Saturday 31 December 2016

Kebaikan pelajar menabung

Banyak kebaikan amalan menabung. Budaya menabung membolehkan jumlah yang banyak dikumpul secara sedikit-sedikit. Pepatah ‘sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit’ adalah di antara nasihat yang mendidik agar masyarakat menabung hasil pendapatan atau wang yang diperoleh. Jumlah yang sedikit akan menjadi banyak jika amalan menyimpan diteruskan dalam tempoh yang lama.   

Sikap menabung perlu dimulakan sejak awal lagi. Kanak-kanak dan pelajar yang menerima wang daripada ibu bapa patut digalakkan menabung sebahagian wang yang diterima itu.  

Amalan menabung perlu dilakukan biarpun sekadar memasukkan wang dalam tabung sekadar beberapa puluh sen sehari. Perbuatan itu tentu tidak sukar untuk dilakukan yang merupakan jumlah baki perbelanjaan harian.    

Amalan baik yang dimulakan semenjak kecil mudah dibentuk dan menjadi sebati di dalam diri setiap individu. Kebiasaan dilakukan sejak kecil menjadi lambang peribadi yang baik dan mampu berterusan sehingga dewasa. Kata pepatah, ‘meletur buluh biar dari rebungnya’.

Rata-rata pelajar sekarang menerima wang saku dalam jumlah agak besar daripada ibu bapa masing-masing. Sebahagian ibu bapa mampu menyediakan wang lebih memandangkan kedudukan ekonomi keluarga yang baik.  

Jumlah wang yang diterima melebihi jumlah wang yang benar-benar diperlukan, yakni berdasarkan kadar perbelanjaan sederhana. Tidak dinafikan sebanyak mana sekalipun wang dimiliki masih tidak mencukupi jika berbelanja secara boros dan mengikut kehendak hati yang tidak pernah puas dan tiada batasan.

Satu amalan amat keji dan buruk bagi sesiapa berbelanja mengikut hawa nafsu. Syaitan tidak pernah berhenti daripada menggalakkan manusia melakukan perkara yang boleh mendatangkan keburukan.  Sesiapa berbelanja boros merupakan mengikut telunjuk syaitan.

Justeru, peluang mendapat wang saku melebihi daripada apa yang diperlukan sepatutnya tidak menjadikan pelajar berbelanja lebih. Wang diperoleh itu wajar ditabung sebagai simpanan.  Menabung bukan hanya untuk orang miskin, tetapi orang kaya juga perlu menabung.

Biarpun ibu bapa memiliki banyak harta yang boleh digunakan bila-bila masa tanpa had, bukan alasan untuk berbelanja lebih. Berbelanja boros satu kelemahan diri yang perlu diubati agar tidak terus menguasai diri.  

Didapati ramai pelajar yang berbelanja seperti orang dewasa yang sudah bekerja. Mereka memakai pakaian berjenama mahal, memiliki kenderaan mewah, berbelanja di pusat perniagaan terkenal dan bebas ke sana ke mari dengan menggunakan wang disediakan oleh ibu bapa. 

Pelajar yang terlalu dimanjakan oleh ibu bapa selalu mudah lupa diri. Banyak pelajar terjebak dalam kancah kehidupan tidak sihat kerana kemewahan yang dinikmati tanpa batas. 

Banyak pelajar mengunjungi tempat berpeleseran, gejala dadah, seks bebas dan hidup bebas berpunca memiliki wang yang banyak disediakan oleh ibu bapa.   

Kebanyakan pelajar daripada keluarga kaya raya berbelanja sesuka hati. Malah ada yang berbelanja mewah untuk menunjukkan kedudukan keluarga masing-masing. Sikap ego dan mementingkan diri menguasai diri.  

Ketika ada pelajar berbelanja boros, terdapat rakan mereka yang hidup melarat. Satu amalan amat mulia dan berperikemanusiaan jika membantu rakan dalam kesusahan. Kita berusaha untuk membentuk masyarakat penyayang dan bersatu padu. Tolong menolong menjadi lambang kehidupan masyarakat bertamadun.

Pelajar patut sedar setiap sen yang diterima daripada ibu bapa adalah satu amanah agar digunakan untuk kebaikan. Berbelanja dengan cermat dan berhemah satu amalan orang bijak pandai.  

