Sesungguhnya mengembara boleh
dijadikan sebagai cara pengukuhan iman dan takwa yang mana banyak pengajaran
berkaitan perkara baik dan buruk yang dapat dilalui atau diperhatian semasa
melancong.
Jelas sekali tujuan mengembara yang
dianjurkan Islam ialah supaya digerakkan mata hati untuk menilai, memahami dan
mengambil pengajaran sepanjang pengembaraan. Minda pengembara hendaklah dibuka
dan berdoa agar Allah memberi hidayah dan kebaikan daripada aktiviti melancong
itu.
Walaupun melancong lebih bersifat
santai, tetapi tidaklah sampai tidak memikirkan apa-apa. Dalam bersantai, minda
masih perlu digerakkan secara positif supaya mendapat kebaikan ketika
melancong.
Sesiapa tidak dapat merasai sebarang
minat terhadap sesuatu pemandangan atau keadaan sehingga terbuka minda dan
merasai kehebatan ciptaan Allah, itulah tanda hatinya telah mati dan minda
menjadi tertutup.
Mengembara bukan sekadar ingin
berhibur. Sesiapa mengembara hanya semata-mata mencari keriangan, tidak akan
mendapat manfaat di sebalik suruhan agama. Bahkan, keriangan yang diiringi
dengan perbuatan maksiat menjadikan aktiviti mengembara sedemikian haram dan
amat dimurkai Allah.
Ketika mengembara hendaklah menjaga
nilai-nilai murni sebagai orang Islam. Elakkan diri daripada terjebak dengan
aktiviti tidak baik di tempat orang. Aktiviti pengembaraan yang melibatkan
perbuatan haram ditegah sama sekali. Kecelakaan dan kemusnahan menimpa diri
mereka yang ingkar perintah Allah.
Ketika melancong, sudah tentu apa
yang dilihat dan dialami tidak sama seperti di tempat kita. Allah Maha berkuasa
menjadikan seluruh dunia itu tidak sama dari segi bentuk muka bumi, iklim,
tumbuh-tumbuhan, hidupan dan kehidupan masyarakatnya.
Allah menyuruh agar kita melihat
setiap ciptaan-Nya. Seluruh ciptaan Allah amat sempurna dan cantik yang
menyenangkan fikiran dan perasaan jika dilihat dari sudut keimanan. Orang
beriman semakin bertambah imannya setiap kali melihat kejadian alam yang
memperlihatkan kelainan.
Firman Allah bermaksud: “Kau tidak
melihat sekali-kali pada ciptaan Tuhan yang Maha Pemurah, sesuatu yang tidak
seimbang. Maka lihatlah berulang-ulang, adakah kamu lihat sesuatu yang tidak
seimbang? - (Surah al-Mulk, ayat 3)
Pengembara seharusnya menggunakan
kesempatan untuk mencari sesuatu yang baik sebagai tujuan agar dapat dilakukan
atau ditiru di tempat sendiri. Islam menggalakkan agar mendapat sesuatu
pengetahuan dan pengalaman di tempat lain yang kemudiannya dapat dimanfaatkan
di tempat sendiri.
Falsafah ini dapat difahami dari
maksud hadis Rasulullah yang menyuruh manusia menuntut ilmu walau di mana saja.
Semakin jauh kita mengembara, semakin banyak ilmu dan pengalaman dapat dikutip.
Seperti kata pepatah, jauh perjalanan luas pengetahuan.
Sebelum berhijrah ke Madinah, Nabi
Muhammad pernah menyuruh para sahabat mengembara dan meninjau keadaan di
Habsyah dan beberapa tempat lain untuk mencari peluang untuk Islam bertapak dan
berkembang di situ.
Mengembara juga harus digunakan
untuk meluaskan peluang perniagaan. Nabi Muhammad pernah mengembara berniaga
dari satu tempat ke satu tempat. Apa yang dilakukan Rasulullah membuktikan
bahawa untuk berjaya dalam perniagaan perlulah memperluaskan kawasan pasaran
keseluruh dunia.
Sejarah mencatatkan antara punca
kejayaan pedagang Arab berjaya dalam bidang perniagaan ialah sikap suka
mengembara memasarkan barang dagangan mereka.
Pedagang Arab berniaga sehingga
ke seluruh Nusantara dan Benua China. Melalui perdagangan jugalah agama Islam
disebarkan.
Semasa melancong juga memberi
kesempatan untuk kita melihat kehidupan masyarakat yang berlaku di tempat orang yang masih dalam
kemunduran. Bahkan, di sesetengah tempat sering berlaku perbalahan sesama
sendiri. Masalah jenayah berlaku dengan berleluasa.
Apa yang dilihat itu dapat memberi
pengajaran untuk melihat dalam diri sendiri.
Kita akan merasa bersyukur dapat hidup di negara kita yang aman damai
ini berbanding apa yang berlaku di negara lain. Perkara ini dijelaskan oleh
Allah mengenai nasib golongan yang membelakangkan perintah-Nya.
Firman Allah bermaksud: “Pergilah
berjalan (mengembara) di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana akibat orang
yang mendustakan Allah.” - (Surah al-Anam, ayat 11).
Manakala firman Allah
dalam surah an-Naml ayat 69 bermaksud: “Katakanlah: Jelajahilah muka bumi ini
dan lihatlah bagaimana akibat (yang menimpa) orang-orang yang berdosa.”
Kita perlu insaf mempelajari setiap
apa yang dapat dipelajari sepanjang pengembaraan. Allah memberi peringatan
tentang setiap apa yang menimpa manusia adalah hasil kelalaian manusia mematuhi
apa yang ditetapkan ajaran agama.
Dengan kata lain, melancong adalah
sebahagian daripada proses pembelajaran. Sebab itu kita sering mendengar pakej
pelancongan sambil belajar atau sekarang ini ada yang menyebut belajar sambil
melancong. Ini membuktikan tujuan mencari ilmu atau belajar lebih diutamakan
dalam pakej melancong itu.
No comments:
Post a Comment