Semua
orang ingin berjaya dalam hidup. Memperoleh sumber rezeki yang banyak.
Mempunyai keluarga yang bahagia. Hidup yang tenang dan selamat.
Jika
itu matlamatnya bukan sekadar satu ilusi. Usaha perlu ditingkatkan dan kayakan
kehidupan. Semuanya perlu ditentukan diri kita sendiri. Kejayaan diri sendiri
terlalu penting untuk dibiarkan orang lain menentukannya. Dalam hal ini jangan
sekali-kali jadi seperti pahat dengan penukul.
Memang
kita memerlukan pertolongan orang lain untuk berjaya. Hakikatnya, biarlah
pertolongan itu hanya dalam bentuk sokongan, pemangkin dan material yang
berkaitan. Benih kejayaan berada dalam diri sendiri. Kita sendiri yang perlu
menanam, membajai dan menyiramnya.
Inilah
proses memperkayakan kehidupan yang perlu dilakukan secara berterusan. Jangan
mudah rasa selesa dengan keadaan yang dilalui sekarang. Amalkan selalu berfikir
dengan matang. Jangan amalkan sikap menyia-iyakan, melalaikan dan bersikap
sembrono meskipun hanya sedetik atau dalam hal-hal kecil.
Orang
yang kaya kehidupannya tidak memandang mudah biarpun perkara kecil. Mereka
dapat melihat dan menghayati hal-hal kecil dengan pengamatan luar biasa, hingga
setiap masa dapat menjiwai setiap detik kehidupan.
Letakkan
diri kita sebagai orang berjaya. Hakikatnya, dalam kehidupan ada individu akan
berjaya, dan jadikan diri kita yang berjaya itu. Sekiranya kita memikirkan
tentang kejayaan, maka usaha menghampirkan diri kepada kejayaan akan dilakukan.
Ingatlah, bagaimana seseorang itu berfikir dalam hatinya, begitulah dia.
Banyak
individu bukan sahaja tidak melakukan sesuatu untuk berjaya, bahkan takut untuk
berkata dia ingin berjaya. Inilah bukti diri kita masih dikuasai kemiskinan
jiwa. Orang yang miskin jiwanya, maka hidupnya juga akan miskin.
Setiap
individu berjaya tidak merasa apa-apa yang perlu ditakuti, melainkan kekuasaan
Tuhan. Perkara yang hanya perlu kita takuti ialah ketakutan itu sendiri. Adalah
tidak selamat jika kita melihat masa depan dengan mata ketakutan. Jika kita tidak
takut pada ketakutan, maka jadilah kita orang yang benar-benar berani
menghadapi cabaran hidup.
Sebenarnya
tidak ada sesiapapun yang ingin gagal dalam kehidupannya. Oleh itu kita perlu
bangkit memperkayakan kehidupan sebelum kemiskinan kehidupan menguasi diri.
Sekali kita jatuh miskin, terlalu sukar untuk bangkit kembali. Adalah lebih
baik kaya sebelum miskin, daripada kaya lepas miskin. Kerana untuk jadi kaya
tidak perlu miskin dahulu.
Individu
yang berjaya dalam hidup, sebenarnya lebih dahulu berjaya melihat kebolehan
dalam dirinya. Individu yang berjaya melihat diri mereka dari titik yang tinggi
dalam hidup mereka. Untuk melihat dari titik yang tinggi dalam hidup kita tidak
memerlukan bayaran, melainkan jiwa kitalah yang meletakkannya.
Individu
yang berjaya menghayati hidupnya, menjadi kayalah jiwanya. Dia cenderung
menggunakan segala keistimewaan yang dianugerahkan Tuhan. Sifat bersyukur dan
menggunakan sepenuhnya keistimewaan yang dimiliki akan menambahkan kejayaan
yang akan diraih seterusnya.
Kita
berjaya atau gagal adalah melalui gambaran yang anda tonjolkan dalam fikiran
anda. Cuba renungkan dalam diri, pernahkah kita menyatakan rasa suka pada diri
sendiri, bersyukur nikmat yang dinikmati, bersedia untuk mencuba, bersedia
untuk terus mencuba, hari ini saya hebat, saya mempunyai kelebihan dalam
sesuatu dan ciri-ciri positif lain.
Sebenarnya
tidak ada orang dilahirkan untuk gagal, melainkan diri individu itu sendirilah
yang menggagalkan hidupnya. Dengan kata lain, setiap orang berhak untuk
menikmati kejayaan. Jangan lepaskan peluang yang dianugerahkan Tuhan.
Sekiranya
kita merasakan ada sesuatu kekurangan pada diri sendiri berbanding diri orang
lain yang dijadikan alasan kita mungkin gagal, fikirkan ada individu lain yang
lebih kurang berbanding kita, tetapi mengapa dia boleh berjaya.
Jangan
fikirkan nasib kita tidak memiliki kasut, kerana sebenarnya ada orang lain
lebih malang daripada kita, tidak berkaki. Relakah kita ditinggalkan jauh di
belakang oleh orang tidak berkaki, semata-mata kerana kita tidak mempunyai
kasut untuk berjalan selesa.
Sesungguhnya
belum terlewat bagi sesiapa jua berusaha memperkayakan kehidupannya. Mulakan
sekarang mengikut keupayaan diri masing-masing. Lihatlah dalam diri sendiri,
jangan bandingkan kita dengan orang lain, melainkan kita mengatakan kitalah lebih hebat.
No comments:
Post a Comment