Wednesday, 12 October 2016

Peluang kerja untuk rakyat

Laporan berkaitan peluang pekerjaan menyenaraikan Malaysia antara negara terbaik menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat. Kadar pengangguran negara yang rendah iaitu pada 3.0 peratus adalah bukti kerajaan mampu mengurus ekonomi negara dengan baik.

Kadar pengangguran negara yang rendah itu juga menjadikan Malaysia sebuah negara yang hampir mencapai tahap guna tenaga kerja penuh.

Apa yang penting, setiap rakyat perlu berusaha mendapatkan pekerjaan. Jangan terlalu memilih pekerjaan. Lakukan apa saja kerja yang termampu, asalkan ia tidak bertentangan dengan agama dan undang-undang negara.

Dunia yang terbentang luas ini menyediakan rezeki yang mencukupi untuk setiap penghuninya.  Allah SWT menjadikan dunia ini ladang untuk manusia mendapat nikmat di dunia dan menyediakan bekalan untuk kehidupan di akhirat melalui setiap usaha yang dilakukan.   

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan tuntutlah dengan kurniaan yang telah dilimpahkan Allah kepadamu itu kebahagian hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalan) dari dunia.” (Surah al-Qasas, ayat 77)

Sesungguhnya, rezeki yang dijanjikan oleh Allah SWT berada di mana-mana asalkan kita berusaha mencarinya. Mencari bahan kitar semula dalam timbunan sampah juga mampu menyara keluarga. 

Biarpun kerja itu menyebabkan badan kotor, tetapi yang penting ialah kebersihan hati berusaha untuk mencari keredaan Allah SWT. Apa yang penting usaha itu halal dan memberi kebaikan, ia dipandang mulia oleh Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak makan seorang itu sebarang makanan pun lebih baik daripada dia memakan makanan daripada hasil tangannya sendiri. Sesungguhnya Nabi Daud mengambil makanan dari usaha tangannya sendiri.” (Hadis riwayat Bukhari)

Keberkataan rezeki bukan berdasarkan banyak mana yang diperoleh. Akan tetapi bergantung sejauh mana ia dapat memberi kebahagiaan hidup, kesejahteraan, kedamaian, keselamatan, dijauhi daripada fitnah dan memberi kebaikan. Walaupun yang diperoleh itu sedikit, rezeki yang diberkati lebih bermakna berbanding rezeki haram yang banyak. 

No comments:

Post a Comment