Sunday, 15 January 2017

Jalan 10000 langkah sehari

Berjalan 10000 langkah sehari banyak beri kebaikan serta manfaat untuk kesihatan.  Mengikut kajian, faedah berjalan 10,000 langkah sehari satu keperluan untuk kehidupan sihat. ceria dan bahagia. 

Jumlah 10,000 langkah bersamaan berjalan kaki kira-kira 6 kilometer sehari. Individu berjalan melebihi 10,000 langkah sehari, dianggap sebagai seorang yang aktif dan sihat dari segi fizikal.

Walaupun jumlahnya agak besar dan mencemaskan, seseorang tidak perlu berjalan terus sejauh 10,000 langkah. Kiraan itu adalah berdasarkan bilangkan langkah yang dilakukan sepanjang hari.  

Sebenarnya jumlah itu tidak banyak dan bukan sukar untuk dilaksanakan kerana memang kita sepanjang hari telah berjalan. Bagaimanapun, banyak di kalangan kita sekadar berjalan dalam jarak yang dekat atau bilangan langkah yang terhad.

Untuk meningkatkan jumlah langkah dalam sehari, cuba gunakan tangga dan elak menggunakan lif atau eskalator. Jadikan berjalan kaki di taman sebagai rutin mingguan anda. 

Amalan ini bukan sahaja  membolehkan anda melakukan langkah yang diperlukan bagi memperoleh tubuh dan minda yang lebih sihat, malahan anda juga dapat menghirup udara yang bersih, segar dan nyaman.

Bawa rakan-rakan bersama anda. Kemungkinannya, anda perlukan sekumpulan penyokong untuk membolehkan anda meneruskan usaha tersebut. Anjurkan kumpulan berjalan kaki sama ada dengan rakan sepejabat, dari universiti, sekolah ataupun kawasan kejiranan anda. 

Anda tidak akan rasa keseorangan bahkan anda boleh memberi dorongan antara satu sama lain untuk terus berjalan kaki dan mewujudkan persaingan sihat sesama sendiri. Jika anda lebih gemar berjalan bersendirian, teruskanlah nikmati waktu bersendirian itu sambil berjalan kaki.

Walau apa pun, pastikan senaman berjalan kaki ini menjadi sebahagian daripada rutin harian anda. Lama-kelamaan anda akan dapati bahawa anda telah berjalan lebih daripada 10,000 langkah dan anda akan bertanya kepada diri sendiri, mengapakah begitu sukar untuk memulakannya.

Meningkatkan kesedaran dan meningkatkan aktiviti fizikal untuk mendapat kebaikan dari segi kesihatan dan menurunkan risiko yang dikaitkan dengan mereka yang tidak aktif secara fizikal. 

Memberi kesedaran kepada masyarakat supaya menjadikan senaman berjalan kaki sebagai salah satu rutin harian mereka. Untuk membantu menurunkan kadar obesiti dan berlebihan berat badan melalui senaman berjalan kaki.

Berjalan dengan langkah 10 000 sama seperti berenang selama 90 minit, berbasikal selama 70 minit, bermain bola sepak selama 90 minit.

Amalan berjalan dapat membantu mengawal dan mencegah osteoporosis, selain itu dapat juga mengurangkan risiko penyakit kronik. Antara manfaat lain berjalan kaki ialah mengurangkan risiko kanser kolon, payudara dan prostat.

Berjalan kaki atau bersenam juga membantu mengurangkan masalah perut buncit, menurunkan paras kolesterol dalam darah.

Kebaikan berjalan kaki berbanding riadah atau sukan lain ialah ia sesuai untuk semua golongan umur dan individu. Boleh dilakukan di mana-mana tempat dan pada bila-bila masa.

Maka itu, tidak ada alasan untuk anda berkata sukar berjalan kecuali anda memang menghadapi penyakit yang sukar untuk berjalan. 

No comments:

Post a Comment