Menjadi tanggungjawab umat Islam menonjolkan kebaikan dan keindahan Islam, jangan sampai Islam ditempelak dengan perbuatan boleh memalukan dan mencemarkan imej.
Amat dukacita apabila kelompok yang kononnya memperjuang Islam, tetapi melakukan perbuatan memalukan, termasuklah menjatuhkan sesama Islam. Sesiapa berpegang kepada ajaran islam perlu mengutamakan perpaduan dan mengelak bercakaran sesama sendiri.
Akibat bercakaran sesama sendiri, pihak lain ambil kesempatan menindas umat Islam. Kelemahan dan kesan buruk yang dihadapi tidak menjadi pengajaran umat Islam apabila terus berpecah sesama sendiri. Lebih malang lagi apabila menyalahkan sesama Islam, tetapi pada masa sama berkerjasama dengan bukan Islam.
Nampaknya, umat Islam sudah keliru mana pihak yang patut dijadikan kawan dan mana lawan. Sikap gila kuasa menyebabkan umat Islam berpecah sesama sendiri.
Apa yang nyata, umat Islam masih diliputi mega mendung sengketa dan perbalahan yang seolah-olah tiada penghujungnya. Marilah kita berdoa semoga Allah berkenan melimpah nikmat ukhuwah kepada seluruh umat Islam.
Semua pihak perlu sedar betapa rugi apabila umat Islam menghabiskan masa, tenaga dan wang ringgit semata-mata mencetuskan sengketa peperangan sesama sendiri.
Firman Allah SWT yang bermaksud: ”Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya (Surah an-Nisa, ayat 59)
Kalau dilihat kepada sirah Nabi SAW,
baginda datang mengajak masyarakat beriman dengan Allah. Baginda juga mementingkan
perpaduan.
Ini dapat diperhatikan melalui pengorbanan
golongan Ansar yang menyerahkan isteri mereka untuk diperisterikan oleh
golongan Muhajirin selepas mereka berhijrah ke Madinah bersama Rasulullah SAW.
Contoh ini senang kita sebut tetapi jangan
lupa untuk kita merenungnya dalam-dalam. Hijrah baginda itu berlaku seolah-olah
disebabkan ‘tidak berjayanya’ misi dakwah di Mekah.
Malah, berkat perpaduan ketika itu, Nabi
SAW berjaya mengharungi pahit getir cabaran berdakwah yang mendapat tentangan
hebat kafir Quraisy.
Dalam konteks kita di Malaysia, memang
adakalanya kita lalai lalu lupa nikmat keamanan, perpaduan dan kesejahteraan
dikecapi.
Kita perlu menghayati firman Allah yang
bermaksud: ”Dan berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah (agama Islam) dan
janganlah kamu berpecah belah, dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu ketika
kamu bermusuh-musuhan lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu
bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu
orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu berada di tepi jurang neraka
(disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah) lalu Allah selamatkan kamu dari
neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga” (Surah Ali-Imran, ayat 103).
No comments:
Post a Comment