Sunday, 15 January 2017

Konsep Maqasid Syariah

Maqasid Syariah berasaskan lima prinsip iaitu menjaga agama (Deen), nyawa (kehidupan), akal (ilmu dan pendidikan), maruah (jati diri Islami) dan harta benda (kekayaan sumber).

Allah mengurniakan sumber rahmah dan nikmat yang banyak di negara-negara Islam. Buminya yang subur dan hasil perut buminya yang banyak. Bilangan penganutnya melepasi 1.6 bilion. Umat Islam pernah mencipta kecemerlangan dan tamadun yang hebat. Itu buktinya Islam bukan agama mundur. 

Namun, sekarang kita perlu akui, umat Islam jauh ketinggalan berbanding umat lain. Jadi, satu usaha pemugaran kembali supaya kekuatan tamadun Islam memberi inspirasi bersama dengan kekuatan sumber hasil bumi dan sumber daya manusia yang banyak perlu dilakukan segera.

Banyak sebab umat Islam gagal. Pertamanya kerana gagal menterjemah kehendak sebenar ajaran Islam. Mereka sudah hilang prioriti atau keutamaan. Perkara yang ditegah oleh agama dan wajib dijauhi sebaliknya menjadi keutama atau perkara yang disukai. 

Masalah peperangan, perseteruan, perpecahan, kebencian dan dendam kesumat menjadi pilihan umat Islam di kebanyakan negara. Mereka berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Itulah yang menyebabkan kelemahan yang sangat ketara berlaku.

Umat Islam memerlukan pendekatan bijaksana bagaimana strategi dan maslahah dapat disantuni agar perkara buruk tidak berterusan. Sebarang bentuk masalah yang bersangkutan sesama Islam perlu dilakukan dengan pendekatan persaudaraan. Jangan terlalu keras dan mendesak. 

Jika kita gagal memahami pendekatan wasatiyyah yang diajarkan oleh agama, maka syaitan akan mudah mempengaruhi perbuatan yang mendatangkan keburukan. Syaitan berada dalam pelbagai bentuk. Pihak ketiga yang mengambil kesempatan juga menjadi sebahagian daripada syaitan. Mereka ini menjadi batu api dan mewujudkan suasana tegang sesama Islam.

Wasatiyyah seperti yang terungkap dalam Surah Al Baqarah ayat 143 adalah manifestasi pendekatan bijaksana dan adil supaya umat Islam menjadi saksi kepada contoh kemajuan dan perubahan bagi umat manusia seperti yang berlaku pada masa terdahulu.

Maqasid Syariah menuntut supaya agama terpelihara. Memelihara agama bukan sekadar menampilkan syiar yang sifatnya rohaniah semata tetapi Deenul Islam harus mampu dijana sebagai sumber tamadun. Agama Islam menjadi contoh kepada agama-agama lain. Lebih baik lagi jika dapat memimpin kepada seluruh umat manusia.

Nyawa atau kehidupan umat Islam ha rus berada dalam tahap karamah insan supaya diri mereka terpelihara, tidak menjadi mang sa kepada eksploitasi pihak ketiga, ju taan terpinggir sebagai pelarian dan tahap kesihatan yang rendah bagi sesetengah negara.

Malang sekali apabila nyawa umat Islam menjadi amat  murah. Di mana-mana saja berita kematian umat Islam akibat peperangan dan pertelingkahan sesama sendiri dipaparkan untuk pengetahuan semua. 

Manusia berdiri atas kekuatan akal. Akallah menjadikan manusia hebat dan berharga. Maka itu, proses memelihara kedudukan akal dan mengembangkan perlu dilakukan.

Ia memerlukan strategi membangun akal fikir supaya sistem ilmu dan pendidikan yang sifatnya integratif dan holistik terjadi untuk menghasilkan modal insan yang mampu mencetuskan perubahan dan kemajuan.

Maruah atau jati diri Islami warga umat perlu dipertahan dan dikembang suburkan supaya keupayaan dan kejayaan umat Islam menjadi contoh terbaik kebangkitan. Umat Islam perlu berusaha mendaki kedudukan yang tertinggi. Jangan lagi keadaan berterusan di mana umat Islam dipandang hina dan terkebelakang. 

Satu lagi keadaan ketara yang perlu dipertahankan dan diperbaiki kedudukan ialah dalam soal kekayaan atau harta. Bumi yang kaya dengan khazanah berharga dimiliki umat Islam telah dieksplotasi oleh bangsa lain.

Bahkan, kerana harta itulah umat Islam dijadikan papan dan buah catur untuk kepentingan pihak tertentu. Justeru, umat Islam perlu sedar dan berusaha untuk mengurus dan memanfaatkan sepenuhnya kekayaan yang dimiliki.

Umat Islam harus meletakkan wahdah atau kesatuan sesama umat sebagai ke utamaan, bijaksana dalam mengurus krisis, cabaran dan kemenangan.

Pendekatan berimbang (wasat) dan sederhana ternyata memberi kesan positif kepada perubahan dan kemajuan kerana ia adalah suatu proses dan tidak harus berlaku sikap gopoh dan melampau yang merugikan.

No comments:

Post a Comment