Tuesday, 23 October 2018

SEDERHANA DALAM SOAL MAKAN


Makanan dan minuman merupakan sebahagian daripada nikmat yang disediakan oleh Allah kepada manusia. Justeru, mereka yang berpeluang merasai kenikmatan dan kelazatannya harus rasa bersyukur. 

Didapati soal rezeki dapat menikmati makanan dan minuman sering dilupakan oleh sesetengah orang kerana ia terlalu biasa dirasai. Kita hanya akan merasai betapa pancaindera lidah yang membolehkan kita menikmati makanan merupakan satu nikmat yang besar apabila peluang itu tiada lagi. 

Banyak cara Allah menarik semula nikmat makan yang diberikan. Ia sama ada satu ujian atau balasan yang Allah berikan. 

Firman Allah bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami hendak menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan kepupusan buah-buahan, dan berikanlah berita gembira kepada mereka yang sabar.” - (Surah al-Baqarah, ayat 155).

Kehidupan dalam dunia yang semakin ‘maju’ dengan pelbagai jenis penyakit telah ‘menghalang’ ramai orang daripada memakan jenis-jenis makanan dan minuman tertentu. 

Bagi mereka mengidap penyakit kencing manis, darah tinggi, alahan dan buah pinggang terpaksa berpantang daripada memakan makanan dan minuman berlemak, manis, berkanji dan mengandungi bahan perisa.

Manakala, ramai tidak berpeluang menikmati makanan dan minuman yang diingini kerana kemiskinan. Apa diingini tidak dapat ditunaikan.  

Makanan dan minuman juga merupakan sebahagian daripada rezeki. Ia diperolehi secara terus dalam bentuk makanan dan minuman atau rezeki dalam bentuk wang dan kemudian baru digunakan untuk membeli makanan dan minuman. 

Sesungguhnya, setiap individu menerima rezeki yang berbeza-beza banyaknya..  Firman Allah bermaksud: “Dan Allah telah melebihkan sebahagian kamu daripada sebahagian yang lain dalam hal rezeki.” - (Surah an-Nahl, ayat 71).

Justeru, sesiapa dilebihkan rezeki dan berpeluang menikmati apa yang dingini, seharuslah sentiasa mengucapkan syukur kepada Allah. Sesiapa bersyukur, maka Allah akan menambahkan rezeki dan kenikmatan hidup kepadanya.

Biarpun peluang menikmati makanan dan minuman terbuka luas, tidak pula bermakna semuanya boleh dimakan dan diambil dengan sewenang-wenangnya.  Allah mengingatkan agar hanya memakan daripada benda-benda halal lagi baik.

Allah mengingatkan perkara ini melalui firman-Nya yang bermaksud: “Oleh itu makanlah (wahai orang-orang yang beriman) semua yang telah dikurniakan Allah kepada kamu daripada benda-benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata.” – (Surah al-Baqarah, ayat 172). 

Dalam ayat lain firman-Nya bermaksud: “Allah menghalalkan mereka segala benda yang baik dan mengharamkan mereka segala benda yang kotor.”- (Surah al-Araf, ayat 157).

Ini bermakna terdapat jenis makanan yang dikategorikan haram dimakan oleh orang muslim. Makanan dan minuman yang halal lagi baik sama ada jenisnya atau cara ia diperolehi. 

No comments:

Post a Comment