa alat bebas tangan, memotong garisan berkembar, melanggar lampu isyarat merah dan memandu secara melulu serta berbahaya patut dikikis.

Jalan raya bebas digunakan semua pengguna, namun sikap mereka tidak mahu berubah pasti gagal membawa sebarang perubahan.

No comments:

Post a Comment