Beringat semasa senang dapat mengelak bencana dan kesusahan yang tidak dapat diduga pada masa hadapan. Langit tidak selalunya cerah. Seperti roda, ada kalanya di atas dan pada masa lain pula berada di bawah.  

Amalan menabung di kalangan pelajar mampu membentuk masyarakat yang berdisiplin dan bermaruah. Setiap individu perlu bijak menilai keperluan hidup tanpa melepasi batas-batas keperluan sehingga membazir dan merugikan.  

Pelajar yang suka mengamalkan sikap membazir akan menjadi amalan sehingga dewasa. Sebenarnya tidak semua bernasib baik terus mendapat kekayaan daripada ibu bapa. Sebaliknya mereka perlu lebih berdikari dan mencari sendiri wang yang diperlukan.  

Justeru itu, pelajar perlu membiasakan diri dengan sikap berjimat dan menabung. Sifat menabung bukan sahaja sebagai simpanan masa depan, tetapi adalah satu pelaburan yang menguntungkan.  

Tidak dinafikan, kebanyakan pelajar kurang jelas mengenai keperluan perancangan kewangan dan pelaburan untuk masa hadapan. Fenomena ini berlaku disebabkan kewangan mereka disediakan oleh ibu bapa dan tidak didedahkan cara mana pengurusan kewangan.

Simpanan dalam institusi kewangan dan saham amanah memberi pulangan lumayan yang meningkatkan jumlah simpanan. Peningkatan itu dapat mengatasi kesan inflasi yang berlaku dalam ekonomi negara. 

Keuntungan dari simpanan diumpamakan seperti keuntungan senyap yang diperoleh sepanjang masa. Pihak lain yang bekerja bagi pihak kita dan memberi keuntungan yang berpatutan.  

Pelajar boleh memilih sama ada untuk menabung dengan institusi perbankan konvensional yang mengamalkan kadar faedah tetap atau sistem perbankan Islam yang berdasarkan kaedah perkongsian untung dan beberapa syarat lain mengikut syariat Islam. 

Pelajar juga boleh melabur wang di dalam saham amanah yang banyak terdapat di negara kita.  Sekarang sudah ada saham amanah yang diwujudkan khas untuk remaja. 

Kewujudan saham amanah tersebut menunjukkan galakan kerajaan agar setiap remaja turut melabur di dalam saham yang memberi pulangan lumayan dan menggalakkan amalan menabung.  

Kebaikan melabur di dalam saham amanah ialah kadar risikonya lebih rendah berbanding jika melabur di dalam pasaran terbuka, terutama ketika dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil.  

Pelaburan dalam saham amanah dikendalikan oleh pakar pelaburan untuk memastikan pelabur mendapat pulangan yang memuaskan. Sedangkan jika melabur di pasaran saham terbuka, individu pelabur sendiri perlu menentukan sektor pelaburan.

Bagi pelajar dari keluarga kurang berkemampuan amat perlu mengamalkan sikap berjimat cermat.  Wang yang diperoleh daripada ibu bapa perlu dihargai sebaik mungkin. Bukan mudah bagi keluarga miskin untuk menyediakan wang perbelanjaan untuk anak-anak, biarpun jumlahnya kecil.

Kebiasannya pelajar dari keluarga miskin terpaksa berikhtiar sendiri melakukan kerja yang dapat mendatangkan wang untuk menampung kewangan keluarga. Hargailah setiap sen yang diperoleh dan berusahalah menabung biarpun dalam jumlah yang sedikit.

Jumlah yang disimpan mungkin membantu menentukan untung nasib masa hadapan. Wang terkumpul boleh digunakan untuk pelbagai keperluan seperti membiayai pengajian di pusat pengajian tinggi, memulakan perniagaan dan sebagainya.  

Biarpun kerajaan menyediakan dana untuk pelajar kurang mampu melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi, jumlahnya tidak mencukupi. Wang sendiri masih diperlukan dalam jumlah yang banyak, terutama ketika mula mendaftar di pusat pengajian tinggi.  

Banyak pelajar cemerlang tidak melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi disebabkan masalah kewangan. Masalah itu dapat diatasi jika mereka telah lama menabung untuk tujuan itu. 

Jadi, mulakan sikap menabung mulai sekarang. Anda akan dapat merasakan kebaikannya pada masa akan datang.  

No comments:

Post a Comment