Sempena menyambut Hari Kemerdekaan
pada 31 Ogos 1957, banyak tempat berkumpul di seluruh negara dikenali sebagai
Padang Merdeka. Salah satu tempat dinamai sempena sambutan kemerdekaan negara
ialah Padang Merdeka di Kota Bharu.
Padang Merdeka Kota Bharu terletak
berhampiran Sungai Kelantan di tebing sebelah timur. Di sebelah timur Padang
Merdeka terletak Masjid Muhammadi dan Pejabat Kastam. Manakala di hujung Padang
Merdeka sebelah timur terletak pula Pintu Gerbang atau Kota Ismail Petra, terus
menuju ke pintu utama Istana Balai Besar.
Kawasan itu terletak dalam
lingkungan Kota Budaya yang turut merangkumi beberapa bangunan bersejarah
seperti Istana Balai Besar, Istana Jahar, Istana Batu, Bank Kerapu (kini
Momorial Perang Dunia Kedua), Pejabat Kastam dan bekas pejabat Majlis Agama
Islam Kelantan.
Sebelum dikenali dengan nama Padang
Merdeka, ia dipanggil Padang Kelupang. Mengikut catatan sejarah, kawasan lapang
itu mula digunakan pada 1814 ketika pemerintahan Sultan Muhammad ke II (Long
Senik Mulut Merah).
Padang Kelupang ketika itu tidak
terhad kepada kawasan Padang Merdeka sekarang saja. Ia termasuk juga kawasan di
hadapan Istana Belai Besar yang sekarang ini menjadi tempat letak kenderaan.
Padang Kelupang menjadi tumpuan untuk
mengadakan pelbagai aktiviti seperti perhimpunan rakyat, sukan, tempat laga
lembu dan sebagainya. Ia turut dijadikan tempat acara rasmi seperti tapak pesta
menyambut ulang tahun keputeraan Sultan, perbarisan pasukan polis dan tentera.
Ini sesuai dengan kedudukannya di
tengah-tengah pusat pentadbiran kerajaan Kelantan ketika itu.
Kawasan itu juga pernah dijadikan
tapak pasar bagi menggantikan ‘Pasar Terapung’ yang terhakis akibat
banjir.
Pada tahun 1906, nama Padang
Kelupang telah ditukar menjadi Padang Bank. Dalam catatan lain, nama Padang
Bank dikatakan bermula tahun 1915.
Pertukaran nama itu sempena kerajaan
Kelantan di bawah pemerintahan Sultan Muhammad ke IV telah mengeluarkan ‘Wang
Pitis’ yang mana kilang membuatnya terletak berhampiran Istana Balai Besar.
Kerajaan Kelantan sebenarnya telah
mempunyai beberapa jenis mata wang sebelum diperkenalkan Wang Pitis. Motif
Pohon Pitis dari Kelantan telah digunakan sebagai logo Bank Simpanan Nasional.
Kesemua keluaran wang siling
tempatan Kelantan telah dihentikan dalam tahun 1909 apabila Kelantan diserahkan
oleh Kerajaan Siam kepada Kerajaan British dan diletakkan di bawah pentadbiran
Negeri-negeri Selat.
Untuk menyimpan Wang Pitis, kerajaan
Kelantan telah membina sebuah bangunan dipanggil Bank Pitis yang terletak di
tepi Padang Kelupang, berhampiran dengan Istana Balai Besar.
Kewujudan Bank Pitis itu di
berhampiran Padang Kelupang menyebabkan namanya ditukar atau dipanggil Padang
Bank.
Nama Padang Bank lebih dikenali
apabila sebuah bank terkenal beroperasi bersebelah padang itu. Bank itu adalah
bank komersial pertama beroperasi di Kelantan. Atas dua sebab itu nama Padang
Bank terus dikenali sehingga awal 80-an.
Nama Padang Bank mula kurang disebut
apabila bank komersial itu bertukar tempat operasinya. Sedangkan nama Padang
Merdeka mula disebut apabila sebuah sekolah swasta menggunakan nama Padang
Merdeka beroperasi berhampiran kawasan itu. Tambahan pula dalam urusan rasmi
nama Padang Merdeka lebih kerap digunakan.
Di Padang Bank banyak berlaku
peristiwa bersejarah terutama yang masih disebut turun temurun ialah tempat di
mana Tok Janggut yang dibunuh oleh Inggeris telah digantung mayatnya dengan keadaan
kepalanya ke bawah pada tahun 1915.
Walaupun nama rasmi Padang Bank
telah ditukar menjadi Padang Merdeka, namun di kalangan golongan tua lebih
mengenalinya sebagai Padang Bank. Malah di kalangan golongan tua jika disebut
nama Padang Merdeka banyak yang tidak mengetahuinya, melainkan jika disebut
nama Padang Bank.
Di Padang Merdeka terdapat sebuah
tugu yang dibina sempena pembentukan negara Malaysia pada 16 September 1963. Di
tugu itu diadakan acara sambutan Hari Pahlawan setiap tahun.
Padang Merdeka juga adalah lokasi
tetap untuk upacara perbarisan sempena sambutan Keputeraan Sultan Kelantan yang
diadakan setiap tahun. Terdapat sebuah bangunan yang dijadikan pentas Sultan
dan Raja Perempuan, serta kerabat diraja dan tetamu VVIP menonton perbarisan.
No comments:
Post a Comment