Tuesday 23 October 2018

IKLAN PUNCA MAKANAN SEGERA DIGEMARI

Pengaruh iklan memang kuat menarik minat pembeli kepada sesuatu barangan atau perkhidmatan. Iklan dapat memberi tahu atau menyebarkan maklumat mengenai kewujudan, kelebihan, keistimewaan, harga dan sebagainya mengenai sesuatu barang. Maklumat itu penting menarik minat pengguna membeli atau menggunakan perkhidmatan yang diiklankan.

Sebab itu, peniaga sanggup memperuntukkan sejumlah besar perbelanjaan semata-mata untuk tujuan pengiklanan. Ini terutamanya bagi barangan yang baru di pasaran dan mempunyai banyak persaingan. Biarpun perbelanjaan iklan tinggi, ia juga menjanjikan keuntungan yang lebih tinggi kepada peniaga.

Kepentingan iklan untuk menarik pelanggan digunakan sepenuhnya oleh pengusaha makanan segera. Boleh dikatakan, antara iklan yang paling kerap ditayangkan di televisyen di negara kita ialah makanan segera. Stesen televisyen mendapat keuntungan besar hasil pendapatan pengiklanan makanan segera.

Syarikat makanan segera sentiasa memperkenalkan menu baru untuk menarik minat orang ramai. Justeru itu, ia memerlukan iklan untuk memberi tahu tentang menu baru itu. Iklan perlu disiar berulang-ulang untuk ‘mengubah’ minda orang ramai tertarik dengan apa yang diiklankan.

Tanpa pengaruh iklan mungkin budaya memakan makanan segera yang menjadi trend baru di negara kita tidak mendapat perhatian. Bukan mudah untuk mengubah budaya pemakanan jika ia tidak melibatkan pengaruh iklan yang begitu kuat.   

Makanan segera bukan berasal dari negara kita. Pada masa ia mula diperkenalkan di negara kita, makanan segera sering dimomokkan dengan perkara tidak baik. Ia dianggap makanan penjajah dan siapa yang minat memakan makanan segara dianggap tidak mempunyai semangat patriotisme.

Tetapi keadaan sekarang telah banyak berubah. Rakyat di negara kita tidak asing lagi dengan makanan segera. Menu burger, ayam goreng, pizza, sosej, keju, steak, chips dan sebagainya sudah menjadi sebahagian hidangan utama golongan tertentu. Semua itu adalah hasil pengaruh iklan yang diadakan secara agrasif di media massa, sama ada elektronik dan cetak.  

Dulu makanan segera hanya dinikmati golongan kaya dan yang tinggal di bandar, yang hanya boleh didapati di restoran mewah. Makanan makanan segera dianggap sebagai lambang status dan menjadi kebanggaan sesiapa yang dapat menikmatinya. 

Bagaimanapun, sekarang ini makanan segera seperti burger dapat dibeli di gerai kecil di tepi jalan dengan harga murah. Malah, menikmati makanan segera kini telah dianggap sebagai cara untuk berjimat. Selera dan cara hidup masyarakat kita kini sudah boleh menerima makanan segera sebahagian kehidupan yang biasa.     

Beberapa jenama makanan segera dari luar negara telah menguasai pasaran dan menjadi sebutan ramai. Apabila disebut makanan segera seperti ayam goreng dan burger, maka terbayanglah jenama terkenal yang sinonim dengan masyarakat kita. 

Pengaruh makanan segera amat besar sehingga kanak-kanak yang baru pandai bercakap sudah boleh menyebut nama jenama makanan segera yang terkenal. Malah, apabila melihat sahaja logo, warna dan wataknya, kanak-kanak sudah dapat mengenalinya.

Makanan segera kini tidak saja dipasarkan oleh pengeluar jenama terkenal dari luar negara. Bahkan sekarang ini sudah ada jenama makanan segera yang diasaskan di negara kita. Mereka dapat memberi saingan kepada jenama makanan segera terkenal dari luar negara.

Malah, syarikat kecil yang menghasilkan jenis makanan segera tertentu telah memulakan operasi bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Operasi mereka termasuk di dalam kategori industri kecil dan sederhana yang mendapat sokongan dan galakan daripada pihak kerajaan.      

Restoran makanan segera yang pertama di negara kita ialah A & W yang dibuka pada tahun 1963 di Kuala Lumpur dan diikuti Ayam Goreng Kentucky (KFC) pada tahun 1972 di Petaling Jaya. Malaysia adalah antara negara terawal yang menerima pengaruh makanan segera di Asia Tenggara. 

No comments:

Post a Comment