Friday, 20 January 2017

Tidak diskriminasi hak wanita

Islam tidak diskriminasi terhadap wanita. Islam meletakkan wanita pada kedudukan terbaik, termasuk dalam soal kepimpinan. Jangan fikir wanita begitu lemah dan daif.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan sebahagian mereka (adalah) menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain.” (Surah at-Taubah, ayat 71).

Wanita pada zaman Rasulullah SAW ada wanita yang turut sama ke medan peperangan. Mereka ditugaskan melakukan tugas di bahagian belakang sesuai dengan keupayaan. Namun, mereka juga bersedia berjihad menghadapi sebarang kemungkinan termasuk mengambil alih tugas di bahagian hadapan. 

Sesiapa sanggup berada di medan peperangan berani berdepan kemungkinan terkoban atau menjadi tawanan perang. Musuh tidak memilih siapa yang akan menjadi mangsanya.

Rabiah berkata: “Kami ikut serta dalam peperangan bersama Nabi Muhammad, kami memberi minum kepada satu kaum dan kami berkhidmat kepada mereka dan kami membawa para pesakit dan orang terkorban ke Madinah.” (Riwayat Bukhari).

Kaedah penggunaan wanita ini turut dilakukan dalam pengintipan peperangan moden. Wanita menjalankan tugas yang lebih besar berbanding lelaki, yang mana maklumat yang dibekalkan wanita mungkin menyelamatkan negara daripada ancaman musuh.

Kini semakin ramai wanita menyertai profesion yang dahulunya hanya dimonopoli kaum lelaki seperti sebagai tentera, polis, bomba, juruterbang, pemandu kenderaan awam, jurutera, buruh binaan dan usahawan berjaya. Sumbangan wanita dalam pembangunan negara tidak lagi sekadar ‘nasi tambah’.  

Namun, pada masa yang sama, kita terpaksa mengakui, masih ada wanita dieksplotasi oleh lelaki. Wanita menjadi mangsa kepada sikap angkuh dan nafsu buas lelaki. Perkara ini perlu dihentikan segera.

Namun, masih ada pihak yang ironisnya terhadap kedudukan itu. Wanita masih diperlekehkan kedudukan dan hak. Ini termasuk di kalangan umat Islam sendiri. Golongan anti wanita cuba sedaya upaya menggunakan fakta lemah dan hadis palsu sebagai dalil dakwaan mereka.

Antara hadis palsu yang tersebar luas membawa maksud: “Mintalah pendapat wanita dan lakukan sebaliknya.” Satu lagi hadis palsu bermaksud: “Wanita itu keseluruhannya jahat, dan kejahatan yang paling besar ialah kaum lelaki tidak dapat melakukan kejahatan tanpa mereka (wanita)”.

Kedua-dua hadis palsu itu membayangkan betapa wanita tidak bijak dan hanya mendatangkan keburukan. Bahkan, wanita dianggap tidak wajar diajar tentang apa-apapun. Untuk menyokong alasan itu maka digunakan hadis palsu: “Jangan ajarkan wanita bagaimana membaca dan menulis kerana mereka akan menggunakan ilmu itu untuk melakukan sihir.”

Sesiapa yang terbuka fikirannya tentu dapat dengan mudah mematahkan hadis palsu itu.  Perhatikan pertentangan dengan hadis sahih yang bermaksud: “Menuntut ilmu itu wajib ke atas setiap orang Islam, sama ada lelaki atau perempuan.”

Firman Allah bermaksud: “Bacalah atas nama Tuhanmu yang menjadikan manusia dari segumpal darah. Bacalah, Tuhanmu itu Maha Pemurah yang mengajarkan dengan pena pengetahuan yang manusia belum ketahui.” (Surah al-Alaq ayat 1 hingga 5).

Ayat itu menjelaskan suruhan membaca dan sekaligus menuntut ilmu. Suruhan itu tidak menyebut siapa perlu membaca. Ini bermakna untuk semua, tidak kira lelaki atau perempuan. Wanita juga dituntut membaca al-Quran sebagai salah satu ibadah dan mencari keredaan Allah.

Ternyata hadis melarang diajarkan membaca dan menulis kepada wanita adalah palsu. Jika wanita tidak tahu membaca, bagaimana mereka ingin membaca al-Quran.

Itu sebahagian contoh bagaimana golongan anti perempuan menjalankan niat buruk terhadap perempuan. Mereka sanggup mencipta hadis palsu semata-mata ingin menjatuhkan wanita. 

Selain memerlukan tindakan ikhlas daripada lelaki, wanita sendiri mempunyai peranan untuk keluar daripada lingkungan tragedi hitam itu. 

No comments:

Post a Comment