Ada
satu doa yang dibacakan oleh Rasulullah SAW seperti mana maksud hadis: "Ya
Allah! Hidupkanlah aku dalam keadaan miskin, dan matikanlah aku dalam
keadaan miskin, dan kumpulkanlah aku (pada hari kiamat) di dalam rombongan
orang-orang miskin”. (Hadis riwayat Ibnu Majah - nombor 4126)
Al-Albani
mengatakan bahawa hadis ini darjatnya hasan (Lihat perbahasannya di dalam kitab
beliau: Irwaul Ghalil No. 861 dan Silsilah Shahihah No. 308)
Apakah
maksud sebenar 'miskin' dalam doa tersebut? Adakah maksud 'miskin' itu “orang-orang
yang tidak cukup di dalam hidupnya atau orang-orang yang kekurangan harta”?.
Maksud
sebenar 'miskin' dalam doa Nabi itu
ialah “orang yang khusyuk dan tunduk merendah diri kepada Allah SWT.
Sebagaimana
hal ini telah diterangkan oleh:
-
Imam Ibnul Atsir di kitabnya An-Nihaayah fi Gharibil Hadits (2/385) mengatakan:
“(dengan miskin tersebut) ialah tawaduk dan khusyuk dan supaya tidak menjadi
orang-orang yang sombong dan takabur”.
-
Di kitab Qamus Lisanul Arab (2/176) oleh Ibnu Mandzur diterangkan asal
erti miskin di dalam lughah/bahasa ialah 'Al-Khaadi’ (orang yang
tunduk), dan asal erti 'faqir' ialah "orang yang memerlukan". Maka maksud
'miskin' doa itu ialah tawaduk dan khusyuk.
-
Imam Baihaqi mengatakan: “Menurutku bahawa Nabi tidaklah meminta keadaan
miskin yang maknanya kekurangan tetapi beliau meminta miskin yang maknanya
tunduk dan merendahkan diri. (Lihat kitab: Sunatul Kubra
al-Baihaqi 7/12-13 dan Taklhisul-Habir 3/109 No. 1415 oleh Al-Hafidz Ibnu
Hajar).
-
Demikian juga maknanya telah diterangkan oleh Imam Ghazali dalam kitabnya yang
mashur Al-Ihya’ 4/193. (baca juga syarah Ihya’ 9/272 oleh Imam Az-Zubaidy)
-
Ibnu Taimiyah mengatakan: “Hidupkanlah aku dalam keadaan khusyuk dan tawaduk’“.
(Majmu’ Fatawa Ibnu Taimiyah 18/382 bahagian kitab hadits). Beliau juga
mengatakan (hal.326) : “…. bukanlah yang dikehendaki dengan miskin (di dalam
hadis ini) tidak mempunyai harta".
Setelah
kita mengetahui keterangan ulama-ulama kita tentang maksud miskin dalam doa
Nabi di atas, baik secara lughah/bahasa mahupun maknanya, maka hadis
tersebut ertinya menjadi:
“Ya
Allah, hidupkanlah aku dalam keadaan khusyuk dan tawaduk, dan matikanlah aku
dalam keadaan khusyuk dan tawaduk, dan kumpulkanlah aku (pada hari kiamat)
dalam rombongan orang-orang yang khusyuk dan tawaduk”.
No comments:
Post a Comment