Monday, 10 October 2016

Musibah sebagai peringatan

Allah turun peringatan melalui musibah agar manusia betulkan atau tinggalkan amalan dosa dilakukan. Allah menurunkan musibah kecil sebelum musibah besar sebagai peringatan. Allah maafkan dosa dilakukan jika manusia insaf dan bertaubat.

Firman Allah bermaksud: “Dan apa juga yang menimpa kamu daripada kesusahan (bala bencana) maka adalah disebabkan oleh apa yang kamu lakukan (perbuatan salah dan dosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian daripada dosa kamu.” (Surah asy-Syura, ayat 30).

Ada dosa dihapuskan Allah melalui pembalasan dalam bentuk musibah. Setiap musibah menimpa orang beriman adalah kiffarah (penghapus) kekotoran dosa.

Oleh itu, orang beriman berasa bertuah dikenakan musibah sebagai pembalasan.  Mereka sedar walaupun seberat mana musibah di dunia ini, tentulah tidak seberat diterima di akhirat. Di dunia masih ada ruang untuk memperbaiki kesalahan dan bertaubat. Sedangkan di akhirat tidak boleh diubah, sekadar menerima pembalasan apa dilakukan di dunia.

Pengampunan dosa dengan cara musibah berkesan jika menginsafi musibah itu, yakni menerima dengan reda, sabar dan bertaubat. Sebaliknya, jika tidak ada keinsafan, bahkan menyalahkan Allah apa dialami, maka musibah itu bakal menimbulkan musibah lebih buruk.

Firman Allah bermaksud: “Mereka yang ditimpa musibah mengucapkan: “Kita semua kepunyaan Allah dan kepada Allah kita akan kembali’. Mereka itulah akan mendapat keberkataan sempurna dan rahmat daripada Tuhan mereka dan juga orang yang mendapat petunjuk.”  (Surah al-Baqarah, ayat 156-157).

Justeru, apabila berdepan dengan musibah, tindakan pertama perlu dilakukan ialah reda apa berlaku. Sesiapa menerima musibah dengan reda akan mendapat keredaan Allah. Beruntunglah siapa mendapat reda Allah.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Bahawa besarnya sesuatu balasan itu menurut besarnya sesuatu bencana ujian dan bahawa Allah apabila mengasihi sesuatu kaum diuji mereka, kemudian sesiapa yang menerima ujian itu dengan reda, maka dia akan beroleh keredaan Allah, dan sesiapa yang bersikap keluh kesah serta benci menerima ujian itu, maka dia akan mendapat kemurkaan dari Allah." (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibn Majah).

No comments:

Post a Comment