Amat penting
melakukan sesuatu dengan niat yang ikhlas. Jauhkan diri daripada terjebak
dengan niat melakukan sesuatu disebabkan rasa sombong, riak dan hendak
berbangga. Perbuatan hanya akan merosakakan kebaikan yang sepatutnya diperoleh
daripada perbuatan itu.
Mengapakan kita
merosakkan amalan baik dengan hanya satu niat atau yang ditegah? Betapa ruginya
sesiapa yang melakukan kebaikan tetapi tersimpan di dalam hatinya perasaan
buruk. Dia bukan sahaja tidak mendapat balasan kebaikan, bahkan perbuatannya
itu mengundang dosa disebabkan niat yang dipesongkan itu.
Sesiapa tersimpan
perasaan riak kerana melakukan sesuatu bermakna seperti dia merasakan apa yang
dilakukan itu adalah kebolehannya semata-mata. Dia lupa bahawa kemampuan itu
adalah kurniaan Allah.
Pernah Rasulullah
menganggap perbuatan riak sebagai sebahagian daripada syirik yang tersembunyi
kepada Allah. Ini berdasarkan sesiapa yang riak, secara automatik dia akan lupa
kepada Tuhannya. Serentak dengan itu, setelah perasaan riak menguasai diri, dia
pasti berani menentang hukum-hukum Allah.
Inilah yang
berlaku terhadap Qarun. Sebenarnya Qarun adalah pengikut setia Nabi
Musa dan antara orang yang paling beriman. Namun, setelah dia mendapat kekayaan
dan timbul perasaan riak, sombong dan lupa diri, Qarun mula ingkar kepada
perintah Allah. Dia merasakan kekayaan yang diperoleh adalah hasil kebolehan
dan kepandaian dirinya sendiri.
Justeru,
hindarkan diri pada menyimpan niat melakukan sesuatu dengan perasaan riak.
Sedarlah dia kita tidak mempunyai apa-apa kekuatan, melainkan apa yang
dipinjamkan sebentar oleh Allah.
Selain itu apa
yang diniatkan hendaklah untuk tujuan kebaikan. Islam menegah sebarang
perbuatan mendatangkan keburukan. Perbuatan buruk yang diniatkan baik tetap
tidak akan diterima sebagai baik.
Ini berlainan
jika melakukan perbuatan buruk disebabkan terpaksa atau darurat. Hendaklah apa
yang dilakukan itu diniat untuk kebaikan. Perbuatan itu dilakukan bukan
kerelaaan atau sekadar suka-suka. Perbuatan buruk itu dilakukan pada tahap
paling minimun.
Jika benar
diniatkan untuk tujuan kebaikan, lakukan dengan bersungguh-sungguh. Setiap apa
yang dilakukan pada hari ini diharapkan lebih baik daripada hari sebelumnya.
Manakala hari esoknya akan lebih baik dari hari ini. Lakukan tugasan seperti
itulah peluang terakhir dapat melakukannya.
Sungguhnya Allah
mencintai sesiapa yang melakukan sesuatu pekerjaan dengan bersungguh-sungguh.
Kejayaan dan kesempurnaan bergantung kepada kesungguhan dan mengikut aturannya.
Niat yang ikhlas
bukan boleh dipaksa-paksa. Keikhlasan turut diikuti dengan rasa bertanggungjawab
atas setiap apa yang dilakukan. Keikhlasan tidak lahir jika tiada perasaan
tanggungjawab terhadap sesuatu perkara yang dilakukan.
Hasil kerja yang
diniatkan hendaklah untuk dikongsikan dengan orang lain. Hidup manusia menuju
kehancuran jika tidak mahu berkongsi kebaikan dengan orang lain. Sikap bongkak
dan merasakan apa yang diperoleh itu hasil usahanya sendiri akan menukar
keikhlasan kepada berpura-pura.
Muslim sejati
sentiasa menyimpan hasrat untuk menghulurkan sumbangan yang besar kepada
kejayaan ummah. Apa yang dilakukan semata-mata ikhlas, bukan mencari nama,
pengiktirafan atau kepentingan peribadi.
Orang yang niat
ikhlas melakukan kebaikan menetapkan setiap gerak geri dan tutur kata sebagai
satu sedekah. Apa yang dilakukan atau diperkatakan tidak sia-sia. Segala-gala
yang dilakukan adalah yang terbaik dan diharapkan diterima seperti mana
ibadat-ibadat dilakukan oleh para nabi.
No comments:
Post a Comment