Sunday, 15 January 2017

Kesan buruk minum arak

Banyak kes kemalangan dan pergaduhan akibat mabuk. Namun, kes mabuk terus berlaku disebabkan penagih arak tidak memikirkan kesan buruk. Mereka terus minum arak atas alasan untuk bergembira dan menghilangkan masalah. Malah ada pihak menganjurkan pesta arak yang menawarkan hidangan arak dengan harga istimewa. Ia diadakan secara besar-besaran.  

Hakikatnya, minum arak membayakan kesihatan. Jadi, mengapa ada pesta untuk atau menyebabkan bahaya kepada rakyat? 

Kerajaan memang tidak boleh melarang bukan Islam minum arak. Itu sebahagian hak asasi. Tetapi, kerajaan ada hak melarang atau tidak meluluskan program yang dirasakan boleh mendatangkan keburukan jika dibuat dalam bentuk pesta atau skala besar.

Arak diharamkan di dalam Islam kerana banyak memberi keburukan dari segi fizikal, rohani,ekonomi dan masyarakat. Oleh sebab itu, meminum arak juga dianggap satu amalan tidak baik oleh penganut agama lain serta pakar psikologi dan sosialogi. 

Ini telah banyak dibuktikan melalui kajian-kajian ilmiah samaada dari segi sains, psikologi dan kemasyarakatan menunjukan kebenaran yang jelas bahawa sesetengah jenayah dan keruntuhan akhlak dan moral yang berlaku dalam masyarakat di antara lain berpunca dari gejala arak. Meminum arak boleh membawa akibat-akibat yang sangat buruk terhadap diri peminum, keluarga dan masyarakat.

Pada dasarnya terdapat dua kesan yang ketara pada penagih alkohol terhadap kesihatan dan perhubungan sosial, bagi individu yang meminum arak iaitu kesan jangka pendek dan jangka panjang.

Kesan jangka pendek pengambilan alkohol lebih kurang satu botol besar menjadikan seseorang itu kurang daya koordinasi seperti tidak boleh berjalan dengan betul dan tidak boleh membuka pintu. Dalam masa yang singkat ini juga boleh menyebabkan hangover. Hangover lazimnya disebabkan oleh keracunan alkohol, bahan lain dalam alkohol dan tindakbalas ketagih alkohol.

Namun, malang sekali perkara itu dipandang mudah sehingga minuman keras menjadi kebiasaan muda-mudi, meneguknya di mana-mana tanpa malu dan segan lagi, halal dan haram dipandang sepi, asalkan nikmat sementara dirasa sesekali.  

Hakikatnya, arak bukan perkara yang mendatangkan kebaikan, kecuali dalam beberapa situasi. Namun perkara itu tidak seharusnya dijadikan alasan kepada pengambilan arak kerana kesan buruknya lebih besar. 

Perkara ini dijelaskan Allah SWT melalui firman yang bermaksud: "Mereka bertanya kepadamu khamar (arak) dan judi. Katakanlah pada keduanya dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia. Tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya." (Surah Baqarah ayat 219)

Arak yang mudah didapati di mana-mana saja hari ini sejenis minuman kegemaran bangsa Arab jahiliah dan menjadi minuman pilihan sehingga sesudah kedatangan Islam, di mana sahabat Rasulullah SAW masih meminumnya kerana pada waktu itu larangan meminum arak masih belum berkuat kuasa walaupun Rasulullah SAW sendiri mengetahui kemudaratannya kepada pertimbangan akal dan fikiran.  

Pernah terjadi satu peristiwa ketika Abdul Rahman bin Auf mengadakan kenduri dan mengundang sahabat termasuk Saidina Ali bin Abi Talib. Semua tetamu dihidangkan arak, minuman utama tetamu pada majlis rasmi.  

Apabila masuk Maghrib, Saidina Ali mengimamkan solat dan membaca surah al-Kafirun, ayat 1 hingga 3 dalam keadaan mabuk, sehingga mengubah makna ayat itu menjadi seperti berikut: "Katakan wahai orang kafir, aku akan menyembah apa yang kamu sembah dan kami sudah pun menyembah apa yang kamu sembah."

Begitu juga kisah seorang lelaki Ansar bernama Utban bin Malik yang mengadakan jamuan dihadiri kaum Ansar dan Muhajirin. Jamuan menghidangkan arak sebagai minuman itu menyebabkan seorang lelaki Muhajirin, Saad bin Abi Waqas mabuk sambil bersyair memuji kaumnya dan menghina serta mencaci kaum Ansar. Mendengar cacian itu, seorang lelaki Ansar terus memukulnya sehingga berdarah dan seterusnya menyebabkan huru-hara.

Peristiwa itu membawa kepada turunnya ayat al-Quran yang bermaksud: ”Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti daripada melakukan perkara keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil." (Surah al-Maidah, ayat 91)

Sesungguhnya meminum arak daripada pada amalan syaitan yang mana sudah pasti tidak memberi apa-apa kebaikan, melainkan bertujuan untuk mendatangkan kebaikan. Syaitan akan menggunakan pelbagai cara untuk merosakkan manusia, termasuklah perbuatan meminum arak. Sesiapa ingin mencapai kejayaan dalam hidup hendaklah meninggalkan perbuaan disuruh oleh syaitan.

Firman Allah SWT bermaksud: "Wahai orang beriman, bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang anak panah adalah semata-mata kotor (keji) daripada perbuatan syaitan, oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maidah ayat 90)

Bagai tidak dapat diterima adanya sebilangan umat Islam yang tidak segan silu meminum minuman keras dan menjadikannya hidangan biasa. Sudah dirakamkan Allah SWT bahawa arak adalah kotor dan keji serta perbuatan syaitan, malah ia disamakan dengan judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib.

Umat Islam juga dilaknat Allah SWT jika memerah anggur untuk dijadikan arak, minta diperahkan, meminumnya, membawanya, minta dibawakan kepadanya, menuangnya, menjualnya, menggunakan wang jualannya, membelinya dan meminta dibelikan arak walaupun kepada bukan Muslim.

Ketegasan hukum digariskan jelas menunjukkan bahawa apa saja berkaitan arak adalah dilaknat Allah SWT dan mempunyai sebab serta akibat yang tidak bagus.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Daripada Annas bin Malik katanya: Bahawasanya Rasulullah SAW melaknat sepuluh golongan berkaitan dengan arak iaitu yang memerahnya, minta diperahkan, meminumnya, membawanya dan minta dibawa kepadanya, menuangkannya, menjualnya, makan harganya, membelinya dan minta dibelikan." (Hadis riwayat At-Tirmidzi dan Ibn Majah)

Arak berbahaya kepada akidah umat Islam apabila Allah SWT menyamakannya dengan pemujaan berhala dan mengundi nasib sebagai perbuatan syaitan. Apa juga perbuatan syaitan adalah menyekutukan Allah dan menyebabkan kekufuran, sama sekali tidak dapat diterima dalam agama.

Arak memesongkan hamba Allah SWT daripada mengingati-Nya kerana ia membuatkan seseorang Muslim itu meninggalkan sembahyang dan puasa serta ibadah lainnya kerana mabuk. Arak juga meruntuhkan akhlak, menimbulkan permusuhan dan kebencian, memusnahkan institusi kekeluargaan.

No comments:

Post a Comment