Wednesday, 19 September 2018

Aktiviti pelancongan domestik

Kerajaan sekarang giat memberi penekanan kepada aktiviti pelancongan domestik. Sebelum ini, apabila disebut melancong maka tergambar tentang bercuti atau melawat ke luar negara. 

Hakikatnya, melawat di dalam negara juga sebahagian daripada aktiviti pelancongan yang menarik. Kerajaan memperkenalkan Cuti-cuti Malaysia bagi menggalak rakyat melancong dalam negara. 

Pelancongan domestik bermakna rakyat melancong di dalam negara sendiri, tidak kira berapa jarak destinasi dituju dengan tempat tinggal dan apa aktiviti yang dilakukan. Berkunjung ke tempat-tempat menarik, melawat saudara mara dan melakukan pelbagai aktiviti yang menarik di dalam negara adalah termasuk pelancongan domestik.

Melancong di dalam negara melibatkan kos kecil jika dibandingkan dengan kos melancong di luar negara. Semua lapisan masyarakat mampu melancong dalam negara. Dengan hanya beberapa ratus dan tempoh masa yang singkat rakyat boleh melancong di dalam negara. 

Sistem berkerja lima hari seminggu memberi peluang cuti dua hari seminggu membuka peluang lebih luas untuk melancong dalam negara. Selain itu musim cuti sekolah dan musim perayaan adalah masa terbaik untuk bercuti seisi keluarga. 

Usaha memajukan pelancongan domestik adalah langkah beriringan bagi majukan pelancongan negara secara keseluruhannya. Pembangunan sesuatu produk pelancongan memerlukan sokongan pelancong domestik untuk lebih bersifat komersal. 

Jika mengharapkan kedatangan pelancongan luar negara semata-mata, banyak yang berkaitan dengan industri pelancongan tidak dapat mencapai keuntungan.

Penyertaan rakyat tempatan dalam aktiviti pelancongan memaksimunkan utilitarian setiap produk, perkhidmatan dan ikon yang disediakan. Keadaan ini secara langsung dapat menyemarakkan perkembangan industri pelancongan.  

Sebelum ini, pengusaha pelancongan hanya mengharapkan kehadiran pelancong asing yang agak terhad dan lebih mengikut musim tertentu, terutama penduduk dari negara yang mempunyai empat musim. Penduduk di negara itu lebih gemar melancong ketika negara mereka mengalami musim sejuk.

Fenomena kedatangan pelancong secara bermusim ini menyebabkan ada kalanya pengusaha rumah rehat tidak menerima kunjungan pelancong asing sehingga tempoh beberapa bulan. Kos operasi tetap ditanggung oleh pengendali biarpun tanpa pengunjung.  

Keadaan itu tentulah menyukarkan pengusaha berkenaan meneruskan perniagaan dan terpaksa mengambil keputusan menutup operasi. Tindakan itu tentulah menggagalkan usaha  memajukan industri pelancongan. 

Pelancongan domestik telah lama dikembangkan di negara maju. Kira-kira 70 peratus aktiviti pelancongan di negara maju melibatkan pelancong domestik. Industri pelancongan di negara maju berkembang dengan pesat kerana sokongan pelancong domestik.

Sudah ramai rakyat kita mula menjadikan amalan melawat sesuatu tempat pada musim cuti sekolah dan cuti panjang. Namun aktivitinya agak terhad dan dalam skop lawatan biasa sahaja. Sebab itu ia tidak melahirkan satu suasana yang menyeronokkan.

Sebab itu dinasihatkan agar mengikuti program yang disusun dengan teratur oleh pihak kerajaan maupun swasta. Suasana melancong akan menjadi lebih menarik dan bermakna. Pengalaman tersebut akan mendorong mengikuti program-program lain pada masa lain. 

Apabila sesuatu program diatur dengan teliti maka tujuannya mudah tercapai. Ini dapat membantu mewujudkan satu usaha yang berterusan, bersistematik dan berkualiti. Dengan itu aktiviti pelancongan dalam negara dapat berkembang sehingga ke tahap yang lebih baik berbanding sekarang.

Memajukan industri pelancongan bukan sekadar bergantung kepada tempat menarik, tetapi juga apa yang boleh dimanfaatkan daripada sumber sedia ada. Contohnya, keindahan alam semula jadi dengan flora dan fauna tidak memberi apa-apa keuntungan jika tidak dieksplotasi melalui aktiviti traking, mendaki, perkhemahan dan sebagainya.

Program seumpama ini kini giat dilakukan oleh pihak kerajaan melalui sokongan pihak swasta. Promosi setiap aktiviti dilakukan dengan lebih sistematik melalui iklan di akhbar, media elektronik, kempen dan sebagainya. Maklumat juga boleh diperoleh melalui agen pelancongan.

Dengan pembangunan industri pelancongan tempatan diharapkan juga dapat mengurangkan bilangan rakyat kita daripada melancong ke luar negara.  Rakyat perlu disedarkan dan diyakinkan betapa perlunya melancong di dalam negara sebelum ke luar negara. 

Kenalilah negara sendiri sebelum mengenali negara lain. Masih banyak rakyat kita tidak mengenali sepenuhnya tempat-tempat menarik di negara sendiri. Mereka lebih mengenali negara luar kerana sering berkunjung bersama. Sikap ini menunjukkan tidak ada semangat petriotik terhadap negara. 

Negara kita tidak kurang hebatnya berbanding di luar negara. Bahkan dalam banyak segi negara kita lebih menarik. Beberapa pulau di negara kita diiktiraf sebagai  antara tercantik di dunia. Kemudahan sokongan untuk industri pelancongan di negara kita juga bertaraf dunia. 

Melancong di dalam negara dapat melahirkan rasa cinta negara dan bangga dengan negara sendiri. Rakyat dapat menikmati segala kemudahan hasil kemajuan negara. Kita berbangga dapat melihat sendiri segala kejayaan dicapai negara.  

Selain itu, melancong dalam negara dapat mewujudkan hubungan lebih rapat penduduk dari satu negeri dengan negeri lain. Integrasi rakyat dapat ditingkatkan dan secara langsung dapat membantu menghapuskan jurang perasaan curiga dan tidak puas hati di kalangan rakyat dari tempat berbeza.

No comments:

Post a Comment