Tuesday 23 October 2018

ADAB MINUM AIR

Islam menetapkan adab bagi umatnya ketika melakukan sesuatu perkara. Adab itu penting bagi tujuan kebaikan dan lambang syiar Islam yang syumul. 

Termasuk dalam adab yang perlu dilakukan oleh orang Islam ialah berkaitan ketika minum. Perkara ini tidak boleh dipandang mudah kerana banyak mendatangkan kebaikan jika mengamalkannya dan timbul keburukan sekiranya mengabaikannya.

Umat Islam ditegah meminum secara terus dari bekas yang besar seperti cerek atau teko. Air itu perlu dimasukkan dahulu kedalam bekas kecil seperti cawan atau gelas. 

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bermaksud: "Rasulullah telah melarang meminum daripada mulut tempat air minum (seperti botol, cerek dan sebagainya)."

Larangan itu bertujuan mengelak penyebaran penyakit kerana berkongsi bekas yang sama. Sisa lebihan yang diminum itu akan diminum pula oleh orang lain. 

Larangan minum terus dari bekas besar juga untuk mengelak dilihat mengamalkan sikap gelojoh dan tamak. Perbuatan sedemikian melanggar kesoponan atau melanggar adat.

Sebelum minum disunatkan membaca Bismillah dan mengucapkan Alhamdulillah selepas selesai. Amalan itu mengingatkan kita rezeki yang dikurniakan Allah dan merapatkan kita dengan Maha Pencipta. 

Manakala cara meminumnya dilakukan secara perlahan-lahan atau diteguk sedikit-sedikit. Cara ini dapat mengelak tersedak atau terminum sesuatu yang tidak sepatutnya diminum seperti air panas dan rasa yang tidak enak.   

Satu lagi adab yang perlu diamalkan ialah mengelak meniup ke dalam air yang akan diminum sama ada air itu panas atau sebagainya. Ini bertujuan mengelak daripada bakteria yang berada dalam hembusan keluar dari mulut itu masuk dalam minuman. 

Tegahan meniup air panas juga untuk mengajar sikap sabar, iaitu menunggu sehingga air sejuk baru diminum. 

Islam juga menegah umatnya minum atau makan sambil berdiri. Tegahan ini sepertimana dijelaskan oleh satu hadis yang bermaksud: "Jangan sekali-kali seeorang daripada kamu membiasakan minum berdiri.  Sesiapa yang terlupa hendaklah dia memuntahkan kembali minuman itu," (Hadis riwayat Muslim).

Islam juga mengajar adab agar umatnya minum atau makan tidak terlalu kenyang kerana banyak penyakit yang akan datang apabila perut terlalu kenyang atau terlalu penuh. Perlu ada ruang kosong dalam perut bagi memudahkan proses pernafasan.

Sebagai seorang yang mengaku Muslim dan mengharapkan keredaan Allah, maka kita perlu mengikut adab-adab yang diajarkan oleh Rasulullah.

No comments:

Post a Comment