Friday, 20 January 2017

Sejarah hubungan Pattani - Malaysia

Hubungan Pattani (Selatan Thai) dengan negeri-negeri di Malaysia memang rapat berdasarkan kepada sejarah lalu. Bahkan, banyak persamaan antara penduduk di Pattani dengan Malaysia. Bagi orang Kelantan khususnya, dialek orang Islam Thailand di Selatan Thai tidak banyak berbeza.

Banyak orang Kelantan berulang alik ke Selatan Thai. Mereka mempunyai pertalian persaudaraan yang rapat. Ada rakyat Kelantan apabila mati, mewasiatkan agar jenazahnya dikebumikan di kampung halaman di Selatan Thai.  

Jadi, tidak hairan jika banyak penduduk Selatan Thai mengambil kesempatan untuk mencari rezeki di Kelantan. Mereka menumpang atau mendapat pertolongan sanak saudara rakyat Malaysia untuk bekerja di Kelantan dan tempat-tempat lain Malaysia. 

Paling ketara banyak rakyat dari Selatan Thai terlibat dalam perkhidmatan penyediaan makanan di restoran dan kedai makan. Sebab itu, banyak makanan dan menu dari Selatan Thai terkenal di Kelantan. 

Perlu dijelaskan, dikir barat yang terkenal di Kelantan, berasal dari Selatan Thai. Orang Kelantan menyebut atau memanggil Selatan Thai sebagai ‘Barat’. 

Hakikat yang tidak dapat dinafikan sejak dulu lagi, hubungan pemerintah dan penduduk Selatan Thai dengan pemerintah dan rakyat Malaysia telah lama terjalin.

Di Kelantan umpamanya terdapat makam Raja Perempuan Pattani terakhir iaitu Ratu Kuning atau Nan Cayang yang menduduki takhta Pattani (wilayah selatan Thai) pada tahun 1636-1651. 

Makam tersebut terletak di Panchor, Pengkalan Chepa. Manakala Terengganu, khususnya Besut menempatkan kerabat-kerabat diRaja Pattani yang melarikan diri ekoran kejatuhan Pattani kepada Siam pada tahun 1785.

Sama seperti Kelantan dan Pahang serta Johor, Terengganu telah menghantar sejumlah tentera membantu Pattani dalam Perang Sabil di Pattani pada tahun 1831 dan dalam perang-perang lain yang membabitkan Pattani dengan Siam.

Pahang pula merupakan negeri ayahanda kepada Ratu Kuning iaitu Sultan Abdul Ghafur Mohaidin Syah. Baginda Sultan Pahang dan suami kepada Ratu Unggu yang telah kembali semula ke Pattani setelah kematian suaminya. Rastu Unggu menaiki takhta pada tahun 1624 hingga 1636 dengan gelaran Paduka Syah Alam, menggantikan kakaknya, Ratu Biru (1616-1624). 

Ramai orang Pahang yang mengiringi kepulangan Ratu Unggu ke Pattani menetap di sana. 

Johor pula adalah negeri suami kepada Ratu Kuning yang telah berkahwin dengan Yamtuan Muda Johor (Sultan Abdul Jalil) selepas bondanya memisahkan daripada suami pertamamya bernama Tengku Muhammad, anak Raja Ligor yang lebih dikenali dengan Okya Deca yang proSiam.

No comments:

Post a Comment